Selasa, 26 Mei 2020

Nota Ringkas Kewangan Daripada Buku Nota Kewangan Sentap oleh Harith Faisal

1. Anak muda yang baru mula bekerja perlu menyimpan 30% hingga 50% daripada pendapatan mereka setiap bulan. Jika tidak simpan banyak simpan sedikit. Jika tidak mampu buat simpanan carilah pendapatan sampingan.


2. Anak muda perlu mempunyai tiga jenis tabung simpanan. Tabung kecemasan, tabung rumah dan tabung kahwin.


3. 10% daripada simpanan disimpan dalam tabung kecemasan, 20% peratus dalam tabung rumah dan 20% dalam tabung kahwin.


4. Jumlah simpanan tabung kecemasan paling minima perlu bersamaan  dengan 3 bulan gaji kita. Lebih baik jika bersamaan 6 bulan gaji. Jika dibuang kerja kita mempunyai simpanan yang mencukupi untuk digunakan sebelum memperolehi kerja yang baru.


5. Untuk mengelakkan duit simpanan statik dan tidak berkembang maka kita perlu simpan wang di tempat yang boleh menyebabkan wang kita semakin berkembang (menyimpan sambil melabur) seperti di Tabung Haji, Unit Amanah dan ASB (bagi yang mengambil pendapat harus melabur di dalamnya).


6. Beli rumah dulu baru beli kereta jika tiada sebarang keperluan yang mendesak. Beli kereta apabila sudah hendak berkahwin. Sebelum itu, naik sahaja motor. Lebih menjimatkan dan dapat menyimpan lebih.


7. Kos beli kereta tidak perlu melebihi gaji setahun. Jika gaji sebulan RM3000 kereta yang kita patut beli sepatutnya beharga RM36000. Jangan sesekali beli kereta yang lebih mahal daripada setahun gaji kita.


8. Berhati-hati jika hendak jadi penjamin atau elakkan terus untuk jadi penjamin walaupun kepada keluarga terdekat. Jika mereka tidak mampu bayar hutang, kita yang akan dikejar oleh pihak bank dan kita tidak mampu untuk buat pinjaman peribadi yang lain kerana rekod dengan bank sudah buruk.


9. Kita juga perlu mengambil takaful. Perlindungan takaful pastikan melebihi 10 tahun daripada gaji kita.


10. Kos takaful hayat dan kad perubatan pastikan tidak melebihi daripada 10% daripada pendapatan kita.


11. Kad perubatan untuk ahli keluarga tidak perlu lebih daripada 5% daripada gaji kita.


12. Ahli keluarga yang tidak menjana pendapatan tidak perlukan takaful hayat.


13. Ambil takaful sebelum mula melabur kerana jika kita terdedah kepada risiko kematian, hilang upaya kekal dan penyakit kritikal, risiko akan berpindah kepada pihak takaful.


14. Takaful untuk perlindungan. Hartanah untuk pelaburan. Kedua-duanya penting dan kita perlu ada.


Sekadar nota ringkas, bagi pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih terperinci silalah baca buku yang ditulis oleh penulis yang dijual dengan harga RM30 di kedai-kedai buku berhampiran anda.


Mohamad Amirul bin Saidi.

Bagan Serai, Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan