1. Apabila kita membincangkan mengenai konsep bersangka
baik (Husnu Zhan menurut istilah Arabnya), kita tidak dapat lari dari
membahaskan tiga perkara yang amat berkait rapat dengan konsep bersangka baik iaitu
(1) orang yang akan bersangka baik
(iaitu orang yang tidak terlibat secara langsung dalam situasi yang memerlukan
orang lain untuk bersangka baik padanya), (2) orang yang akan disangka baik
(iaitu orang yang terlibat secara langsung dalam situasi yang memerlukan orang
lain untuk bersangka baik padanya) dan (3) situasi yang akan disangka baik. Memahami ketiga-tiga perkara ini amat penting
supaya kita dapat menerapkan konsep bersangka baik dengan berkesan sama ada
kita merupakan pihak yang terlibat secarang langsung dengan situasi atau pun
tidak.
2. Sebagai seseorang yang tidak terlibat secara
langsung dengan situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik, kita
perlulah sentiasa mendahulukan untuk bersangka baik kepada orang yang akan
disangka baik iaitu yang terlibat secara langsung dalam situasi yang perlu
disangka baik. Namun dalam keadaan yang
tertentu kita perlu mendahulukan untuk bersangka buruk apabila situasi yang
wujud ketika itu tidak terlalu munasabah untuk bersangka baik seperti kita
ternampak seseorang yang berperilaku mencurigakan sedang memanjat pagar jiran
sebelah rumah kita yang kita mengetahui telah balik ke kampung. Dalam situasi seperti ini seseorang itu perlu
untuk bersangka buruk bahawa kemungkinan lelaki tersebut mempunyai niat yang
tidak baik.
3. Sebagai seseorang yang terlibat secara
langsung pula dalam situasi yang memerlukan orang lain bersangka baik padanya,
kita mestilah mewujudkan suasana yang dapat membantu untuk orang lain lebih
mudah bersangka baik kepada kita.
Kegagalan kita untuk mewujudkan situasi tersebut telah membuka ruang
kepada syaitan untuk meniupkan perasaan yang tidak baik kepada orang yang kita
mahu mereka bersangka baik pada kita untuk bersangka buruk.
4. Bagi memastikan perbincangan mengenai konsep bersangka
baik lebih mudah untuk difahami saya rasa baik untuk diberikan contoh. Sebagai contohnya kita dan kawan kita telah
berjanji untuk terlibat sebagai komuti untuk satu program yang akan dijalankan
pada waktu yang telah ditetapkan. Namun
pada hari kejadian tiba-tiba kita ada urusan yang begitu mustahak yang perlu
untuk dilunaskan yang menyebabkan kita tidak dapat memenuhi janji kita. Kita mempunyai dua pilihan dalam situasi ini
sama ada tidak pergi ke program dengan memaklumkan kepada pihak penganjur atau kita
tidak pergi ke program tanpa sebarang makluman kepada pihak penganjur. Sekiranya kita memilih pilihan yang pertama
iaitu memaklumkan ketidakhadiran kita, secara tidak langsung kita telah pun
membantu pihak penganjur dan rakan-rakan lain untuk lebih mudah bersangka baik
kepada kita kerana mereka telah mengetahui alasan kita. Sekiranya pilihan kedua yang dijadikan
pilihan maka inilah yang dimaksudkan tidak mewujudkan situasi agar orang lebih
mudah bersangka baik kepada kita. Sudah
tentu pihak penganjur dan rakan komuti yang lain akan tertanya-tanya mengenai
ketidakhadiran kita dan terpaksa memikirkan pelbagai kemungkinan untuk
bersangka baik kepada kita. Walhal untuk
memaklumkan ketidakhadiran kita bukanlah satu urusan yang begitu menyulitkan.
5. Kesimpulnnya, sebagai seseorang yang tidak
terlibat secara langsung dengan sebarang situasi yang memerlukan orang lain
untuk bersangka baik kepada kita, kita mestilah sentiasa cuba untuk mendahulukan
untuk bersangka baik walaupun boleh jadi kadangkala keadaannya agak sukar. Manakala orang yang terlibat secara langsung
dalam situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik kepadanya, mestilah berusaha untuk mewujudkan situasi
yang memudahkan lagi untuk orang lain bersangka baik padanya.
Mohamad Amirul bin Saidi.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor.