Rabu, 8 Mac 2023

Sebahagian Isi Penting Dari Buku Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai Ke Syurga dan Murabbi Cinta Tulisan Ustaz Hasrizl Bin Abdul Jamil

1. Tulisan-tulisan dalam buku ini berkisarkan mengenai pra perkahwinan, perkahwinan, pasca perkahwinan dan keibubapaan walaupun susunan babnya tidak disusun sebegitu.

2. Terdapat beberapa buku yang dicadangkan untuk pembaca baca oleh penulis antaranya:

a)Tabiyatul Aulad oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan (Pendidikan Anak-Anak).

b) Men Are From Mars, Women Are From Venus oleh John Gray (Psikologi Lelaki & Perempuan).

c. Buku-buku berkaitan kewangan oleh Azizi Ali.

d. New Baby Care Book: A Practical Guide to the First Three Years oleh Dr. Miriam Stoppard dan The Complete Book of Mother & Baby Care oleh Elizabeth Fenwick (Penjagaan Anak-Anak).

e. The Muslim Vol. 2: Closer Than A Garment: Marital Intimacy According to the Pure Sunnah oleh Muhammad Al-Jibaly (Hubungan Suami Isteri).

f. Di Jalan Dakwah Aku Menikah dan Bahagiakan Dirimu Dengan Satu Istri oleh Cahyadi Takariawan (Buku dengan tema yang sama dengan buku Aku Terima Nikahnya di Indonesia).

3. Orang yang menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan perlu berusaha mencari jodoh dengan cara-cara yang dibenarkan syarak antaranya melalui unit Baitul Muslim, orang tengah yang dipercayai dan seumpamanya. Tidak cukup sekadar berdoa sahaja kerana lelaki tidak datang bergolek, dan perempuan pula tidak datang melayang.

4. Puasa yang mampu mengawal nafsu orang yang belum mampu berkahwin bukan sekadar berpuasa daripada makan dan minum semata-mata sebaliknya memahami konsep disebalik ibadah berpuasa itu sendiri untuk melatih diri mengatakan tidak kepada sebahagian kemahuan tatkala ada kemampuan untuk melakukannya.

5. Jangan mulakan sesuatu hubungan sama ada dengan lelaki atau perempuan sekiranya belum bersedia untuk menaiktaraf hubungan itu kepada sebuah perkahwinan dalam masa yang terdekat. Kerana hubungan yang tidak diikat dengan perkahwinan terdedah kepada pelbagai risiko dosa dan juga boleh berakhir begitu sahaja apabila timbul perasaan jemu kerana belum diikat dengan sebarang tanggungjawab.

6. Sepanjang fasa taaruf dan bertunang seorang lelaki dan perempuan itu masih orang asing. Oleh itu, batasan hubungan antara lelaki dan perempuan ajnabi mestilah sentiasa dijaga.

7. Terdapat pelbagai adat dalam perkahwinan yang sebahagiannya agak menyusahkan pasangan yang ingin berkahwin. Walaubagaimanapun proses untuk memudahkan perkahwinan dan menghapuskan adat-adat yang tidak perlu perlu dibuat dengan hati-hati dan cermat.

8. Matlamat perkahwinan perlu lebih jauh daripada sekadar untuk menghalalkan hubungan suami isteri supaya rumah tangga ada arah tujunya selepas berkahwin.

9. Apabila ingin berkahwin jangan hanya nampak dan fikir yang indah-indah sahaja tetapi perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang tidak indah-indah sepanjang melayari bahtera rumah tangga.

10. Dalam hubungan perkahwinan ada syariatullah (hukum-hakam) dan juga sunnatullah (hukum sebab dan akibat) dan kedua-duanya perlu bergerak seiringan kerana kedua-duanya datang daripada Allah. Perkahwinan yang berasaskan syariatullah masih berpotensi bergolak sekiranya seperti aspek sunnatullah seperti perasaan cinta tidak dibaja dan dijaga sepanjang perkahwinan.

11. Ustaz Hasrizal mentakrifkan cinta/kasih sayang sebagai perhatian. Oleh itu, antara cara untuk memberikan kasih sayang kepada pasangan dan anak-anak dengan memberikan perhatian kepada mereka.

12. Dalam rumah tangga masih ada suami dan isteri walaupun setelah kelahiran anak-anak. Oleh itu, hubungan antara suami dan isteri perlulah sentiasa disuburkan daripada semasa ke semasa walaupun sudah semakin sibuk dengan anak-anak.

13. Komunikasi merupakan asas yang sangat penting dalam rumah tangga. Oleh itu, pasangan suami isteri perlu sentiasa berkomunikasi daripada semasa ke semasa meluahkan apa yang terbuku dihati agar setiap masalah dapat diselesaikan bersama secara baik.

14. Apabila berkahwin dengan seseorang kita bukan sahaja berkahwin dengan kelebihan yang ada padanya sahaja tetapi kita juga berkahwin dengan kekurangan yang ada pada diri pasangan. Belajar untuk terima pasangan seadanya kerana tiada manusia yang sempurna.

15. Dalam rumah tangga aspek peranan sebagai suami atau isteri lebih patut diutamakan berbanding aspek hak masing-masing. Perkahwinan adalah medan untuk memberi dan bukan untuk menerima sahaja. Erti hidup pada memberi.

16. Ketika menunaikan haji, umrah dan sedang berpuasa kita dilarang daripada bercakap perkara rafas iaitu perkara yang berkaitan dengan seks dan hubungan intim suami isteri. Oleh itu, selain daripada tiga keadaan tersebut bercakap perkara rafas dengan pasangan masing-masing dibolehkan dan dapat menyuburkan perasaan cinta dan kasih sayang dalam rumah tangga.

17. Sunnah dalam meramaikan kuantiti anak (umat) perlulah diseiringkan dengan kualiti anak yang dididik supaya anak yang lahir menjadi pengikut Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan bukannya menjadi pengikut dajal.

18. Namakan anak dengan nama-nama yang mempunyai maksud yang baik dan anak-anak pula dididik sesuai dengan nama yang telah diberikan.

19. Besarkan anak-anak sesuai dengan fitrah mereka. Anak lelaki dibesarkan dengan unsur-unsur kelakian. Begitu juga anak perempuan dibesarkan dengan unsur-unsur keperempuanan.

20. Jangan bandingkan anak-anak dengan anak-anak orang lain dan sesama adik beradik yang lain sepertimana ibu bapa juga tidak suka seandainya dibandingkan dengan ibu bapa yang lain.

21. Membaca buku cerita kepada anak-anak sebelum tidur dapat memberikan banyak kesan yang positif kepada anak-anak. Cerita pula apabila mampu diolah sendiri lebih bagus.

22. Mengajar anak menguasai satu bahasa dalam satu masa lebih baik daripada mengajar banyak bahasa dalam satu masa walaupun ibu dan ayah menguasai lebih daripada satu bahasa untuk mengelakkan kekeliruan terhadap anak-anak. Bahasa-bahasa yang lain boleh dipelajari apabila sampai masanya.

23. Didik anak-anak dengan menjadi contoh tauladan yang boleh diikuti. Action speak louder than words.

24. Ibu bapa merupakan pihak yang paling wajar mendedahkan pendidikan seks kepada anak-anak.

25. Walaupun ibu bapa sudah senang, sedikit kesusahan perlu diberikan kepada anak-anak untuk memberi persediaan kepada mereka untuk menempuh kehidupan yang mencabar.

26. Elakkan memburukkan pasangan dan kerjaya pasangan dihadapan anak-anak sebaliknya jelaskan dengan baik kerjaya pasangan masing-masing agar anak-anak faham kesibukan ibu dan ayah itu untuk kebaikan dirinya juga.

27. Apabila meningkat usia memori kita terhadap ibu dan ayah kita semakin berkurang. Oleh itu, untuk elakkan generasi kemudian melalui pengalaman hidup yang sama tulislah sebahagian kisah hidup yang disulami dengan nasihat dan hikmah untuk tatapan generasi kemudian. Selain itu, tulisan ini juga mampu menjadi rujukan apabila memori kita semakin tumpul seiring peningkatan usia.


Mohamad Amirul bin Saidi.

Bagan Serai, Perak.