Sabtu, 22 Februari 2014

Jenayah Akademik

Menyeludup nota masuk ke dalam peperiksaan.  Mendapat kebenaran untuk melihat buku dan bertanya rakan ketika peperiksaan.  Pensyarah sengaja meninggalkan tempat peperiksaan dan menyatakan beliau tidak bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku sepanjang tempoh ketiadaannya (memberi peluang untuk pelajar meniru secara kinayah atau secara tidak langsung). Langsung tidak memperuntukkan waktu untuk mengulangkaji sesuatu subjek kemudian pensyarah memberi nota untuk dibaca yang  merupakan soalan sebenar peperiksaan, menggodam laman sesawang kolej, universiti atau sebagainya untuk memperolehi soalan bocor atau soalan sebenar peperiksaan, mengupah seseorang untuk menyiapakan tugasan, meniru hasil kerja individu lain dan sebagainya.

Contoh-contoh tersebut mungkin antara bentuk meniru dalam peperiksaan yang pernah kita dengar yang berlaku di universiti, kolej dan sebagainya.  Mungkin ada yang begitu bangga berkongsi kepada kita mengenai kegiatan menirunya tersebut.  Pelbagai alasan digunakan seperti terlalu sibuk dengan tugasan yang diberikan, tidak ada masa (saya lebih gemar untuk menggunakan istilah tidak memperuntukkan masa), komitmen terhadap jawatan yang dipikul dan banyak lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan di menara gading yang menjadikan pelajar-pelajar telalu sibuk dengan pelbagai aktiviti.  Perlu menghadiri kuliah, tugasan-tugasan yang diberikan pensyarah, terlibat dengan aktiviti kokurikulum, komitmen terhadap jawatan yang dipegang dan lain-lain.  Namun menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak sempat mengulangkaji pelajaran dan terpaksa meniru atau sengaja meniru bagi mengelakkan terpaksa mengulang semula subjek tersebut sekiranya gagal menggambarkan sikap tidak amanah.

Perkara ini menjadi lebih kritikal apabila kes meniru bukan hanya melibatkan pelajar-pelajar yang mengambil jurusan selain agama malah pelajar-pelajar yang mengambil jurusan agama juga turut tidak terkecuali (yang sepatutnya lebih terdedah dengan perintah-perintah dan larangan-larangan dalam agama).

Isu meniru ini sekiranya tidak dibendung akan memberi pelbagai implikasi yang negatif.  Berikut merupakan antara keburukan meniru:

1.
Menjadikan seseorang itu tidak mahir dengan ilmu yang dipelajarinya.  Bayangkan seorang golongan agama memberikan fatwa yang salah disebabkan tidak menguasai sesuatu subjek yang dahulunya dia telah meniru.  Masyarakat boleh menjadi keliru.


2.
Menjadikan seseorang terbawa-terbawa tabiat buruk tersebut ketika menempuh alam pekerjaan.  Disebabkan sudah terbiasa mengamalkan aktiviti meniru ketika belajar maka bukanlah menjadi sesuatu yang sukar untuk seseorang itu terus meniru ketika sudah bekerja seperti meniru untuk peperiksaan kenaikkan pangkat.


3.
Menjadikan pihak majikan salah faham mengenai keupayaan sebenarnya.  Hal ini disebabkan keputusannya yang baik yang tertulis di atas sijil menjadikan pihak majikan menganggapnya sesuai untuk sesuatu jawatan.  Namun hakikat sebenarnya keputusan yang baik itu diperolehi daripada kegiatan menirunya.  Seseorang itu akan terus menipu dan menipu.  Bayangkan pendapatan yang diperolehi dengan cara ini.


Oleh itu, sebagai seorang pelajar, tidak seharusnya kita terlibat dengan jenayah-jenayah akademik seperti ini.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak. 

Belajar Agama Tanpa Guru

“Sesiapa yang belajar (agama khususnya) tanpa mempunyai guru (sekadar bacaan semata-mata) maka gurunya adalah Syaitan”.  “Sesiapa yang belajar agama tanpa mempunyai guru (maksudnya dengan merujuk bahan berkaitan agama semata-mata) maka salah faham yang timbul akibatnya lebih banyak”.

Kata-kata di atas kerap kita dengar diucapkan kepada mana-mana pihak yang tidak mempunyai guru dalam menuntut ilmu agama dan hanya melalui bahan bacaan seperti buku dan sebagainya.

Kedua kata-kata di atas bukanlah bersumberkan hadis nabi Muhammad S.A.W. yang thabit daripada baginda S.A.W. Walaubagaimanapun maksud yang terkandung di dalamnya mempunyai  kebenarannya.   Seorang guru mampu menjelaskan perkara yang tidak dapat difahami oleh pelajarnya, guru juga mampu memberikan pencerahan terhadap sesuatu persoalan yang samar dan juga menjadi kekeliruan oleh para pelajarnya.

Namun kadangkala nasihat yang baik seperti di atas boleh menimbulkan salah faham sekiranya diberikan tanpa sebarang bentuk penjelasan seolah-olah menghalang seorang daripada membaca secara mutlak.

Kita tentu akan berasa sedih apabila membaca kajian menunjukkan purata membaca di kalangan umat Islam dalam angka yang kurang memberangsangkan jika dibandingkan dengan negara-negara bukan umat Islam sebagai majoritinya seperti Jepun dan negara-negara eropah.  Pengalaman penulis ketika menunggu komuter untuk ke lokasi yang ingin ditujui mendapati palancong-pelancong dari negara eropah menggunakan ruang waktu untuk menunggu komuter datang dengan duduk di atas lantai sambil membaca buku.

Walaupun kita tidak bersetuju dalam banyak perkara dengan mereka seperti membenarkan LGBT atas dasar hak asasi manusia namun kejayaan mereka dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan tidak dapat dinafikan (walaupun eropah banyak terhutang budi pada dunia Islam pada zaman kegemilangan umat Islam).

Kata-kata di atas perlu kita renung daripada pelbagai sudut.

Mustahil akan kita temui seseorang yang semua buku-buku yang tersusun rapi di rak dalam rumahnya semuanya dipelajarinya dengan guru.  Bahkan berkemungkinan sebahagian besarnya dibaca tanpa panduan guru.  Adakah ini menjadikannya sebagai seorang yang sesat.

Mustahil juga sekiranya ada individu yang semuanya ilmu agama yang dimilikinya diperolehi daripada guru.  Sudah tentu ada ilmu agama yang diperolehinya melalui pembacaan.  Sekiranya tidak banyak tentu sedikit.

Sistem pendidikan universiti contohnya memerlukan seseorang pelajar ijazah sarjana dalam bidang agama menulis thesis untuk sesuatu kajian yang pastinya memerlukan pembacaan kitab-kitab yang banyak hasil karangan ulama untuk dijadikan bahan kajian.  Sudah pasti pelajar dalam bidang ini tidak sempat untuk belajar secara berguru bagi kitab-kitab yang dijadikan bahan kajian.  Apa yang diperlukan ialah panduan pensyarah dalam merujuk dan memahami sesuatu kitab disamping asas agama yang teguh.

Sebenarnya bukan persoalan membaca tidak berguru yang perlu kita tekankan tetapi yang perlu kita tekankan ialah metod atau kaedah yang betul dalam merujuk bahan-bahan bacaan berkaitan agama.  Hal ini bagi mengelakkan kesulitan bagi pihak yang tidak mempunyai banyak kesempatan untuk belajar secara berguru.  Sebagai contohnya buku yang hendak dijadikan pegangan dalam membaca mestilah mematuhi tahap ilmiah dalam bidang penulisan dengan menyatakan sumber untuk perkara yang dinyatakan.  Sebagai contohnya dengan memaparkan status hadis yang digunakan sama ada dapat digunakan sebagai hujah ataupun tidak.

Seterusnya apabila seseorang sudah mempunyai kaedah yang betul dalam merujuk bahan-bahan rujukan untuk pembacaan maka tidak menjadi masalah untuk individu merujuk bacaan secara sendiri-sendiri.   

Aspek yang perlu kita tekankan seterusnya ialah menerapkan budaya bertanya berkaitan perkara yang tidak difahami, masih samar atau keliru kepada individu yang mempunyai keahlian dalam bidang tersebut.  Sekiranya kita pernah membaca hadis-hadis nabi S.A.W. kita akan mendapati para sahabat banyak bertanya kepada Rasulullah S.A.W. perkara yang mereka kurang jelas.  Galakkan juga untuk menghadiri majlis ilmu secara talaqqi jika mempunyai kesempatan.

Tidak menjadi masalah juga untuk seseorang itu membaca jika dia sudah pun mempunyai asas agama yang baik dan mampu untuk mengenal tulisan yang ditulis untuk mengelirukan umat Islam sama ada yang dikarang oleh orientalis atau individu-individu yang terkesan dengan orientalis dan juga mampu membezakan kitab karangan ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah dengan kitab-kitab ahlul bid’ah seperti Syiah Rafidhah.

Penulis mencadangkan perkara-perkara ini untuk dibuat kerana tidak semua orang memiliki peluang atau kesempatan untuk menadah kitab.  Pekerja kilang contohnya, ada yang berkerja 12 jam sehari, 6 hari dalam seminggu.  Bayangkan mereka langsung tidak mempunyai waktu untuk diperuntukkan untuk pergi belajar berguru.  Malah waktu bersama keluarga juga terhad.  Mungkin kita boleh katakan kalau hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.  Mengapa dia tidak berhenti kerja dan pergi belajar agama secara berguru.  Saya katakan dia mempunyai anak-anak yang perlu dibesarkan serta ibu bapa yang menjadi tanggungan.  Alternatif kepada pekerja kilang tersebut dan juga individu-individu lain yang mempunyai tahap kesibukan yang maksima tetapi ingin mendalami agama adalah dengan merujuk sesuatu yang berkaitan agama melaui bahan-bahan yang boleh dipertanggungjawabkan.

Selain itu dengan adanya teknologi seperti internet menjadikan proses menuntut ilmu agama menjadi lebih mudah.  Kita boleh memuat turun kuliah daripada internet daripada ustaz-ustaz yang berpegang teguh kepada manhaj salaf al-soleh (merupakan tiga genarasi awal Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis nabi Muhammad S.A.W.) dalam memahami al-Quran dan al-Sunnah dan menonton dan mendengarnya apabila mempunyai kesempatan.

Tulisan ini bukanlah untuk tidak menggalakkan menuntut ilmu agama secara tidak berguru tetapi mahu kita memikirkan bahawa tidak semua pihak mampu melakukannya seperti golongan-golongan yang masih dalam proses menuntut ilmu dan mempunyai peruntukan wang.

Kesimpulannya tidak salah untuk menggunakan kata-kata di atas dalam menerangkan keburukan belajar tanpa mempunyai guru namun haruslah diberikan penjelasan yang jelas dan kemas agar tidak timbul salah faham bahawa Islam tidak menggalakkan penganutnya membaca dan menjadikan sebahagian individu sukar kerana mempunyai faktor penghalang yang dia diuji dengannya.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak.