Setiap kali selepas
peperiksaan SPM atau STPM calon-calon biasanya sibuk untuk memohon secara dalam
talian atau online universiti yang
diidam-idamkan. Ada calon yang memohon
sesuatu universiti disebabkan ada ahli keluarganya yang pernah belajar di
universiti berkenaan. Ada juga yang
memohon sesuatu universiti kerana merasakan universiti tersebut berada pada kedudukan
atau ranking yang terbaik. Ada juga yang memohon sesuatu universiti
kerana mengikut rakan-rakan yang lain.
Kemungkinan tidak ramai yang memohon sesuatu universiti berdasarkan ilmu
pengetahuan yang mendalam terhadap sesuatu universiti yang dimohon. Boleh jadi juga tidak ramai juga yang
menjalankan kaji selidik atau survey terhadap sesuatu universiti.
Saya menyentuh isu ini
disebabkan ramai calon-calon yang ingin mengambil jurusan agama yang agak
kurang cakna atau kurang ambil tahu.
Mereka tidak mengkaji secara sebetulnya dan hanya mengisi disebabkan
sebab-sebab yang dinyatakan diatas.
Perkara utama yang perlu
diambil tahu oleh bakal-bakal pelajar jurusan agama apabila ingin memohon
sesuatu universiti ialah jenis jurusan (seperti Syariah, Dakwah dan lain-lain)
yang akan diambil dan juga bahasa yang dijadikan bahasa pengantar untuk jurusan
tersebut di universiti yang ingin dimohon.
Untuk menjawab dua persolan
tersebut pula kita perlu menjawab satu lagi persoalan iaitu apakah tujuan kita
ingin mengambil jurusan agama?. Adakah
sekadar ikut-ikutan?, adakah kerana disebabkan ingin memenuhi harapan ibu
bapa?, adakah sekadar untuk menambah ilmu agama untuk beramal sendiri-sendiri?
atau adakah untuk menjadi pakar dalam bidang agama dan dapat menjadi rujukan
kepada masyarakat.
Sekiranya jawapan kita bukan
jawapan untuk soalan terakhir, persoalan mengenai jenis jurusan atau bahasa
yang digunakan untuk jurusan tersebut di universiti tidaklah terlalu
besar. Tetapi sekiranya jawapan yang
kita pilih ialah bagi soalan yang terakhir, persoalan mengenai jenis jurusan
dan bahasa pengantar untuk jurusan tersebut perlu direnung dan difikir secara matang.
Apa kepentingan untuk
memilih jenis jurusan agama yang sesuai?.
Kepentingannya ialah kita dapat mengetahui jenis jurusan yang sesuai
dengan diri kita. Selain itu, kita juga
dapat mengetahui jenis jurusan agama yang agak kurang menjadi tumpuan golongan
agama dalam negara dan dapat mengisi ruang-ruang kosong yang ada. Namun yang sebaiknya dapat menjadi pakar
untuk setiap jenis jurusan agama seperti ulama-ulama terdahulu. Namun untuk menjadi pakar dalam semua jenis
jurusan agama bukanlah sesuatu yang mudah dan mengmbil masa yang panjang
kecuali bagi sesiapa yang Allah anugerahkannya.
Apa kepentingan untuk
mengetahui bahasa yang dijadikan bahasa pengantar untuk sesuatu jenis jurusan
agama yang akan diambil?. Kepentingannya
kembali kepada apakah tujuan kita ingin belajar agama. Sekiranya ingin menjadi pakar, universiti
yang menawarkan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar perlu diberi keutamaan.
Hal ini kerana apabila
bahasa Arab dijadikan sebagai bahasa pengantar sedikit sebanyak dapat
memahirkan penuntutnya untuk memahami bahasa Arab, membaca, berkomunikasi dan
yang paling penting dapat merujuk kitab-kitab ulama yang berbahasa Arab. Tentu sahaja al-Quran diturunkan dalam bahasa
Arab begitu juga hadis-hadis nabi Muhammad S.A.W.
Secara langsung dapat
meluaskan lagi sumber rujukan kepada pelajar-pelajar yang bahasa pengantarnya adalah
bahasa Arab. Berbeza dengan pelajar yang
menggunakan bahasa ibunda yang memiliki sumbur rujukan yang terhad. Hanya bergantung kepada kitab-kitab dalam bahasa
ibunda dan kitab-kitab yang telah diterjemahkan sahaja. Kitab-kitab terjemahan sudah pasti memiliki
kelemahan dalam aspek terjemahan. Hal
ini kerana perbendaharaan kata bahasa Arab yang luas berbanding dengan
bahasa-bahasa lain dunia. Mereka juga
sekiranya tidak berusaha lebih tidak dapat merujuk kitab-kitab dalam bahasa
Arab.
Selain itu, dalam aspek
bahasa, kita juga perlu memberi keutamaan universiti yang memberi penekanan
terhadap bahasa Enggeris. Hal ini kerana
untuk menjadi golongan agama tidak memadai seseorang itu hanya menguasai bahasa
kebangsaan sesebuah negara dan bahasa Arab sahaja. Perlu juga untuk mahir bahasa asing yang lain
seperti bahasa Enggeris. Hal ini penting
untuk memahami dan menjawab dakwaan golongan orientalis dalam bahasa yang dapat
difahami oleh mereka sendiri. Di samping
itu, dapat juga diaplikasikan untuk tujuan dakwah.
Kepakaran dalam Bahasa Arab
dan bahasa Enggeris tentu sahaja dapat dimanfaatkan apabila kita menyambung
pelajaran di peringkat lebih tinggi di timur tengah dan negara barat.
Walaubagaimanapun saya
menghormati universiti-universiti yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa
pengantar. Mungkin mereka mempunyai alasan yang tersendiri. Cuma kita
sebagai bakal pelajar universiti perlu memikirkan perkara ini secara lebih
kritikal.
Mohamad Amirul bin Saidi.
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak.