Utuk Penuntut Ilmu. Lebih kurang beginilah terjemahan tajuk buku Ila Tholib Al-Ilm jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Buku ini dikarang oleh seorang ulama hadis dari negara India yang bernama Sayyid Abdul Majid Al-Ghauri.
Buku ini saya beli di Pustaka Tok Kenali yang terletak dalam perkarangan Masjid Seri Petaling pada tahun 2017. Ketika itu saya masih lagi menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.
Buku ini berkaitan dengan adab-adab yang perlu dimiliki sebagai seorang penuntut ilmu. Banyak perkara yang disentuh oleh penulis antaranya kepentingan niat, keperluan menghafal Al-Quran, keperluan menguasai bahasa Arab, kepentingan takhasus dalam sesuatu bidang setelah mempunyai asas dalam bidang-bidang pengajian Islam dan banyak lagi.
Penulis juga banyak memberikan cadangan-cadangan kitab untuk dibaca dalam tajuk-tajuk tertentu dalam buku ini untuk pembaca meluaskan lagi pembacaan.
Kadang-kadang kita rasa malas, tidak bersemangat dan mengantuk ketika membaca dan belajar. Membaca buku dalam tema begini antara cara yang dapat memberikan suntikan semangat dan motivasi agar kita terus bersungguh dalam belajar dan membaca buku.
Saya mempunyai beberapa buah buku dalam tema begini sama ada dalam bahasa Arab, bahasa Melayu dan bahasa Indonesia namun buku ini antara buku yang dekat dihati saya.
Bahasanya mudah dan jumlah halamannya juga tidak banyak. Hanya 194 halaman disamping saiz bukunya yang kecil. Sangat sesuai untuk dibaca untuk seseorang yang baru berjinak-jinak membaca buku dalam tema ini.
Mohamad Amirul bin Saidi.
Bagan Serai, Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan