Jumaat, 19 Oktober 2018

Tip-Tip Belajar Pelajar Yang Mendapat 4.0 Dalam STPM

Saya merupakan bekas pelajar tingkatan 6 STPM Agama sesi 2012-2018 di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Pada zaman kami terdapat dua orang pelajar yang mendapat CGPA 4.0 ketika STPM. Dalam penulisan ini saya akan kongsikan tip-tip belajar salah seorang daripada mereka.

Secara jujurnya saya tidak mengenali beliau secara dekat kerana beliau merupakan pelajar perempuan manakala saya merupakan seorang pelajar lelaki. Tip-tip yang saya kongsikan ini sebahagiannya berdasarkan pemerhatian saya dan sebahagian lagi berdasarkan apa yang beliau pernah kongsikan ketika berucap dihadapan pelajar lain. Walaubagaimanapun huraian kepada setiap tip datang daripada saya sendiri.

Tip-tip beliau yang lain tentu lebih banyak berbanding apa yang saya kongsikan. Namun jika kita tidak dapat mengetahui kesemua tip-tipnya jangan pula sampai meninggalkan kesemuanya. Apa yang penting bukan berapa banyak tip yang kita tahu sebaliknya berapa banyak tip yang kita tahu yang kita amalkan.

Walaupun tip yang kita tahu sedikit tetapi jika kita amalkan secara konsisten ianya jauh lebih bermanfaat jika kita langsung tidak amalkan.

Sebahagian tip pula bersifat agak subjektif. Ianya mungkin sesuai kepada gaya belajar seseorang dan tidak sesuai kepada gaya belajar seseorang yang lain. Oleh itu, kenali diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengamalkan mana-mana tip yang dikongsikan.

1. Sentiasa duduk dibaris hadapan di dalam kelas. Antara kelebihan duduk di baris hadapan di dalam kelas adalah seseorang itu dapat lebih fokus kepada apa yang sedang diajar oleh guru.

Jika duduk dibaris belakang terdapat pelbagai jenis gangguan sama ada ianya berpunca daripada diri kita sendiri atau ianya berpunca dari pihak lain. Antara yang berpunca daripada diri sendiri adalah seperti mengelamun, mengantuk, rasa tidak bersalah untuk melakukan perkara lain ketika guru mengajar dan lain-lain lagi.

Antara gangguan yang berpunca dari pihak lain adalah seperti terdapat rakan yang duduk berdekatan yang bertanya perkara yang tidak difahaminya ketika guru sedang mengajar, bersembang dengan rakan yang duduk berdekatan, berminat untuk melihat aktiviti yang sedang berlangsung di luar kelas dan lain-lain lagi.

2. Kerap berjumpa guru. Ketika saya mengambil STPM dahulu kami perlu menyiapkan Penilaian Berdasarkan Sekolah (PBS) untuk setiap subjek. PBS yang dimaksudkan adalah kami perlu menghasilkan kajian untuk setiap subjek berdasarkan tajuk tertentu, dalam jumlah perkataan tertentu yang ditetapkan dan berdasarkan format penulisan tertentu. Apa yang saya sedari beliau agak kerap berjumpa dengan guru-guru untuk membincangkan hasil kerjanya.

Berjumpa guru amat penting sama ada untuk bertanya soalan berkenaan subjek atau untuk membetulkan kesalahan yang terdapat dalam tugasan kita. Apabila kita lebih faham sesuatu subjek dan tugasan kita juga mendapat perkenan daripada guru sudah tentu kita mudah medapat A bagi subjek tersebut.

3. Mengajar orang lain. Ketika saya mengambil STPM dahulu kami mempunyai suatu program yang dinamakan Guru Muda. Program Guru Muda bermaksud bagi setiap mata pelajaran akan dipilih pelajar yang agak cemerlang untuk mengajar pelajar-pelajar lain sebelum kelas sebenar bermula. Waktu mengajar guru muda sama ada sebelum waktu kelas normal bermula atau ketika waktu ulangkaji pada waktu malam.

Untuk mengajar orang lain kita perlulah membuat persediaan dan faham terlebih dahulu. Dengan cara ini baru kita dapat mengajar orang lain dengan lebih baik.

Mengajar orang lain juga dapat mengukuhkan lagi kefahaman kita terhadap sesuatu ilmu.
Beliau juga merupakan salah seorang tenaga pengajar Program Guru Muda.

4. Hafal satu fakta sebelum tidur. Hal ini beliau kongsikan ketika berucap di Dar Warathatul Anbiya. Dar Warathatul Anbiya merupakan tapak perhimpunan harian pelajar tingkatan 6 ketika itu. Sebelum tidur cuba ingat suatu fakta dan esoknya selepas bangun cuba ingat semula fakta yang telah kita hafal. Caranya sangat mudah dan jika berterusan impaknya sangat besar terhadap diri seseorang. Bak kata pepatah: sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Tentu kita agak sukar untuk menghabiskan satu kek yang agak besar dalam satu masa. Tapi jika kek tersebut dipotong kepada bahagian-bahagian kecil dan kita makan dari semasa ke semasa tentu kita dapat menghabiskannya. Begitulah dalam hal pelajaran. Untuk setiap mata pelajaran bahagikan kepada kuantiti-kuantiti yang lebih kecil dan ulangkaji satu demi satu sehingga selesai.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Rabu, 10 Oktober 2018

Apakah Yang Patut Dibuat Oleh Lepasan Pelajar STPM Agama Sebelum Menyambung Belajar Di Peringkat Universiti?

Terdapat pelbagai perkara yang menjadi kelaziman yang dilakukan oleh lepasan STPM Agama sebelum menyambung pelajaran ke peringkat universiti seperti bekerja, menghabiskan waktu berkualiti dengan keluarga dan lain-lain lagi.

Dalam penulisan kali ini saya ingin berkongsi dua perkara yang boleh dijadikan pertimbangan oleh lepasan STPM Agama untuk mengisi waktu kosong mereka sebelum menyambung belajar yang akan membantu mereka ketika berada di universiti nanti:

1. Memperkasakan penguasaan bahasa Arab dan juga bahasa Inggeris. Jika salah satu daripada kedua bahasa tersebut telah dikuasai dengan baik maka boleh fokus untuk menguasai bahasa yang belum dikuasai dengan baik. Hal ini sangat penting, terutamanya bagi pelajar yang menyimpan cita-cita untuk menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS yang menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Caranya adalah dengan menyertai mana-mana kursus untuk memperkasakan kedua bahasa ini. Namun sebelum itu pastikan dahulu tempat yang menawarkan kursus tersebut benar-benar mampu memperkasakan kedua-kedua bahasa tersebut dan bukannya hanya ingin mencari keuntungan semata-mata. Sudah tentu ianya memerlukan sedikit pelaburan daripada kita tapi ianya sangat berbaloi dan berguna ketika di universiti nanti.

2. Belajar kemahiran. Kita hidup di zaman yang mencabar. Tidak semestinya selepas habis belajar kita akan bekerja dalam bidang yang kita ceburi. Oleh itu, mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu amat penting. Semakin banyak kemahiran yang kita ada semakin ianya bermanfaat dalam kepada diri kita. Sekiranya kita mendapat pekerjaan dalam bidang yang kita ceburi pun kemahiran-kemahiran yang kita ada tentu dapat dimanfaatkan dalam hidup kita. Antara tempat yang menawarkan kemahiran tertentu secara percuma adalah Giat Mara. Ianya bukan sekadar percuma malahan turut mendapat elaun setiap bulan. Tempoh belajarnya juga tidak panjang. Memadai untuk dapat satu sijil dalam bidang kemahiran tertentu sepanjang tempoh menunggu sambung belajar. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemahiran-kemahiran yang ditawarkan boleh rujuk laman web mereka.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 



Selasa, 9 Oktober 2018

Kenapa Saya Tidak Bercadang Untuk Menyambung Ijazah Sarjana Sejurus Selesai Ijazah Sarjana Muda?

1. Saya perlu menjaga kedua ibu bapa saya. Adik beradik saya tidak ramai. Hanya tiga orang. Saya merupakan anak yang kedua. Abang sulung sudah menetap di Selagor atas faktor kerja. Adik perempuan saya akan menduduki SPM pada tahun hadapan (2019). Selepas SPM beliau tentu akan menyambung pelajaran di universiti dan perlu berjauhan dengan keluarga. Ibu bapa saya pula semakin berusia disamping mempunyai sakit-sakit sedia ada. Keberadaan saya dekat dengan mereka insya-Allah dapat memudahkan urusan mereka seperti membawa mereka ke klinik atau hospital untuk perjumpaan berkala dengan doktor, membantu tugas-tugas berkaitan dengan rumah dan lain-lain lagi.

2. Saya perlu melunaskan hutang PTPTN jika saya tidak berjaya meraih ijazah kelas pertama. Hanya ijazah kelas pertama yang mendapat pengecualian bayaran pinjaman PTPTN. Jika saya mempunyai hutang PTPTN, saya masih boleh menangguhkan bayaran untuk menyambung Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah namun fikiran saya tentu tidak tenang memikirkan hutang yang belum mula dilunaskan. Jika mula bayar awal maka cepat habis bayar. Begitu juga sebaliknya.

3. Saya ingin membanyakkan bacaan. Zaman belajar peringkat Ijazah Sarjana Muda sangat sibuk. Banyak kerja yang diberikan pensyarah. Tugasan secara berkumpulan pula menambahkan lagi cabarannya. Kadangkala kuantiti buku yang mampu dibaca berkurang ketika semester berlangsung kerana perlu memberi laluan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Jika saya  menangguhkan seketika untuk menyambung Ijazah Sarjana saya dapat mengulangkaji apa yang telah dipelajari ketika peringkat Ijazah Sarjana Muda disamping menambah bacaan baharu. Jika saya terus menyambung Ijazah Sarjana pasti misi memperbanyakkan bacaan saya akan terbantut.

4. Saya tidak mempunyai biaya untuk sambung belajar. Pihak penaja biasanya hanya menaja pelajar yang sangat cemerlang. Saya pula kategori pelajar yang sederhana. Tiada lagi pinjaman PTPTN untuk peringkat pasca siswazah. Jika ada pun saya sudah tidak sanggup untuk meminjam. Saya juga berpendapat saya tidak mampu bekerja dan belajar dalam masa yang sama. Saya bukanlah kategori orang yang mampu buat beberapa kerja yang memerlukan fokus yang tinggi dalam satu masa.

Apa yang saya ulas ini berdarkan konteks diri saya sendiri. Orang lain tentu mempunyai sudut pandang yang berbeza.

Kesimpulannya, setiap orang yang tidak sambung belajar selepas tamat Ijazah Sarjana Muda mempunyai pelbagai alasan yang tersendiri. Tidak menyambung Ijazah Sarjana secara terus tidak bermakna kita berhenti belajar kerana belajar tidak pernah berhenti selagi nyawa dikandung badan. Kepada yang mampu belajar, belajarlah dengan bersungguh-sungguh dan jangan sia-siakan peluang yang ada di depan mata.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor.