Dalam
hidup ini kita tidak dapat lari daripada membuat keputusan. Sesuatu keputusan
yang kita suka tidak semestinya keputusan yang paling tepat untuk kita buat.
Berikut
saya kemukakan beberapa contoh mengenai perkara ini bagi memudahkan kefahaman.
Setiap orang mungkin mempunyai keputusan yang berbeza dalam situasi-situasi dibawah
berdasarkan latar belakang dirinya.
1. Menyambung
belajar dalam bidang agama di Timur Tengah atau dalam negara. Saya suka sekiranya
mendapat peluang menyambung pelajaran dalam bidang agama di negara Timur Tengah.
Banyak kelebihan belajar agama di Timur Tengah berbanding di universiti
tempatan. Antaranya penguasaan bahasa Arab yang lebih mantap, dapat menuntut ilmu
daripada ulama-ulama yang hebat, silibus pengajian yang lebih tinggi, kelas
talaqqi yang banyak dan lain-lain lagi.
Walaubagaimanapun
keputusan yang saya ambil adalah sebaliknya. Saya memilih untuk menyambung
pelajaran dalam bidang agama peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti
tempatan. Keputusan ini saya ambil setelah mempertimbangkan situasi keluarga
saya. Adik beradik saya tidak ramai. Hanya tiga orang. Abang sulung saya
bekerja dan menetap di negeri lain. Adik bongsu saya pula sudah berada di
tingkatan 4 dan insya-Allah akan menyambung pelajaran di universiti suatu hari
nanti yang kebiasaannya jauh dari kampung halaman, ibu bapa pula semakin
meningkat usia dan perlukan perhatian yang lebih, maka keputusan yang lebih
tepat yang saya ambil adalah menyambung pelajaran belajar di universiti
tempatan. Hal ini sebagai langkah persediaan jika berlaku apa-apa kepada ibu
bapa saya, mudah untuk saya menguruskannya berbanding jika saya berada di luar
negara. Apa yang saya tidak dapat jika saya belajar dalam negara berbanding
luar negara saya tampung berdasarkan apa yang saya mampu.
2. Menyambung
pelajaran selepas Ijazah Sarjana Muda hingga peringkat Ijazah Doktor Falsafah
atau kerja terlebih dahulu. Saya suka sekiranya dapat terus menyambung
pelajaran hingga Ijazah Doktor Falsafah sejurus sahaja selesai Ijazah Sarjana Muda.
Hal ini demikian kerana ianya dapat menjimatkan masa, ilmu yang dipelajari pada
peringkat sebelumnya masih segar di dalam minda, belum mempunyai banyak
komitmen yang perlu difikir dan dibuat dan lain-lain lagi.
Namun
setelah mempertimbangkan pelbagai faktor seperti keluarga, kewangan dan
kemantapan ilmu maka saya memilih untuk bekerja terlebih dahulu yang saya
rasakan keputusan yang lebih tepat.
Faktor
keluarga telah saya jelaskan pada poin nombor 1. Kewangan yang sihat amat
penting jika kita ingin menyambung pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana dan
Ijazah Doktor Falsafah. Tiada pinjaman PTPTN lagi pada peringkat ini dan jika
ada pun saya sudah tidak sanggup lagi untuk menganggung hutang. Untuk belajar
pada dua peringkat ini sama ada kita perlu mencari penaja atau kita perlu
menggunakan dana sendiri. Penaja pula biasanya hanya menaja pelajar yang sangat
cemerlang. Pelajar yang cemerlang sahaja biasanya sukar untuk mendapatkan
tajaan. Oleh itu, saya perlu bekerja terlebih dahulu untuk mengumpul duit.
Kemantapan
ilmu juga penting sekiranya kita ingin menyambung pelajaran peringkat Ijazah
Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. Jadi saya ingin mengambil kesempatan fasa
saya belum menyambung pelajaran untuk mengulangkaji apa yang saya telah
pelajari di samping menambah bahan bacaan yang baru.
Setelah
meneliti tiga faktor tersebut, bekerja dahulu sebelum menyambung pelajaran
peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah saya rasakan suatu
keputusan yang lebih tepat.
3. Ambil
Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah versi yang perlu ambil subjek atau
versi membuat kajian semata-mata. Saya suka Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor
Falsafah yang mempunyai subjek yang perlu diambil selain daripada penulisan
tesis. Hal ini demikian kerana saya seorang yang suka belajar. Walaupun kita
telah berada pada tahap pasca siswazah, sebenarnya masih banyak perkara yang
kita tidak tahu dan perlu belajar dengan bimbingan guru yang mahir dalam bidang
tersebut. Hal tersebut sukar diperolehi jika kita hanya mengambil Ijazah
Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah versi penulisan tesis atau kajian
semata-mata.
Walauabagaimanapun
keputusan yang lebih tepat yang saya perlu ambil berdasarkan situasi semasa
saya adalah mengambil Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah versi kajian
tanpa subjek kerana saya tentu akan sibuk kerana sudah bekerja ketika itu
disamping komitmen-komitmen yang lain. Perkara-perkara yang saya tidak dapat
perolehi jika tidak ambil Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah versi mempunyai
subjek perlu saya tampung berdasarkan kemampuan dan kreativiti saya.
4.
Pulang mengundi atau kekal di universiti menyiapkan tugasan yang diberikan
pensyarah. Saya suka sekiranya dapat pulang
ke kampung ketika PRU 14 tahun 2018 untuk mengundi bagi menentukan masa depan
negara. Lebih-lebih lagi apabila pihak universiti sudi memberikan cuti bagi
memudahkan anak rantauan pulang ke kampung.
Namun
jika difikirkan kembali jika saya pulang ke kampung banyak kerja yang diberikan
pensyarah terutamanya tugasan secara berkumpulan akan jadi tergendala, maka
saya mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung. Lebih-lebih lagi saya
merupakan ketua kumpulan untuk setiap tugasan berkumpulan yang perlu bertugas
untuk menyemak bahagian yang dibuat rakan-rakan yang lain dan menyuntingnya
yang kesemuanya memerlukan kepada komitmen masa.
Justeru,
dalam membuat keputusan dalam hidup kita seimbangkanlah antara idealistik dan realistik,
dan tidak semua keputusan yang kita suka merupakan suatu keputusan yang paling
tepat. Ukurlah baju di badan sendiri.
Mohamad Amirul bin Saidi.
Universiti Islam Antarabang Malaysia, Gombak, Selangor.