Syukur kepada Allah عزوجل
hari(18/12/2016) ini saya direzekikan untuk mengikuti majlis pembacaan hadis
daripada kitab Sahih Al-Bukhari yang dibimbing oleh Syeikh ‘Ali Al-‘Aayadi حفظه الله تعالى.
Majlis yang bermula daripada pukul 9 pagi hingga 1
petang ini berlangsung di International Institute of Islamic Unity, Ahmad
Ibrahim Kuliyyah of Law (AIKOL) yang bertempat di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM).
Dalam kesempatan ini saya akan berkongsi manfaat
yang saya perolehi sepanjang mengikuti majlis ini:
1. Dapat merangsang diri untuk membaca kitab Sahih
Bukhari. Jika ingin membacanya secara sendiri-sendiri bukannya tidak mampu tapi persoalannya entah bila tahun yang akan bermula dan bila
tahun pula yang akan tamat pembacaannya. Apabila majlis sebegini berlangsung
boleh jadi kita tidak memahami sepenuhnya maksud setiap kalimah yang terdapat
dalam hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari رحمه
الله تعالى namun sekurang-kurangnya ianya
telah memberikan suatu gambaran kepada kita secara sepintas lalu mengenai keseluruhan
kandungan kitab Sahih Bukhari secara umumnya. Untuk majlis hari ini sahaja hadis-hadis
yang dibaca hingga hadis yang ke-146 atau hingga muka surat ke-62 berdasarkan
cetakan kitab Sahih Bukhari yang saya gunakan iaitu merupakan cetakan Dar Ibnu
Kathir dan Al-Yamamah.
2. Dapat mengetahui ketelitian seseorang
ulama apabila menyusun atau menulis sesebuah kitab. Contohnya, pada pada hari ini pembacaan hadis dari kitab Sahih Bukhari
berlalu sebanyak tiga kitab iaitu Kitab Bad Al-Wahyu, Kitab Al-Iman dan Kitab
Al-Ilmu. Dalam Kitab Bad Al-Wahyu Imam Bukhari رحمه
الله تعالى memulakan kitab tersebut dengan meletakkan hadis berkaitan
dengan niat (إنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيِّاتِ).
Jika dilihat secara sepintas lalu seolahnya tidak ada sebarang kaitan antara hadis yang menerangkan mengenai kepentingan niat
dengan hadis-hadis yang lain yang terkandung dalam kitab tersebut dan juga
dengan nama kitab itu sendiri. Oleh itu, sebahagian ahli ilmu berpandangan
bahawa hadis itu diletakkan dalam bab tersebut sebagai isyarat daripada Imam
Bukhari رحمه الله تعالى kepada pembaca
kitabnya untuk mengikhlaskan diri kerana Allah dalam mengambil manfaat ilmu
daripada kitabnya. Namun pada hari ini Syeikh حفظ الله
نعالى menambah fakta lain yang menarik iaitu hadis pertama dalam
kitab Bad Al-Wahyu itu Imam Bukhari رحمه الله تعالى telah meriwayatkan daripada Al-Humaidi رحمه الله تعالى yang merupakan guru Makkah kepada Imam
Bukhari رحمه الله تعالى. Sebagaimana kita
tahu bahawa wahyu mula turun di Makkah begitulah juga Imam Bukhari memulakan kitab
tersebut dengan hadis dari guru Makkahnya. Daripada sini kita dapat lihat
betapa telitinya beliau رحمه الله تعالى dalam menyusun kitab Sahihnya.
3. Imam Bukhari akan meletakkan ayat Al-Quran yang
berkaitan dengan sesuatu bab sekiranya ada sebelum beliau meneruskan dengan
hadis-hadis yang mempunyai kaitan dengan bab. Sesiapa yang pernah membaca kitab
Riyadhus Solihin karya Imam An-Nawawi رحمه الله تعالى
juga pasti akan menyedari bahawa Imam Nawawi رحمه الله
تعالى juga menggunapakai metod yang serupa dalam kitab Riyadhus Solihin.
Hal ini berbeza dengan metod yang diguna pakai Imam Muslim dalam kitab Sahihnya.
4. Dapat mengenali perawi-perawi hadis bagi Kitab
Sahih Bukhari. Antaranya yang sempat saya perasan adalah perawi yang bernama
Muhammad bin Al-Muthanna. Hal ini kerana nama beliau kerap dijumpai sepanjang
pembacaan tiga kitab pada hari ini. Muhammad bin Al-Muthanna juga dalam masa
yang sama merupakan perawi dalam kitab Sahih Muslim.
5. Dapat mengetahui matan/teks penuh bagi sesebuah
hadis. Contohnya, apa yang saya sempat perasan hari ini adalah hadis berkaitan
dialog antara Herkules (nama jawatan bagi pemerintah Rom suatu ketika dahulu) dengan
Abu Sufyan bin Harb رحمه الله تعالى
mengenai nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.
Berdasarkan kitab Sahih Bukhari tob’ah/terbitan yang saya gunakan, dialog
tersebut direkodkan sehinggah mencecah hampir 4 muka surat. Namun jika kita
membaca kisah yang sama daripada bukan kitab hadis biasanya kisah tersebut
telah pun diringkaskan. Oleh itu, majlis sama’ amat penting untuk kita
mengetahui sanad penuh dan matan penuh bagi sesebuah hadis.
6. Tidak ada hadis yang berulang dalam Sahih
Bukhari. Pernyataan yang mengatakan wujud hadis yang berulang dalam Sahih
Bukhari bermaksud berulang disisi orang yang menyatakannya berulang tetapi
tidak disisi Imam Bukhari. Disisi Imam Bukhari hadis yang sama matannya tetapi
berbeza sanad dianggap hadis yang berbeza. Inilah sebagaimana yang telah
diperencikan oleh Syeikh حفظ الله تعالى.
7. Dapat mengetahui siapakah yang dimaksudkkan
dengan Abu Abdullah jika ada komentar selepas sesuatu hadis. Menurut Syeikh حفظ الله تعالى perkataan Abu Abdullah yang wujud dalam
Sahih Bukhari merujuk kepada Imam Bukhari رحمه الله
تعالى sendiri. Hal ini kerana naskhah Sahih Bukhari yang tersebar
sekarang merupakan naskah yang diriwayatkan oleh anak murid Imam Bukhari رحمه الله تعالى . Hal ini berbeza
dengan metodologi Imam Tirmizi رحمه الله
تعالى dalam sunannya. Imam Tirmizi رحمه الله تعالى selepas meriwayatkan sesuatu hadis
biasanya akan mengomentari hadis itu dengan menggunakan nama Abu Isa (iaitu
kunyah bagi Imam Tirmizi رحمه الله تعالى).
Sebahagian pihak tidak menggemari majlis sima’
kerana menurut mereka majlis sima’ kurang manfaat yang boleh diperolehi
daripada aspek ilmu. Saya bersetuju dengan kenyataan ini namun kurang manfaat
tidaklah bermakna tidak ada manfaat langsung yang boleh dikutip hingga kita
secara mudah untuk terus mengabaikannya. Lagipun di negara seperti Malaysia
yang majlis syarah kitab-kitab hadis tidak begitulah subur seperti
negara-negara Arab dan India kita tidak boleh bersikap terlalu selektif dalam
mengambil manfaat daripada ilmu. Kita sepatutnya memanfaatkan segala ruang dan
peluang yang ada untuk medapatkan ilmu.
Mohamad Amirul bin Saidi.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor.