Sabtu, 26 Disember 2015

Memahami Konsep Sebenar Bersangka Baik

1.  Apabila kita membincangkan mengenai konsep bersangka baik (Husnu Zhan menurut istilah Arabnya), kita tidak dapat lari dari membahaskan tiga perkara yang amat berkait rapat dengan konsep bersangka baik iaitu  (1) orang yang akan bersangka baik (iaitu orang yang tidak terlibat secara langsung dalam situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik padanya), (2) orang yang akan disangka baik (iaitu orang yang terlibat secara langsung dalam situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik padanya) dan (3) situasi yang akan disangka baik.  Memahami ketiga-tiga perkara ini amat penting supaya kita dapat menerapkan konsep bersangka baik dengan berkesan sama ada kita merupakan pihak yang terlibat secarang langsung dengan situasi atau pun tidak.

2.  Sebagai seseorang yang tidak terlibat secara langsung dengan situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik, kita perlulah sentiasa mendahulukan untuk bersangka baik kepada orang yang akan disangka baik iaitu yang terlibat secara langsung dalam situasi yang perlu disangka baik.  Namun dalam keadaan yang tertentu kita perlu mendahulukan untuk bersangka buruk apabila situasi yang wujud ketika itu tidak terlalu munasabah untuk bersangka baik seperti kita ternampak seseorang yang berperilaku mencurigakan sedang memanjat pagar jiran sebelah rumah kita yang kita mengetahui telah balik ke kampung.  Dalam situasi seperti ini seseorang itu perlu untuk bersangka buruk bahawa kemungkinan lelaki tersebut mempunyai niat yang tidak baik.

3.  Sebagai seseorang yang terlibat secara langsung pula dalam situasi yang memerlukan orang lain bersangka baik padanya, kita mestilah mewujudkan suasana yang dapat membantu untuk orang lain lebih mudah bersangka baik kepada kita.  Kegagalan kita untuk mewujudkan situasi tersebut telah membuka ruang kepada syaitan untuk meniupkan perasaan yang tidak baik kepada orang yang kita mahu mereka bersangka baik pada kita untuk bersangka buruk.

4.  Bagi memastikan perbincangan mengenai konsep bersangka baik lebih mudah untuk difahami saya rasa baik untuk diberikan contoh.  Sebagai contohnya kita dan kawan kita telah berjanji untuk terlibat sebagai komuti untuk satu program yang akan dijalankan pada waktu yang telah ditetapkan.  Namun pada hari kejadian tiba-tiba kita ada urusan yang begitu mustahak yang perlu untuk dilunaskan yang menyebabkan kita tidak dapat memenuhi janji kita.  Kita mempunyai dua pilihan dalam situasi ini sama ada tidak pergi ke program dengan memaklumkan kepada pihak penganjur atau kita tidak pergi ke program tanpa sebarang makluman kepada pihak penganjur.  Sekiranya kita memilih pilihan yang pertama iaitu memaklumkan ketidakhadiran kita, secara tidak langsung kita telah pun membantu pihak penganjur dan rakan-rakan lain untuk lebih mudah bersangka baik kepada kita kerana mereka telah mengetahui alasan kita.  Sekiranya pilihan kedua yang dijadikan pilihan maka inilah yang dimaksudkan tidak mewujudkan situasi agar orang lebih mudah bersangka baik kepada kita.  Sudah tentu pihak penganjur dan rakan komuti yang lain akan tertanya-tanya mengenai ketidakhadiran kita dan terpaksa memikirkan pelbagai kemungkinan untuk bersangka baik kepada kita.  Walhal untuk memaklumkan ketidakhadiran kita bukanlah satu urusan yang begitu menyulitkan.

5.  Kesimpulnnya, sebagai seseorang yang tidak terlibat secara langsung dengan sebarang situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik kepada kita, kita mestilah sentiasa cuba untuk mendahulukan untuk bersangka baik walaupun boleh jadi kadangkala keadaannya agak sukar.  Manakala orang yang terlibat secara langsung dalam situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik kepadanya,  mestilah berusaha untuk mewujudkan situasi yang memudahkan lagi untuk orang lain bersangka baik padanya.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 


Jumaat, 25 Disember 2015

Bagaimana Hubungan Antara Kita Dan Nabi صلى الله عليه و سلم Sepatutnya Dibina

Terdapat dua elemen penting yang boleh dijadikan indikator bagi mebuktikan hubungan seseorang itu dengan nabi صلى الله عليه و سلم itu sama ada tulen atau pun palsu iaitu al-Hub dan juga al-Ittiba’.  Al-Hub merupakan suatu perasaan kasih dan cinta terhadap nabi صلى الله عليه و سلم manakala al-Ittiba’ pula mengikuti segala ajaran yang telah dibawa oleh baginda صلى الله عليه و سلم.  Berikut merupakan pembahagian kumpulan berdasarkan perasaan Al-Hub dan juga Al-Ittiba yang wujud pada setiap kumpulan.

1.  Al-Hub dan juga Al-Ittiba.  Mereka ialah suatu golongan yang tidak hanya berpada hanya mempunyai perasaan cinta dan kasih kepada nabi صلى الله عليه و سلم namun turut memastikan segala amalan yang dilakukan selaras sebagimana yang telah ditunjuk ajar oleh baginda صلى الله عليه و سلم.  Mereka ini terdiri dari kalangan muslim.

2.  Al-Hub tetapi tidak Al-Ittiba’.  Cinta dan kasih kepada nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم namun tidak mengikuti risalah yang telah dibawa oleh baginda صلى الله عليه و سلم.  Kategori ini telah berlaku kepada bapa saudara nabi صلى الله عليه و سلم iaitu Abu Talib yang begitu komited membela dan mempertahankan nabi صلى الله عليه و سلم sepanjang hayatnya.  Beliau meninggal dunia tanpa mengucap dua kalimah syahadah.

3.  Al-Ittiba’ tetapi tiada Al-Hub.  Secara umumnya mereka mengikuti apa yang telah dibawa oleh nabi صلى الله عليه و سلم namun dalam hati-hati mereka langsung tidak ada rasa kasih dan cinta kepada nabi.  Apa yang adalah permusuhan dan kebencian yang disembunyikan.  Contoh kelompok ini adalah golongan munafik.

4.  Tiada kedua-duanya.  Golongan ini tidak cintakan nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم dan juga mengikuti risalah yang dibawa oleh baginda صلى الله عليه و سلم.  Contohnya adalah golongan Yahudi yang wujud pada zaman nabi صلى الله عليه و سلم.  Mereka telah menolak dakwah nabi صلى الله عليه و سلم walaupun mereka telah pun maklum mengenai kedatangan baginda صلى الله عليه و سلم menerusi perkhabaran yang terdapat dalam kitab samawi yang telah diturunkan kepada mereka.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Rabu, 23 Disember 2015

Gunakan Waktu Ketika Zaman Menuntut Ilmu Secara Formal Dengan Sebaiknya

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh para penuntut ilmu agama terutamanya ialah pengunaan waktu secara bersungguh-sungguh sepanjang fasa menuntut ilmu secara formal sama ada yang melalui sitem moden atau tradisional.
Hal ini demikian kerana apabila seseorang penuntut ilmu agama telah meninggalkan fasa menuntut ilmu agama secara formal dan terlibat dengan alam perkerjaan, waktu yang mereka ada untuk kembali mengulangkaji sesuatu yang telah dipelajari atau menambah ilmu pengetahuan yang baru semakin terhad.

Alam perkerjaan sama ada terlibat bekerja dengan institusi-institusi agama, menjadi guru agama sama ada di sekolah atau di masjid-masjid, pensyarah di universiti-universiti, imam masjid, ahli politik atau selainnya amatlah sibuk sehingga waktu untuk menuntut ilmu atau mengulangkaji ilmu ketika fasa ini amatlah sukar.

Contohnya apabila sesorang pelajar lepasan universiti dalam bidang agama memilih kerjaya guru sebagai bidang perkerjaannya selepas tamat belajar.  Setiap pagi beliau perlu sampai ke sekolah sebelum pukul 8 pagi dan pulang paling awal pada pukul 1 petang sekiranya tidak terlibat dengan kelas tambahan atau apa-apa aktiviti sekolah.  Selepas pulang ke rumah perlu pula menyemak latihan yang telah diberikan kepada murid-murid kemudian membuat persiadaan mengenai apa yang perlu diajar keesokan harinya.  Belum lagi dikira tahap kesibukannya sekiranya pihak surau atau masjid menjemputnya bagi memberikan kuliah.  Sudah tentu permintaan sebegini tidak patut ditolak begitu sahaja.  Masyarakat sekeliling juga perlu mempelajari hal-hal berkaitan agama juga.  Kesibukan sebagai guru ini semakin bertambah sekiranya sekolah tempat diajar itu mempunyai asrama.  Sudah tentu ada waktu yang perlu diperuntukkan untuk memberi kuliah agama kepada pelajar-pelajar asrama di samping perlu juga menguruskan pelbagai program keagamaan di sekolah dan juga asrama.  Di samping pelbagai kesibukan ini perhatian perlu diberikan kepada isteri dan anak-anak sekiranya telah berkahwin, ibu bapa di kampung dan adik beradik yang masih belum tamat belajar.  Ini merupakan sedikit contoh yang diberikan bagi memberikan gambaran betapa sibuknya fasa selepas tamat belajar nanti.

Cuba bayangkan berapa banyak waktu yang dapat diperuntukkan ketika ini bagi menyemak balik apa yang pernah dipelajari dahulu dan berapa banyak waktu yang ada bagi menambah ilmu pengetahuan yang baharu.  Sudah tentu amat terhad sekali.  Itu pun sekiranya kita bijak menguruskan masa.  Jika tidak, sudah tentu tidak waktu langsung yang dapat diperuntukkan.

Oleh itu, amatlah malang dan rugi sekali apabila seseorang pelajar yang menuntut ilmu agama secara formal tidak menyedari hakikat ini.  Mereka disibukkan atau menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti tidak berfaedah seperti menghabiskan masa dengan menonton filem, bermain permainan video, melepak, banyak tidur dan sebagainya.

Sepatutnya pelajar-pelajar agama ini menyibukkan diri dengan menuntut ilmu sebanyak-banyaknya sama ada yang ada di dalam silibus atau di luar silibus, sama ada yang berkaitan secara langsung dengan agama atau yang tidak berkaitan secara langsung dengan agama bagi menyelesaikan pelbagai masalah ummah yang begitu rencam sekali.  Kurangkan tidur kecuali sekadar keperluan.  Minimakan menonton filem kecuali yang bermanfaat dan bermain permainan video kecuali sekadar menghilangkan tekanan yang ada di dalam diri ketika otak terasa begitu berat.

Sekiranya pelajar-pelajar yang menuntut ilmu agama ini tidak sedar tentang perkara yang perlu diberikan fokus ketika fasa belajar secara formal ini, mereka akan menyesal kelak apabila sudah tidak ada waktu yang banyak untuk berbuat perkara yang sepatutnya diperbuat ketika fasa belajar dahulu.  Mereka akan berasa telah menyia-nyiakan peluang yang telah diberikan yang sudah tentu tidak hadir secara berkali-kali.  Mereka hanya mampu menjadi golongan agama yang bertebaran di dalam masyarakat tetapi tidak mampu menyelasaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

Apabila fasa itu telah tiba kita hanya mampu menyesal kerana tidak memanfaatkan waktu menuntut ilmu dengan sebaik-baiknya.  Sedarlah wahai penuntut-penuntut ilmu agama!

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Sunan Sittah atau Kutub Sittah

Kita sering menggunakan istilah Sunan Sittah bagi merujuk kepada kitab hadis Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Tirmizi, Sunan Abu Daud, Sunan An-Nasaie dan Sunan Ibnu Majah. Walaubagaimanapun penggunaan istilah ini menjadi kurang tepat apabila turut dimasukkan Sahih Bukhari dan Sahih Muslim di bawah kategori Sunan juga. Hal ini kerana Sahih Bukhari dan Sahih Muslim merupakan kitab Jami' dan bukan kitab Sunan.

Apakah perbezaan kita Jami' dan kitab Sunan. Kitab Jami' menghimpunkan hadis-hadis yang merangkumi semua bab dalam agama seperti akidah, tafsir, sirah, fiqh, manaqib dan banyak lagi. Manakala kitab sunan lebih fokus kepada pengumpulan hadis dalam bab fiqh sahaja seperti hadis berkaitan solat, puasa, haji dan sebagainya.

Oleh itu, terminologi yang lebih tepat apabila kita ingin merujuk kepada enam kitab tersebut ialah Kutub Sittah. Kutub merupakan jama' atau plural bagi perkataan kitab yang bermaksud buku. Istilah kutub lebih umum berbanding dengan sunan.

Sekiranya ingin menggunakan istilah sunan juga, sebaiknya disebut sebagai sunan arbaah (empat) sahaja.

Tidak mengetahui perkara seperti ini bukanlah suatu aib terutama kepada penuntut ilmu agama peringkat permulaan seperti kita. Dikongsikan disini sebagai pengetahuan am sahaja. Waallahualam.

Nota: Perkongsian ini diperolehi semasa menghadiri seminar Hadis 40 di UIA yang disampaikan oleh Dr Rozaimi. Beliau memiliki Phd Hadis dari Universiti of Jordan.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Hanya Kerana Kulit...

Dalam kulit manusia wujud satu deria yang berfungsi untuk menghantar maklumat mengenai kesakitan yang kita alami kepada otak. Apabila rosaknya deria ini disebabkan kebakaran yang teruk atau seumpamanya maka seseorang itu tidak akan berasa sakit lagi kerana tiada lagi maklumat sakit yang dihantar ke otak.

Firman Allah Azzajalla dalam surah an-Nisa' ayat 56:

 إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُمْ بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. TIAP-TIAP KALI KULIT MEREKA MASAK HANGUS, KAMI GANTIKAN UNTUK MEREKA KULIT YANG LAIN SUPAYA MEREKA DAPAT MERASA AZAB SENGSARA ITU. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Profesor Tagatat Tejasen, merupakan seorang Pengerusi bagi Jabatan Anatomi di Universiti Chiang Mai, Thailand. Beliau memperuntukkan banyak waktu untuk kajian yang berkaitan dengan deria rasa yang terdapat pada kulit. Pada mulanya, beliau tidak mempercayai al-Quran ada menyatakan fakta saintifik berkenaan dengan deria rasa kulit sejak 1400 tahun yang lalu. Kemudian beliau telah mengesahkan terjemahan ayat al-Quran berkaitan deria rasa pada kulit. Setelah itu, beliau berasa amat kagum dengan ketepatan fakta saintifik yang wujud dalam ayat al-Quran. Pada Persidangan Perubatan Saudi yang diadakan di Riyadh berkenaan Bukti-Bukti Saintifik yang wujud dalam al-Quran dan as-Sunnah beliau telah mengisytiharkan kepada umum:

لا اله الا الله محمد رسول الله

"Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah ( صلى الله عليه وسلم).

Sumber: Diadaptasi dari buku The Quran And Modern Science Compatible Incompatible karya Dr Zakir Naik.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 


           

Penemuan Sains Moden Yang Selari Dengan Ayat Al-Quran (Cap Jari)

(أَيَحْسَبُ الْإِنْسَانُ أَلَّنْ نَجْمَعَ عِظَامَهُ * بَلَىٰ قَادِرِينَ عَلَىٰ أَنْ نُسَوِّيَ بَنَانَهُ)

Maksudnya: Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? Bukan sebagaimana yang disangka itu, BAHKAN KAMI BERKUASA MENYUSUN (DENGAN SEMPURNYA SEGALA TULANG) JARINYA, (tulang yang lebih halus dari yang lain).

Orang yang tidak beriman berhujah berhubung dengan hari kebangkitan semula selepas tulang-tulang manusia telah hancur di dalam bumi dan bagaimana setiap individu boleh dikenalpasti pada hari kebangkitan atau hari akhirat kelak. Allah yang maha berkuasa menjawab bahawa Allah bukan sahaja mampu mengumpulkan tulang-tulang kita tetapi boleh juga membina semula secara sempurna hujung jari kita.

Kenapa Al-Quran apabila menjelaskan identiti seseorang individu, menyentuh secara spesifik mengenai hujung jari? Pada tahun 1880, cap jari telah menjadi satu kaedah untuk pengenalpastian identiti, selepas suatu kajian yang dijalankan oleh Sir Francis Golt. Tidak ada dua orang pun di dalam dunia ini yang memiliki bentuk cap jari yang sama. Hal ini menjadi sebab kenapa pihak polis diseluruh dunia menggunakan cap jari bagi mengenalpasti penjenayah.

1440 tahun yang lalu, siapa yang boleh tahu mengenai keunikan setiap cap jari yang ada pada manusia? Sudah pasti tidak ada yang mengetahuinya melainkan pencipta diri manusia itu sendiri!

Sumber: Diadaptasi dari buku The Quran & Modern Science Compataible Or Incompatible-Dr Zakir Naik.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

           

Selasa, 15 Disember 2015

Luasnya Ilmu

Antara perkara yang kita biasa dengar atau pun baca mengenai fasa dakwah nabi صلى الله عليه و سلم adalah tempoh dakwah nabi صلى الله عليه و سلم di Makkah adalah selama 13 tahun manakala fasa dakwah baginda صلى الله عليه و سلم di Madinah pula adalah selama 10 tahun. Hal ini menjadikan keseluruhan tempoh dakwah nabi صلى الله عليه و سلم adalah sebanyak 23 tahun. Hal ini jugalah yang saya percaya selama ini.

Alhamdulilah semester ini saya berpeluang untuk mengambil subjek Ulum al-Quran. Antara maraji' asasiah (rujukan utama) untuk subjek ini adalah kitab Mabahis Fi Ulum al-Quran karya Syeikh Manna' al-Qattan
رحمه الله تعالى. Ketika membahaskan bab Tanzil Al-Quran, Syeikh telah mengemukan dalam bahagian nota kaki yang diambil dari kitab al-Itqan Fi Ulum al-Quran karya Imam al-Suyuti رحمه الله تعالى  mengenai perselisihan pandangan antara ulama mengenai tempoh dakwah nabi صلى الله عليه و سلم.

Mereka bersepakat bahawa tempoh dakwah nabi
صلى الله عليه و سلم  Madinah adalah selama 10 tahun tetapi mereka telah berselisih pandangan mengenai fasa dakwah nabi صلى الله عليه و سلم di Makkah. Di kalangan mereka ada yang mengatakan tempoh dakwah nabi صلى الله عليه و سلم Makkah adalah selama 15 belas tahun, ada juga yang mengatakan selama 10 tahun dan ada juga yang mengatakan tempoh dakwah di Makkah sama seperti yang kita sedia maklum iaitu selama 13 tahun. Walaupun menurut nota kaki itu lagi yang tepatnya adalah selama 13 tahun.

Terdapat dua faedah besar melalui perkongsian ini. Pertama, pentingnya bagi seseorang pembaca buku bagi membaca nota kaki apabila membaca buku. Hal ini kerana nota kaki akan meberikan kita ilmu tambahan dan kita dapat mengetahui rujukan pengarang bagi sesuatu nukilannya di dalam buku yang kita baca.

Kedua, apabila kita tahu sedikit ilmu dan kita tak tahu sebenarnya kita tak tahu banyak ilmu, maka kita mengira seolah kita telah tahu banyak ilmu. Sebaliknya apabila kita tahu sedikit ilmu, dan kita menyedari bahawa apa yang kita tahu teramatlah sedikit jika dibandingkan dengan banyaknya ilmu itu, ketika itu akan terserlahlah kejahilan kita akan sesuatu perkara. Menyedari diri jahil perlulah ditampung dengan terus menuntut ilmu lagi dan jangan hanya sekadar terus berpeluk tubuh.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 


Rabu, 14 Oktober 2015

Mind Your Language

Kita tentu pernah mendengar atau membaca satu ungkapan simpulan bahasa Inggeris seperti berikut “don't judge a book by its cover”.  Simpulan bahasa ini biasa digunakan bagi menggambarkan seseorang itu tidak dapat dinilai baik atau buruk dirinya semata-mata hanya berdasarkan warna kulit dan fizikalnya.  Atau dalam bahasa yang lain apabila kita menilai seseorang hanya berdasarkan warna kulit dan fizikalnya sahaja, peratus untuk penilaian kita betul adalah sangat kecil.

Namun ini tidaklah sesekali menafikan bahawa seseorang itu langsung tidak boleh digambarkan perwatakannya.  Sekiranya kita ingin menilai baik atau tidaknya buku dengan sekadar melihat kulit buku tersebut sahaja tentulah tekaan kita boleh tersasar.  Hal ini kerana rekabentuk kulit buku kadangkala tidak ditentukan oleh pengarang buku dan biasanya ditentukan oleh penerbit yang menerbitkan buku.

Oleh itu, kita mestilah nilai dengan sesuatu yang ada kaitan langsung dengan pengarang.  Biasanya kandungan buku terdiri daripada pendahuluan, isi kandungan, bibliografi dan kandungan buku itu sendiri.  Walaupun kita tidak membaca keseluruhan buku dan hanya membaca pendahuluan dan isi kandungan buku kita telah dapat menjangka sama ada buku tersebut bagus atau tidak.  Peratus untuk tekaan kita itu tepat juga tinggi.

Begitu juga dengan manusia.  Kita tidak boleh menilai kebaikan atau keburukannya hanya semata-mata rupa paras dan warna kulit.  Akan tetapi kita dapat menilai budi yang terkandung dalam dirinya menerusi percakapannya: apa perkataan yang dipilih dan digunakan, penulisannya: apakah jenis perkataan yang digunakan ketika menaip atau menulis dan perilakunya: bagaimana tingkah lakunya dalam berhadapan sesuatu perkara.
Faktornya adalah apa yang kita tuturkan, apa yang kita taipkan dan apa tingkah laku yang kita tonjolkan ibarat cermin kepada apa yang dalam hati dan fikiran kita.  Sekiranya apa yang dalam hati dan fikiran kita baik makan yang tertonjol pada diri juga merupakan akhlak yang baik.  Kata orang putih “mind your language”.  Apa yag kita cakap perkara itulah yang sebenarnya ada dalam minda kita.

Bukanlah tulisan ini ditulis untuk menggalakkan kita untuk menilai orang lain baik atau buruk tapi yang lebih utama adalah satu peringatan untuk kita muhasabah diri kita.  Kadangakala kita tidak sedar apa jenis perwatakan yang kita bawa.  Antara cara untuk kita mengetahui perwatakan kita yang sebenarnya adalah cuba untuk mengingati apa perkataan yang kita guna untuk berkemonikasi.  Adakah di sana ada carut, keji, umpat dan maki.  Cuba kita baca tulisan sendiri adakah ada padanya bahasa bahasa yang kurang sopan.  Begitu juga tingkah laku kita, peruntukkan waktu sesekali untuk mengingatinya.

Semoga dengan mengetahuinya kita membaiki diri kita kearah yang lebih baik.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Rabu, 5 Ogos 2015

TOLONG JANGAN TUNTUT ILMU AGAMA

Sebenarnya jatuh bagunnya Islam sebagai cara hidup di sesebuah negara itu boleh dijangka.  Caranya ialah dengan melihat kepada bakal-bakal golongan agama yang wujud pada hari ini.  Sekiranya mereka yang menuntut ilmu agama secara khusus ini sahaja bermasalah, maka kita tidaklah dapat memberikan harapan yang besar terhadap perkembangan Islam di sesebuah negara.  Apa yang kita tanam merupakan apa yang kita akan tuai pada kemudian hari.  Sekiranya benih yang kita tanam itu buruk, ditambah lagi dengan langsung tidak dibaja dan disirami jangan haraplah akan menuai hasil yang baik.  Sekiranya langsung tidak bernasib baik lalang yang akan dituai bukannya buah yang didambakan.

Masalah golongan yang menuntut ilmu agama yang paling besar sekali ialah mereka tidak tahu mengapa mereka menuntut ilmu agama.  Ada yang memilih kerana keputusan peperiksaan yang tidak seberapa untuk belajar di bidang lain dan hanya layak untuk bidang agama sahaja.  Bukan salah sekiranya pelajar yang kurang pandai dari segi penilaian peperiksaannya untuk menuntut ilmu agama sekiranya mempunyai sikap yang rajin.  Akhirnya kita hanya mengumpulkan begitu ramai pelajar yang menjadikan bidang agama sebagai pilihan terakhir bukannya kerana benar-benar minat untuk mendalaminya serta ingin mempertahankannya.  Bidang ilmu yang begitu penting terhadap agama kita berikan kepada pelajar yang kurang kemampuan akademiknya tetapi bidang-bidang lain kita berikan kepada pelajar-pelajar yang baik keputusan akademiknya.  Kita salah dalam meletakkan prioriti.

Ada juga yang disalurkan ke bidang agama kerana kehendak ibu bapa.  Sebahagiam ibu bapa yang baru mendapat kesedaran Islam tidak mahu anak-anak mereka melalui apa yang mereka telah lalui dahulu iaitu kejahilan terhadap agama.  Oleh itu, dihantarlah anak-anak ini ke sekolah-sekolah tahfiz atau sekolah-sekolah agama yang amat berkembang akhir-akhir ini (saya tak maksudkan kesemuanya kerana banyak juga yang bagus).  Malangnya kesungguhan mahu anak celik agama tidak dipandu dengan ilmu yang sepatutnya.  Maka ramai yang hantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah tahfiz tanpa memperhatikan pengurusan sekolah tersebut, tenaga pengajar yang mengajar, prasarana yang disediakan dan minat anak mereka itu sebenarnya ke arah mana sebenarnya.  Akhirnya ilmu agama tak kemana akademik pun terlepas.  Menuntut ilmu agama bukannya boleh dipaksa-paksa.  Menjadikan anak faham agama itu tidak semestinya menjadikan anak itu sebagai golongan agama.  Inilah hakikat yang perlu difahami.

Akibat tidak mempunyai niat yang jelas dalam menuntut ilmu agama maka pelajar-pelajar agama ini tidak tahu apakah tangungjawab mereka sebagai pelajar agama.  Walhal tanggungjawab sebagai pelajar-pelajar agama amatlah banyak dan besar.  Apabila kita memerhatikan mereka ini kita akan terkejut benarkah mereka ini pelajar agama dan kita mungkin akan tertanya-tanya juga apa bezanya pelajar agama dangan belajar bukan agama.

Berikut merupakan beberapa contoh.  Walaupun ulama-ulama mazhab berkhilaf mengenai hukum menunaikan solat fardhu secara berjemaah namun sebagai seorang pelajar dalam bidang agama untuk menyengajakan meninggalkannya tanpa sebarang uzur bukanlah sesuatu yang sepatutnya berlaku.  Walaubagaimanapun perkara sebaliknya berlaku.  Mereka bukan sahaja tidak menunaikan solat secara berjemaah malah melewat-lewatkannya tanpa sebab yang munasabah.

Seorang pelajar agama sepatutnya seorang yang rajin belajar dan banyak membaca.  Rajin belajar yang dimaksudkan ialah rajin menuntut ilmu selain kuliah yang wajib dihadiri walaupun tak berkait secara langsung dengan ilmu agama.  Banyak membaca pula ialah membaca buku selain silibus dalam pelbagai bidang dan tidak khusus terhadap bidang agama sahaja.  Tidak ada istilah tidak ada perasaan untuk membaca.  Setiap masa yang terluang akan terisi dengan perbuatan yang berfaedah.  Namun realiti yang kita perhatikan jauh berbeza.  Kebanyakan mereka tidak ada kecenderungan untuk bersila hingga sakit tumit bagi menuntut ilmu apatah lagi membaca.  Kecenderungan mereka terarah kepada menontoton filem, menonton perlawanan bola sepak dan bermain permainan video.  Boleh jadi nama-nama pelakon tempatan ataupuan antarabangsa, pemain bola tempatan ataupun antarabangsa dan nama-nama permainan video lebih mereka kenali dan dalami daripada nama para sahabat dan para ulama.

Pelajar agama sepatutnya juga mereka yang menjaga tutur kata dan akhlak mereka.  Saya tidak maksudkan pelajar agama itu sebagai seorang yang maksum tetapi mereka berusaha dengan sedaya upaya mereka untuk memeliharanya.  Oleh itu, tutur katanya baik dan akhlak juga baik.  Sesuatu yang janggal apabila seseorang itu pelajar agama itu kerap mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya dan tingkah laku yang tidak sepatutnya.
Pelajar agama perlu juga perlu mengambil perkembangan semasa yang berlaku dalam negara mahupun luar.  Pengetahuan isu-isu semasa menjadikan seseorang pelajar agama itu lebih bersedia untuk menghadapi realiti yang ada.  Bukannya sibuk dengan hal ehwal artis.

Tulisan ini bukanlah ingin mengaibkan pelajar-pelajar agama.  Sekadar peringatan untuk penulis, pelajar-pelajar agama dan bakal-bakal pelajar agama.  Jika tidak sanggup mengubah sikap tolong jangan belajar agama.  Sila belajar bidang lain.  Agama tidak perlukan orang seperti anda.  Jangan jadi fitnah terhadap agama.  Telah banyak fitnah terhadap agama ini dan janganlah anda menjadi salah seorangnya.  Biar yang belajar ilmu agama ini sikit tapi berkualiti daripada banyak dan tak berkualiti dan memberikan bebanan terhadap agama sendiri.  Saya merayu sangat andai tidak mempunyai niat yang jelas, tidak sedar tanggungjawab yang hendak yang dipikul, malas dan tidak mahu mengubah sikap TOLONG JANGAN TUNTUT ILMU AGAMA.

Mohamad Amirul bin Saidi.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Prinsip Penting Dalam Membaca Buku

Membaca suatu amalan yang positif.  Banyak perkara positif yang kita perolehi daripadanya seperti dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, ketajaman dalam berfikir dan menilai, menjadi lebih kritis dan lain-lain lagi.  Namun, pada hari ini kita mendapati ramai juga orang yang banyak membaca tetapi telah terpesong kepada jalan yang tidak sepatutnya dan barcanggah dengan agama.  Antara sebab yang mampu difikirkan berdasarkan pengamatan kepada golongan ini adalah mereka tidak mempunyai prinsip yang betul dalam membaca.


Berhubung dengan isu ini saya tertarik dengan suatu kata-kata yang saya temui ketika membaca buku Peribadi karya Buya Hamka yang saya rasa baik untuk dijadikan asas dalam perbincangan mengenai isu ini.  Berikut merupakan nukilan yang dimaksudkan: “Guru saya A.R. St. Mansur pernah mengatakan: “Dalam agama ini, umpamanya kita lahir dua kali; kelahiran yang pertama, iaitu kita dalam keadaan Islam.  Tetapi setelah kita dewasa, kita harus lahir sekali lagi.  Kita selidiki agama itu sedalam-dalamnya dan kita sesuaikan hidup kita dengan dia.  Kemudian kita selidiki pula agama yang lain, supaya sebagai orang Islam kita ketahui apa persamaan kita dan apa perbezaan kita”.


Dalam kata-kata tersebut guru kepada Buya Hamka telah menggariskan dua prinsip penting dalam mengkaji yang dapat kita jadikan prinsip dalam membaca sesuatu bahan bacaan.  Prinsip yang dinyatakan itu juga perlu dilaksanakan dengan mengikuti urutan yang betul.


Pertama, kita perlu mengkaji agama yang kita dilahirkan dengannya dengan mendalam.  Kita perlu mengenalpasti hal yang merupakan fakta dalam agama dan hal yang mana pula hanya bersifat auta, persepsi, tohmahan, salah faham terhadap agama.  Untuk membezakan antara hal agama yang bersifat tulen dan pseudo agama kita mestilah mengkaji agama itu dari sumbernya yang asli dan melalui kefahaman ulama yang muktabar.  Sesuatu yang tidak tepat apabila sesuatu hal yang kita ingin sandarkan pada agama tetapi kita ambil dari sumber pihak yang telah salah faham terhadap agama atau memusuhi agama lalu kita jadikannya sebagai pegangan kepada agama untuk diimani.


Kedua, setelah kita melaksanakan prinsip yang pertama dengan betul dan kefahaman kita terhadap agama yang kita anuti telah pun jelas maka barulah kita pergi kepada prinsip seterusnya dalam mengkaji iaitu kita mengkaji ideologi dan agama-agama yang lain.  Sebagaimana kita mengkaji agama sendiri dengan merujuk kepada sumber asalnya begitu juga apabila kita mengkaji sesuatu ideologi atau agama lain kita perlulah merujuk kepada sumber-sumber yang mempunyai autoriti.  Hal ini supaya apa yang kita faham mengenai sesuatu ideologi atau agama lain itu adalah sesuatu yang sepatutnya kita fahami dan bukannya terbentuk hasil salah faham kita.


Masalah yang menimpa sebahagian pihak apabila mereka begitu teruja menjalankan prinsip kedua dalam mengkaji dengan mengabaikan atau melangkau prinsip pertama dalam mengkaji yang sepatutnya didahulukan.  Hasilnya kefahaman mereka terhadap agama rendah dan sebahagiannya pula terbina atas dasar atas auta, persepsi dan salah faham mereka terhadap agama.  Mereka mula menjadi kritikal terhadap agama yang mereka anuti yang sebenarnya hanya salah faham mereka sahaja.  Mereka merasakan agama yang mereka anuti sebagai tidak logik lalu menolak agama keseluruhannya atau mengambil apa yang menepati logik mereka sahaja.  Kemudian, ada pula yang memilih untuk menganut ideologi lain atau pun agama yang lain.


Oleh itu, sebagai orang yang banyak mengkaji dan membaca kita perlu melaksanakan dua prinsip ini dengan baik.  Pada zaman ini sukar untuk meyekat seseorang untuk membaca apa yang sepatutnya tidak dibaca.  Apa yang mampu kita lakukan adalah menyediakan pelan alternatif bagi membantu golongan yang kuat membaca ini supaya membaca dengan betul.

Mohamad Amirul bin Saidi.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor.