Khamis, 31 Disember 2020

Budaya Tidak Bagus Dalam Kalangan Masyarakat Kita Apabila Ada Yang Cuba Bertutur Dalam Bahasa Asing

1.  Bercakap dalam bahasa asing bukannya sesuatu yang mudah kepada sebahagian orang. Ianya memerlukan keberanian dari dalam diri untuk melakukannya.


2. Malangnya keberanian untuk bercakap dalam bahasa asing ini tidak disambut dengan galakan atau pun sokongan. Sebaliknya sebahagian masyarakat kita gemar untuk mencari kesalahan dalam tatabahasa, cara sebutan dan dialek orang yang baru berjinak-jinak bertutur dalam bahasa asing. Lebih teruk lagi ada yang suka mengetawakan orang yang melakukan kesalahan dalam bercakap ketika bertutur dalam bahasa asing.


3. Hal ini menyebabkan sebahagian orang yang mempelajari bahasa asing menjadi kurang bersemangat dan keyakinan diri untuk bertutur dalam bahasa asing.


4. Menegur kesalahan yang terdapat dalam bahasa asing oleh orang yang mahir dalam bahasa itu tidaklah menjadi satu kesalahan. Tapi lakukanlah secara berpada-pada. Jika semua kesalahan kita hendak betulkan dalam satu masa, ini yang menjadi punca orang tidak bersemangat untuk bercakap dan bertutur dalam bahasa asing.


5. Yang lebih menghairankan kadangkala penutur asal bahasa asing tersebut tidaklah seradikal seperti sebahagian masyarakat kita dalam menegur kesalahan bahasa yang terdapat dalam percakapan seseorang. Sebaliknya mereka gembira kerana ada orang asing yang berminat untuk mempelajari bahasa mereka.


6. Kita perlu faham bahawa fungsi utama bahasa adalah untuk menyampaikan mesej daripada penyampai kepada orang yang ingin mesej tersebut disampaikan. Selagimana matlamat ini tercapai kita tidak perlulah terlalu ghairah untuk menegur kesalahan bahasa yang terdapat pada orang yang baru belajar bahasa asing tersebut.


7. Adapun tatabahasa yang betul, cara sebutan yang betul dan dialek yang betul ianya merupakan penghias bagi sesuatu bahasa yang boleh dicantikkan daripada semasa ke semasa.


Mohamad Amirul bin Saidi.

Bagan Serai, Perak.

Rabu, 30 Disember 2020

Faedah-Faedah Yang Diperolehi Daripada Membaca Kitab Bulughul Maram

1. Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani memulakan kitab beliau dengan pendahuluan yang menerangkan tujuan beliau menulis kitab dan metod beliau dalam meletakkan hadis-hadis dalam kitab beliau.


2. Terdapat 17 kitab, 96 bab dan 1352 hadis yang terkandung dalam kitab ini berdasarkan cetakan yang saya baca.


3. Terdapat beberapa kitab yang tidak mempunyai sebarang bab dibawahnya.


4. Penulis tidak memulakan hadis pertama dengan hadis niat sepertimana yang menjadi kelaziman sebahagian penulis dalam bidang hadis.


5. Kitab Ibadat dan Kitab Muamalat antara kitab yang mempunyai jumlah hadis yang banyak berbanding kitab-kitab yang lain.


6. Penulis menyebut status hadis yang beliau masukkan di penghujung setiap hadis seperti sahih, hasan dan dhaif.


7. Sebahagian hadis yang dimasukkan di dalam kitab dan bab pula secara zahir maknanya ada yang kelihatan saling bercanggah.


8. Tiada kalam penulis dalam kitab ini selain pendahuluan dan pernyataan status hadis. Beliau tidak menerangkan perkataan-perkataan gharib atau asing yang terdapat dalam sebahagian hadis.


9. Walaupun kitab ini berkaitan hadis-hadis hukum fiqh, penulis menutup kitab ini dengan kitab berkaitan adab dan doa.


10. Banyak hadis-hadis dalam kitab adab sama dengan hadis-hadis dalam kitab Hadis 40 oleh Imam An-Nawawi.


Mohamad Amirul bin Saidi.

Bagan Serai Perak.

Khamis, 4 Jun 2020

Tugasan Bertulis Ketika Peringkat Ijazah Sarjana Muda

Sesiapa yang pernah menuntut ilmu agama di universiti tempatan tentu sudah biasa dengan tugasan bertulis yang diberikan oleh pensyarah yang biasanya disebutkan sebagai bahas.


Terdapat sebahagian pensyarah yang telah menetapkan tajuk tertentu untuk para pelajar tulis manakala sebahagian lagi memberikan kebebasan untuk para pelajar memilih tajuk penulisan mereka.


Ada tugasan bertulis berkumpulan dan ada juga tugasan bertulis individu.


Sebahagian subjek pula mempunyai lebih daripada satu tugasan bertulis sama ada secara individu atau berkumpulan atau kedua-duanya.


Banyak masa pelajar yang perlu diperuntukkan untuk menyiapkan tugasan berkumpulan ini yang mempunyai nilai markah tertentu yang akan memberikan kesan kepada turun naik CGPA.


Perjumpaan berkumpulan bagi mengatur perjalanan menyiapkan tugasan bertulis, mencari buku-buku rujukan di perpustakaan, memuat turun buku-buku pdf di internet yang berkaitan tajuk dan lain-lain lagi perlu dibuat untuk menjadikan tugasan bertulis berkumpulan atau individu berjaya disiapkan dengan jayanya.


Terdapat sekumpulan kecil pelajar yang berjaya memasukkan penemuan baru dalam tugasan bertulisnya dan bakinya sekadar menukilkan daripada pelbagai bahan rujukan sambil membuat sedikit ulasan tanda kefahaman. Namun terdapat juga kelompok pelajar yang sekadar menukilkan daripada sumber rujukan tanpa sebarang ulasan dan mungkin juga kefahaman.


Antara tujuan tugasan bertulis diberikan kepada pelajar untuk mempersiapkan mereka untuk menjadi pengkaji ilmiah apabila mereka menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah kelak.


Persoalannya adakah pemberian tugasan bertulis kepada para pelajar mampu memenuhi objektifnya.


Untuk menjawab persoalan ini saya teringat sebuah buku berkenaan adab seorang penuntut ilmu yang saya pernah baca. Judulnya dalam bahasa Arab Ila Tolib Al-Ilm atau dalam bahasa Melayu setelah diterjemahkan berbunyi Untuk Penuntut Ilmu. Buku ini merupakan karya Sayyid Abdul Majid Al-Ghauri yang merupakan seorang ulama hadis kotemporari yang berasal daripada India.


Antara topik yang beliau bincangkan dalam buku ini bertajuk Menyibukkan Diri Dengan Penulisan Yang Bermanfaat Apabila Sudah Mempunyai Keahlian Di Dalamnya. Menariknya topik ini merupakan topik kedua yang terakhir yang beliau bincangkan dalam buku beliau. Antara topik-topik awal yang beliau bincangkan dalam bukunya bertajuk Menghafal Al-Quran, Mempelajari Bahasa Arab Dan Menguasainya, Menuntut Ilmu Secara Berperingkat-Peringkat dan banyak lagi. Terdapat 34 tajuk kesemuanya.


Berdasarkan penyusunan tajuk yang beliau susun dalam bukunya kita dapati bahawa menulis penulisan ilmiah merupakan antara perkara terakhir yang seorang penuntut ilmu lakukan setelah menguasai perkara-perkara lain yang beliau telah sebut sebelumnya.


Justeru, tugasan bertulis yang diberikan pensyarah tidaklah dapat memberikan manfaat yang banyak kepada para pelajar (kecuali sebilangan kecil) apabila banyak lagi asas-asas ilmu yang belum dikuasai dengan baik oleh mereka seperti kemantapan dalam bahasa Arab, menguasai ilmu-ilmu alat dengan baik, menghafal matan-matan penting untuk penuntut ilmu dan lain-lain lagi.


Saya tidak menafikan manfaat ilmu yang saya perolehi sepanjang saya menuntut ilmu di universiti. Ini sekadar pendapat saya dalam isu ini dan anda mempunyai hak untuk berbeza pendapat dengan saya.


Mohamad Amirul bin Saidi

Bagan Serai, Perak.

Jumaat, 29 Mei 2020

Kepentingan Belajar Membaca Al-Quran

1. Mendapat pahala apabila membacanya. Terdapat banyak riwayat daripada hadis Nabi صلى الله عليه وسلم yang menerangkan mengenai ganjaran dan kelebihan orang yang membaca Al-Quran. Tapi ini bukanlah fokus tulisan saya kali ini untuk menyenaraikannya satu persatu.


2. Kemampuan membaca Al-Quran dapat digunakan juga untuk membaca doa-doa, selawat-selawat dan wirid-wirid yang berasal daripada hadis Nabi صلى الله عليه وسلم. Orang yang ada kemampuan membaca Al-Quran automatik akan ada kemampuan membaca hadis Nabi صلى الله عليه وسلم. Begitu juga sebaliknya. Hal ini demikian kerana kedua-duanya dalam bahasa Arab.


Terdapat banyak zikir-zikir dan wirid-wirid yang Nabi صلى الله عليه وسلم amalkan. Ada zikir pagi dan petang, doa-doa sebelum tidur, wirid-wirid selepas solat fardhu, doa naik kenderaan, doa masuk dan keluar dari tandas dan banyak lagi. Jika kita tidak pandai membaca Al-Quran kita akan terlepas daripada mengamalkan doa-doa dan wirid-wirid ini dan akan terlepas juga pahala yang banyak.


Ya mungkin ada yang mampu menghafal dengan mendengarnya daripada rakaman atau daripada orang lain menghafalnya tanpa ada kemampuan membaca Al-Quran. Namun dari segi makhraj huruf dan sifat huruf mungkin tidak secantik dan sekemas orang yang boleh membaca Al-Quran kerana terdapat huruf-huruf Arab yang hampir sama sebutannya tetapi berbeza cara sebutannya.


3. Dapat mencegah diri daripada terlibat dengan dosa syirik. Syirik merupakan dosa yang paling besar. Sebahagian orang apabila sakit terutamanya yang mereka sangka berkaitan dengan makhluk halus atau jin akan berjumpa dengan bomoh untuk diubati. Sang bomoh pula menjampi dengan jampi-jampi yang mengandungi unsur-unsur syirik disamping dia sendiri pun berdamping dengan jin. Sebahagian mereka pula menyamar sebagai ustaz untuk mengelabui mata orang ramai.


Sedangkan jika kita boleh membaca Al-Quran kita mampu sahaja meruqyah diri sendiri dengan doa-doa yang bersumber daripada Al-Quran dan juga Al-Hadis. Teks-teks doa ini dalam bahasa Arab. Jadi, jika kita mampu baca Al-Quran kita juga akan mampu membaca doa-doa yang  diajar Nabi صلى الله عليه وسلم dalam meruqyah.


4. Kunci untuk memahami Al-Quran. Apabila kita mampu membaca Al-Quran kita telah ada asas untuk mempelajari bahasa Arab kerana Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab jadi huruf-huruf abjad bahasa Arab dan Al-Quran adalah sama. Apabila kita telah menguasai bahasa Arab kita mampu lebih memahami kandungan Al-Quran ketika membacanya.


Apabila kita ingin mempelajari bahasa asing perkara pertama yang kita perlu pelajari adalah mengenal huruf-hurufnya dan cara-cara sebutannya. Orang yang sudah boleh baca Al-Quran akan jimat bahasa ketika mempelajari bahasa Arab pada bahagian ini.


Kesimpulannya, pelajarilah membaca Al-Quran. Jika sekarang umur kita 20 tahun dan tidak pandai membaca Al-Quran sepatutnya ketika umur 40 tahun kita sudah lancar membaca Al-Quran. Jika masih tidak pandai baca Al-Quran apakah yang dibuat selama 20 tahun sebelum ini. Jika jawapannya sibuk dengan pelbagai komitmen kita tunggu sampai umur 60 pula. Jika masih tidak pandai baca Al-Quran ketika itu maknanya orang itu hanya pandai mencari alasan dan bukannya mencari jalan untuk mengatasi kelemahan diri sendiri.


Mohamad Amirul bin Saidi.

Bagan Serai, Perak.


Khamis, 28 Mei 2020

Apabila Anak Dan Menantu Pulang Ke Kampung

Peluang untuk anak dan menantu pulang ke kampung menziarahi ibu dan ayah bukanlah peluang yang selalu datang. Lebih-lebih lagi jika anak dan menantu tinggal berjauhan daripada ibu bapa, apatah lagi jika sudah dikurniakan cahaya mata. Jumlah hari yang dapat diperuntukkan di kampung pula tidaklah lama mana. Mungkin hanya beberapa hari sahaja.


Oleh itu, anak dan menantu perlu bijak menggunakan masa mereka ketika di kampung.


Sebahagian anak dan menantu mengambil peluang ketika pulang ke kampung untuk berjalan-jalan dan bersiar-siar ditempat menarik yang terdapat berdekatan kampung mereka. Walaupun mereka mungkin mengajak ibu dan ayah mereka agar turut serta, biasanya ibu dan ayah mereka tidak menyertai kerana kebiasaan orang yang sudah berumur yang tidak begitu bertenaga macam orang muda untuk berjalan-jalan disamping sudah mengidap pelbagai penyakit.


Aktiviti berjalan-jalan dan bersiar-siar tidaklah salah jika dilakukan hanya sekali-sekala sahaja apabila pulang ke kampung. Ianya juga dapat menjadi terapi mengurangkan tekanan di bandar yang selalu perlu berhadapan dengan kesesakan trafik.


Namun apabila kerap dilakukan, maka aktiviti ini menjadi aktiviti yang kurang wajar dilakukan.


Anak dan menantu perlu bertanya kepada diri mereka mengenai motif mereka pulang ke kampung. Jika motif mereka untuk menziarahi ibu dan ayah maka fokus perlu diberikan lebih kepada mereka.


Banyak sahaja aktiviti yang boleh di laksanakan dengan ibu dan ayah di kampung.


Jika anak atau menantu seorang perempuan bantulah ibu memasak di dapur, mengemas rumah, menanam pokok bunga, membasuh pakaian dan banyak lagi.


Jika anak atau menantu seorang lelaki bantulah ayah melakukan aktiviti diluar rumah seperti menebas rumput, menebang pokok, mengecat rumah dan banyak lagi.


Sambil-sambil melakukan aktiviti ini berbuallah dengan ibu dan ayah. Timbalah pengalaman hidup daripada mereka. Banyak perkara yang boleh dipelajari.


Peliharalah juga waktu makan bersama dengan ibu dan ayah. Sarapan, makan tengah hari dan makan malam.


Apa yang saya nyatakan di sini mungkin hanya aktiviti biasa bersama dengan ibu dan ayah dan mungkin ada yang menganggapnya kurang menarik. Tapi ingatlah apabila mereka telah tiada kelak kita ada kenangan yang boleh untuk dikenangkan dan kita juga tidak rasa menyesal kerana hanya kerap berjalan-berjalan dan bersiar-siar ketika pulang ke kampung suatu ketika dulu.


Mohamad Amirul bin Saidi.

Bagan Serai, Perak.

Rabu, 27 Mei 2020

Buku-Buku Yang Berjaya Dibaca Pada Tahun 2019

Buku-Buku Dalam Bahasa Melaysia/Indonesia:


1. Manhaj Ahli As-Sunnah Wal Jamaah oleh Ismail bin Omar.

48 halaman.


2. Mulia Dengan Manhaj Salaf oleh Yazid Bin Abdul Qadir Jawas.

592 halaman.


3. Syarah 'Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama'ah oleh Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas.

651 halaman.


4. Sila Baca Jangan Tidur oleh Dr. Kamilin Jamilin.

227 halaman.


Buku-Buku Dalam Bahasa Arab:


5. دراسة تحليلية في الخطاب القرآني آفاق بيانية وصور بلاغية ودلالات للدكتور رضوان جمال الأطرش


6. الفقه المنهجي على مذهب الإمام الشافعي للدكتور مصطفى الخن والدكتور مصطفى البغا وعلي الشربجي


Jilid pertama.

557 halaman.

Bacaan kali ke-3.


Jilid kedua.

472 halaman.

Bacaan kali ke-2.


Jilid ketiga.

624 halaman.


7. علم المقاصد الشرعية للدكتور نور الدين بن مختار الخادمي

207 halaman.

Bacaan kali ke-4.


8. مدخل إلى مقاصد الشريعة لأحمد الريسوني

83 halaman.


9. شرح ثلاثة الأصول للشيخ محمد بن صالح العثيمين

168 halaman.

Bacaan kali ke-3.


10. علوم الحديث أصيلها ومعاصرها للدكتور محمد أبو الليث الخير آبادي

391 halaman.

Bacaan kali ke-3.


11. المدخل إلى دراسة علوم القرآن للدكتورة صفية بنت شمس الدين

304 halaman.

Bacaan kali ke-7.


12. الملخص في شرح كتاب التوحيد لفضيلة الشيخ الدكتور صالح بن فوزان بن عبد الله الفوزان

360 halaman.

Bacaan kali ke-2.


13. شرح العقيدة الواسطية للدكتور صالح بن فوزان بن عبد الله الفوزان

287 halaman.

Bacaan kali ke-2.


14. المنهج المفيد لطلب علم الحديث لسيد عبد الماجد الغوري

140 halaman.

Bacaan kali ke-2.


15. كتاب العلم للشيخ محمد بن صالح العثيمين

254 halaman.

Bacaan kali ke-2.


16. شرح الأربعين النووية للشيخ محمد بن صالح العثيمين

320 halaman.

Bacaan kali ke-2.


17. ملخص قواعد اللغة العربية لفؤاد نعمة

414 halaman.

Bacaan kali ke-3.


18. إلى طالب العلم لسيد عبد الماجد الغوري

194 halaman.

Bacaan kali ke-2.


19. المدخل إلى دراسة الفقه الإسلامي للدكتور محمد فؤاد محمد سواري

416 halaman.

Bacaan kali ke-4.


20. المدخل إلى دراسة أصول الفقه الإسلامي للدكتور محمد فؤاد محمد سواري

414 halaman.

Bacaan kali ke-4.


21. مباحث في علوم القرآن للشيخ مناع القطان

382 halaman.

Bacaan kali ke-3.


22. كن سلفيا على الجادة للدكتور عبد السلام بن سالم السحيمي

104 halaman.


23. شرح القواعد الأربع والأصول الثلاثة ونواقض الإسلام وكشف الشبهات للشيخ عبد الرحمن بن ناصر البراك

231 halaman.


24. الإرشاد إلى صحيح الاعتقاد والرد على أهل الشرك والإلحاد للدكتور صالح بن فوزان الفوزان

400 halaman.


25. التعليقات المختصرة على متن العقيدة الطحاوية للدكتور صالح بن فوزان الفوزان

214 halaman.


Mohamad Amirul bin Saidi.

Bagan Serai, Perak.

Untuk Penuntut Ilmu

Utuk Penuntut Ilmu. Lebih kurang beginilah terjemahan tajuk buku Ila Tholib Al-Ilm jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Buku ini dikarang oleh seorang ulama hadis dari negara India yang bernama Sayyid Abdul Majid Al-Ghauri.


Buku ini saya beli di Pustaka Tok Kenali yang terletak dalam perkarangan Masjid Seri Petaling pada tahun 2017. Ketika itu saya masih lagi menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.


Buku ini berkaitan dengan adab-adab yang perlu dimiliki sebagai seorang penuntut ilmu. Banyak perkara yang disentuh oleh penulis antaranya kepentingan niat, keperluan menghafal Al-Quran, keperluan menguasai bahasa Arab, kepentingan takhasus dalam sesuatu bidang setelah mempunyai asas dalam bidang-bidang pengajian Islam dan banyak lagi.


Penulis juga banyak memberikan cadangan-cadangan kitab untuk dibaca dalam tajuk-tajuk tertentu dalam buku ini untuk pembaca meluaskan lagi pembacaan.


Kadang-kadang kita rasa malas, tidak bersemangat dan mengantuk ketika membaca dan belajar. Membaca buku dalam tema begini antara cara yang dapat memberikan suntikan semangat dan motivasi agar kita terus bersungguh dalam belajar dan membaca buku.


Saya mempunyai beberapa buah buku dalam tema begini sama ada dalam bahasa Arab, bahasa Melayu dan bahasa Indonesia namun buku ini antara buku yang dekat dihati saya.


Bahasanya mudah dan jumlah halamannya juga tidak banyak. Hanya 194 halaman disamping saiz bukunya yang kecil. Sangat sesuai untuk dibaca untuk seseorang yang baru berjinak-jinak membaca buku dalam tema ini.


Mohamad Amirul bin Saidi.

Bagan Serai, Perak.

Selasa, 26 Mei 2020

Nota Ringkas Kewangan Daripada Buku Nota Kewangan Sentap oleh Harith Faisal

1. Anak muda yang baru mula bekerja perlu menyimpan 30% hingga 50% daripada pendapatan mereka setiap bulan. Jika tidak simpan banyak simpan sedikit. Jika tidak mampu buat simpanan carilah pendapatan sampingan.


2. Anak muda perlu mempunyai tiga jenis tabung simpanan. Tabung kecemasan, tabung rumah dan tabung kahwin.


3. 10% daripada simpanan disimpan dalam tabung kecemasan, 20% peratus dalam tabung rumah dan 20% dalam tabung kahwin.


4. Jumlah simpanan tabung kecemasan paling minima perlu bersamaan  dengan 3 bulan gaji kita. Lebih baik jika bersamaan 6 bulan gaji. Jika dibuang kerja kita mempunyai simpanan yang mencukupi untuk digunakan sebelum memperolehi kerja yang baru.


5. Untuk mengelakkan duit simpanan statik dan tidak berkembang maka kita perlu simpan wang di tempat yang boleh menyebabkan wang kita semakin berkembang (menyimpan sambil melabur) seperti di Tabung Haji, Unit Amanah dan ASB (bagi yang mengambil pendapat harus melabur di dalamnya).


6. Beli rumah dulu baru beli kereta jika tiada sebarang keperluan yang mendesak. Beli kereta apabila sudah hendak berkahwin. Sebelum itu, naik sahaja motor. Lebih menjimatkan dan dapat menyimpan lebih.


7. Kos beli kereta tidak perlu melebihi gaji setahun. Jika gaji sebulan RM3000 kereta yang kita patut beli sepatutnya beharga RM36000. Jangan sesekali beli kereta yang lebih mahal daripada setahun gaji kita.


8. Berhati-hati jika hendak jadi penjamin atau elakkan terus untuk jadi penjamin walaupun kepada keluarga terdekat. Jika mereka tidak mampu bayar hutang, kita yang akan dikejar oleh pihak bank dan kita tidak mampu untuk buat pinjaman peribadi yang lain kerana rekod dengan bank sudah buruk.


9. Kita juga perlu mengambil takaful. Perlindungan takaful pastikan melebihi 10 tahun daripada gaji kita.


10. Kos takaful hayat dan kad perubatan pastikan tidak melebihi daripada 10% daripada pendapatan kita.


11. Kad perubatan untuk ahli keluarga tidak perlu lebih daripada 5% daripada gaji kita.


12. Ahli keluarga yang tidak menjana pendapatan tidak perlukan takaful hayat.


13. Ambil takaful sebelum mula melabur kerana jika kita terdedah kepada risiko kematian, hilang upaya kekal dan penyakit kritikal, risiko akan berpindah kepada pihak takaful.


14. Takaful untuk perlindungan. Hartanah untuk pelaburan. Kedua-duanya penting dan kita perlu ada.


Sekadar nota ringkas, bagi pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih terperinci silalah baca buku yang ditulis oleh penulis yang dijual dengan harga RM30 di kedai-kedai buku berhampiran anda.


Mohamad Amirul bin Saidi.

Bagan Serai, Perak.