Khamis, 4 Jun 2020

Tugasan Bertulis Ketika Peringkat Ijazah Sarjana Muda

Sesiapa yang pernah menuntut ilmu agama di universiti tempatan tentu sudah biasa dengan tugasan bertulis yang diberikan oleh pensyarah yang biasanya disebutkan sebagai bahas.


Terdapat sebahagian pensyarah yang telah menetapkan tajuk tertentu untuk para pelajar tulis manakala sebahagian lagi memberikan kebebasan untuk para pelajar memilih tajuk penulisan mereka.


Ada tugasan bertulis berkumpulan dan ada juga tugasan bertulis individu.


Sebahagian subjek pula mempunyai lebih daripada satu tugasan bertulis sama ada secara individu atau berkumpulan atau kedua-duanya.


Banyak masa pelajar yang perlu diperuntukkan untuk menyiapkan tugasan berkumpulan ini yang mempunyai nilai markah tertentu yang akan memberikan kesan kepada turun naik CGPA.


Perjumpaan berkumpulan bagi mengatur perjalanan menyiapkan tugasan bertulis, mencari buku-buku rujukan di perpustakaan, memuat turun buku-buku pdf di internet yang berkaitan tajuk dan lain-lain lagi perlu dibuat untuk menjadikan tugasan bertulis berkumpulan atau individu berjaya disiapkan dengan jayanya.


Terdapat sekumpulan kecil pelajar yang berjaya memasukkan penemuan baru dalam tugasan bertulisnya dan bakinya sekadar menukilkan daripada pelbagai bahan rujukan sambil membuat sedikit ulasan tanda kefahaman. Namun terdapat juga kelompok pelajar yang sekadar menukilkan daripada sumber rujukan tanpa sebarang ulasan dan mungkin juga kefahaman.


Antara tujuan tugasan bertulis diberikan kepada pelajar untuk mempersiapkan mereka untuk menjadi pengkaji ilmiah apabila mereka menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah kelak.


Persoalannya adakah pemberian tugasan bertulis kepada para pelajar mampu memenuhi objektifnya.


Untuk menjawab persoalan ini saya teringat sebuah buku berkenaan adab seorang penuntut ilmu yang saya pernah baca. Judulnya dalam bahasa Arab Ila Tolib Al-Ilm atau dalam bahasa Melayu setelah diterjemahkan berbunyi Untuk Penuntut Ilmu. Buku ini merupakan karya Sayyid Abdul Majid Al-Ghauri yang merupakan seorang ulama hadis kotemporari yang berasal daripada India.


Antara topik yang beliau bincangkan dalam buku ini bertajuk Menyibukkan Diri Dengan Penulisan Yang Bermanfaat Apabila Sudah Mempunyai Keahlian Di Dalamnya. Menariknya topik ini merupakan topik kedua yang terakhir yang beliau bincangkan dalam buku beliau. Antara topik-topik awal yang beliau bincangkan dalam bukunya bertajuk Menghafal Al-Quran, Mempelajari Bahasa Arab Dan Menguasainya, Menuntut Ilmu Secara Berperingkat-Peringkat dan banyak lagi. Terdapat 34 tajuk kesemuanya.


Berdasarkan penyusunan tajuk yang beliau susun dalam bukunya kita dapati bahawa menulis penulisan ilmiah merupakan antara perkara terakhir yang seorang penuntut ilmu lakukan setelah menguasai perkara-perkara lain yang beliau telah sebut sebelumnya.


Justeru, tugasan bertulis yang diberikan pensyarah tidaklah dapat memberikan manfaat yang banyak kepada para pelajar (kecuali sebilangan kecil) apabila banyak lagi asas-asas ilmu yang belum dikuasai dengan baik oleh mereka seperti kemantapan dalam bahasa Arab, menguasai ilmu-ilmu alat dengan baik, menghafal matan-matan penting untuk penuntut ilmu dan lain-lain lagi.


Saya tidak menafikan manfaat ilmu yang saya perolehi sepanjang saya menuntut ilmu di universiti. Ini sekadar pendapat saya dalam isu ini dan anda mempunyai hak untuk berbeza pendapat dengan saya.


Mohamad Amirul bin Saidi

Bagan Serai, Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan