Khamis, 28 Mei 2020

Apabila Anak Dan Menantu Pulang Ke Kampung

Peluang untuk anak dan menantu pulang ke kampung menziarahi ibu dan ayah bukanlah peluang yang selalu datang. Lebih-lebih lagi jika anak dan menantu tinggal berjauhan daripada ibu bapa, apatah lagi jika sudah dikurniakan cahaya mata. Jumlah hari yang dapat diperuntukkan di kampung pula tidaklah lama mana. Mungkin hanya beberapa hari sahaja.


Oleh itu, anak dan menantu perlu bijak menggunakan masa mereka ketika di kampung.


Sebahagian anak dan menantu mengambil peluang ketika pulang ke kampung untuk berjalan-jalan dan bersiar-siar ditempat menarik yang terdapat berdekatan kampung mereka. Walaupun mereka mungkin mengajak ibu dan ayah mereka agar turut serta, biasanya ibu dan ayah mereka tidak menyertai kerana kebiasaan orang yang sudah berumur yang tidak begitu bertenaga macam orang muda untuk berjalan-jalan disamping sudah mengidap pelbagai penyakit.


Aktiviti berjalan-jalan dan bersiar-siar tidaklah salah jika dilakukan hanya sekali-sekala sahaja apabila pulang ke kampung. Ianya juga dapat menjadi terapi mengurangkan tekanan di bandar yang selalu perlu berhadapan dengan kesesakan trafik.


Namun apabila kerap dilakukan, maka aktiviti ini menjadi aktiviti yang kurang wajar dilakukan.


Anak dan menantu perlu bertanya kepada diri mereka mengenai motif mereka pulang ke kampung. Jika motif mereka untuk menziarahi ibu dan ayah maka fokus perlu diberikan lebih kepada mereka.


Banyak sahaja aktiviti yang boleh di laksanakan dengan ibu dan ayah di kampung.


Jika anak atau menantu seorang perempuan bantulah ibu memasak di dapur, mengemas rumah, menanam pokok bunga, membasuh pakaian dan banyak lagi.


Jika anak atau menantu seorang lelaki bantulah ayah melakukan aktiviti diluar rumah seperti menebas rumput, menebang pokok, mengecat rumah dan banyak lagi.


Sambil-sambil melakukan aktiviti ini berbuallah dengan ibu dan ayah. Timbalah pengalaman hidup daripada mereka. Banyak perkara yang boleh dipelajari.


Peliharalah juga waktu makan bersama dengan ibu dan ayah. Sarapan, makan tengah hari dan makan malam.


Apa yang saya nyatakan di sini mungkin hanya aktiviti biasa bersama dengan ibu dan ayah dan mungkin ada yang menganggapnya kurang menarik. Tapi ingatlah apabila mereka telah tiada kelak kita ada kenangan yang boleh untuk dikenangkan dan kita juga tidak rasa menyesal kerana hanya kerap berjalan-berjalan dan bersiar-siar ketika pulang ke kampung suatu ketika dulu.


Mohamad Amirul bin Saidi.

Bagan Serai, Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan