Khamis, 7 Ogos 2014

Jumlah Kitab Yang Dikarang Oleh Ulama Islam

Saya tidak mepunyai data secara lengkap mengenai jumlah sebenar kitab-kitab yang dikarang oleh para ulama Islam.  Walaubagaimanapun berdasarkan pengetahuan am yang saya tahu bahawa ada satu aplikasi yang dicipta yang menghimpunkan kita-kitab karangan para ulama Islam.  Aplikasi ini dinamakan sebagai Maktabah Asy-Syamilah.  Dalam aplikasi ini menghimpunkan sebanyak 10,000 buah kitab yang boleh dibaca melalui komputer yang ada memuat turun aplikasi tersebut.  Jumlah kitab dalam aplikasi ini pula sentiasa bertambah setiap kali dikemaskini oleh pihak yang membuatnya.
 
Sudah tentu sebahagian besar daripada kita-kitab yang dimuatkan itu merupakan kitab yang terdiri daripada banyak jilid besar seperti Tafsir Ibnu Kathir, Fath Al-Bari dan lain-lain.  Saya juga percaya bahawa aplikasi ini tidak menghimpunkan semua karangan ulama.  Sudah tentu jumlah kitab-kitab karangan ulama sejak zaman berzaman melebihi daripada jumlah kitab yang dihimpunkan dalam aplikasi tersebut.

Fokus sebenar penulisan ini dengan membahaskan jumlah kitab yang dikarang ulama sejak zaman berzaman ialah ingin memberikan sisi pandang yang berbeza kepada sebahagian pihak yang kurang menggalakkan amalan membaca secara sendiri oleh seseorang penuntut ilmu.  Mereka begitu menggalakkan amalan menuntut ilmu secara berguru, malah mengancam dengan pelbagai amaran kepada sesiapa yang membaca sendiri tanpa berguru.  Pelbagai kata-kata telah dipetik dan dinukil bagi menjustifikasikan tindakan mereka ini.  Antaranya sesiapa yang belajar secara tidak berguru maka gurunya adalah syaitan.

Sekiranya amalan menuntut ilmu secara berguru sahaja yang digalakkan oleh pihak tersebut.  Saya antara individu yang amat bersetuju dengan kempen tersebut.  Sudah tentu belajar secara berguru lebih baik daripada membaca secara sendiri sesuatu buku.  Namun apabila kempen untuk menggalakkan belajar secara berguru disertakan dengan mengecam amalan membaca secara sendiri-sendiri, saya antara individu yang tidak bersetuju.  Bagi saya berguru itu perlu, membaca secara sendiri juga perlu.  Berguru jangan langsung tidak mahu membaca sacara sendiri-sendiri.  Membaca sendiri-sendiri pula jangan sampai lupa untuk berguru.  Berguru dan membaca perlu seiring, perlu seimbang.

Para ulama mengarang begitu banyak kitab dalam pelbagai tajuk.  Sekiranya kita ingin menyatakan bahawa belajar mesti secara berguru dan tidak boleh membaca sendiri maka kitab-kitab yang begitu banyak yang dikarang oleh para ulama itu hanya mampu menjadi perhiasan sahaja.  Mana mungkin kitab yang begitu banyak itu hendak dipelajari secara berguru, kecuali sesiapa yang Allah kurniakan keberkatan waktu atau umur sepanjang nabi Nuh a.s.

Sebenarnya bukan persoalan membaca secara tidak berguru yang perlu dititikberatkan sebagai salah tetapi yang perlu dititikberatkan ialah metod dalam membaca.  Sekiranya seseorang mempunyai metod membaca yang betul tidak ada masalah keatasnya untuk membaca secara sendiri-sendiri.

Metod yang dimaksudkan ialah mempunyai ilmu asas untuk sesuatu ilmu pengetahuan.  Ilmu asas ini yang perlu dikuasai terlebih dahulu dan sebaiknya secara berguru.  Apabila ilmu asas ini dikuasai dengan baik maka seseorang itu bebas untuk membaca pelbagai karangan ulama daripada pelbagai disiplin ilmu secara sendiri kecuali apabila bertemu kesulitan untuk memahami sesuatu yang dibaca maka ketika itu barulah guru dirujuk untuk mendapatkan penjelasan.

Ilmu asas yang dimaksudkan contohnya dalam bidang tafsir al-Quran seseorang itu mestilah terlebih dahulu mempelajari ilmu Usul Tafsir (dikenali juga sebagai Ulum al-Quran) yang terdiri daripada perbahasan mengenai metod tafsir, biografi ulama-ulama tafsir, kitab-kitab tafsir yang muktabar, nasakh dan mansukh dan banyak lagi.  Seseorang itu juga perlu mempunyai ilmu yang mencukupi dalam bahasa Arab yang terdiri daripada Nahu, Soraf, Balaghah dan sebagainya.  Setelah ilmu-ilmu ini dipelajari dengan sebaiknya maka tidak ada masalah untuk seseorang itu untuk membaca kitab-kitab tafsir yang dikarang oleh para ulama walaupun tidak secara berguru.  Contoh mengenai tafsir al-Quran ini merupakan suatu contoh sahaja, begitu jugalah dengan disiplin-disiplin ilmu yang lain.

Metod seterusnya pula seseorang pembaca itu hendaklah menilai setiap sesuatu yang dibaca itu, bukan ditelan bulat-bulat apa sahaja ditulis oleh seseorang penulis.  Ada perkara yang boleh diterima, ada perkara yang perlu ditolak, ada perkara juga yang perlu disemak semula, ada perkara yang perlu berlapang dada, ada perkara juga yang perlu ditangguh terlebih dahulu.  Bagaimana untuk menilai sesuatu.  Nilailah dengan neraca al-Quran dan al-Sunnah.  Apa yang bertepatan dengan dua sumber tersebut maka diambil, apa yang bercanggah pula ditolak.  Bukan siapa yang menulis atau siapa yang mengajar tetapi apa yang ditulis dan apa yang diajar.  Apa itu yang dinilai bukan siapa.

Pihak yang tidak bersetuju untuk membaca sesuatu bahan bacaan secara sendiri ini mungkin bimbang kesan buruk daripada amalan ini seperti menjadi sesat apabila menerima semua perkara yang telah dibacanya.  Jawapannya ialah membaca buku seperti menggunakan pisau.  Ada orang yang menggunakan pisau untuk membuat perkara kebaikan.  Ada juga yang menggunakan untuk memberi mudarat kepada orang lain seperti mencederakan dan lebih buruk sehingga tahap membunuh.  Adakah disebabkan sebahagian orang tidak pandai menggunakan pisau dengan betul maka kita ingin menghalang semua orang daripada  menggunakan pisau.  Begitu jugalah dengan buku.  Adakah disebabkan ada orang yang membaca buku kemudian jatuh ke lembah kesesatan maka kita ingin menghalang semua orang daripada membaca.  Sepatutnya larangan yang dibuat secara lebih khusus bukannya umum.  Contohnya seperti jangan membaca tanpa berguru bagi sesiapa yang tidak mempunyai metod membaca yang betul.

Kesimpulannya Islam pada zaman ini diserang oleh pelbagai pihak di pelbagai penjuru.  Orentalis, Atheist, Quranism, propaganda barat, Liberalism, Sekularism dan senarai ini berterusan.  Kita memerlukan tokoh yang luas pembacaanya sama ada dalam ilmu-ilmu keIslaman itu sendiri dan ilmu-ilmu lain yang tidak bersangkut dengan Islam secara langsung tetapi secara tidak langsung bagi menjawab pelbagai tohmahan dan serangan yang dikenakan ke atas Islam secara ilmiah dan akademik.  Sekiranya kita takut untuk membaca, jangan halang orang lain untuk membaca.  Tidak semua orang ingin bersikap sebagaimana kita bersikap.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak. 

Rabu, 30 April 2014

Kepentingan Mempelajari Agama Dalam Bahasa Arab

Setiap kali selepas peperiksaan SPM atau STPM calon-calon biasanya sibuk untuk memohon secara dalam talian atau online universiti yang diidam-idamkan.  Ada calon yang memohon sesuatu universiti disebabkan ada ahli keluarganya yang pernah belajar di universiti berkenaan.  Ada juga yang memohon sesuatu universiti kerana merasakan universiti tersebut berada pada kedudukan atau ranking yang terbaik.  Ada juga yang memohon sesuatu universiti kerana mengikut rakan-rakan yang lain.  Kemungkinan tidak ramai yang memohon sesuatu universiti berdasarkan ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap sesuatu universiti yang dimohon.  Boleh jadi juga tidak ramai juga yang menjalankan kaji selidik atau survey terhadap sesuatu universiti.

Saya menyentuh isu ini disebabkan ramai calon-calon yang ingin mengambil jurusan agama yang agak kurang cakna atau kurang ambil tahu.  Mereka tidak mengkaji secara sebetulnya dan hanya mengisi disebabkan sebab-sebab yang dinyatakan diatas.

Perkara utama yang perlu diambil tahu oleh bakal-bakal pelajar jurusan agama apabila ingin memohon sesuatu universiti ialah jenis jurusan (seperti Syariah, Dakwah dan lain-lain) yang akan diambil dan juga bahasa yang dijadikan bahasa pengantar untuk jurusan tersebut di universiti yang ingin dimohon.

Untuk menjawab dua persolan tersebut pula kita perlu menjawab satu lagi persoalan iaitu apakah tujuan kita ingin mengambil jurusan agama?.  Adakah sekadar ikut-ikutan?, adakah kerana disebabkan ingin memenuhi harapan ibu bapa?, adakah sekadar untuk menambah ilmu agama untuk beramal sendiri-sendiri? atau adakah untuk menjadi pakar dalam bidang agama dan dapat menjadi rujukan kepada masyarakat.

Sekiranya jawapan kita bukan jawapan untuk soalan terakhir, persoalan mengenai jenis jurusan atau bahasa yang digunakan untuk jurusan tersebut di universiti tidaklah terlalu besar.  Tetapi sekiranya jawapan yang kita pilih ialah bagi soalan yang terakhir, persoalan mengenai jenis jurusan dan bahasa pengantar untuk jurusan tersebut perlu direnung dan difikir secara matang.

Apa kepentingan untuk memilih jenis jurusan agama yang sesuai?.  Kepentingannya ialah kita dapat mengetahui jenis jurusan yang sesuai dengan diri kita.  Selain itu, kita juga dapat mengetahui jenis jurusan agama yang agak kurang menjadi tumpuan golongan agama dalam negara dan dapat mengisi ruang-ruang kosong yang ada.  Namun yang sebaiknya dapat menjadi pakar untuk setiap jenis jurusan agama seperti ulama-ulama terdahulu.  Namun untuk menjadi pakar dalam semua jenis jurusan agama bukanlah sesuatu yang mudah dan mengmbil masa yang panjang kecuali bagi sesiapa yang Allah anugerahkannya.

Apa kepentingan untuk mengetahui bahasa yang dijadikan bahasa pengantar untuk sesuatu jenis jurusan agama yang akan diambil?.  Kepentingannya kembali kepada apakah tujuan kita ingin belajar agama.  Sekiranya ingin menjadi pakar, universiti yang menawarkan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar perlu diberi keutamaan.

Hal ini kerana apabila bahasa Arab dijadikan sebagai bahasa pengantar sedikit sebanyak dapat memahirkan penuntutnya untuk memahami bahasa Arab, membaca, berkomunikasi dan yang paling penting dapat merujuk kitab-kitab ulama yang berbahasa Arab.  Tentu sahaja al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab begitu juga hadis-hadis nabi Muhammad S.A.W.

Secara langsung dapat meluaskan lagi sumber rujukan kepada pelajar-pelajar yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Arab.  Berbeza dengan pelajar yang menggunakan bahasa ibunda yang memiliki sumbur rujukan yang terhad.  Hanya bergantung kepada kitab-kitab dalam bahasa ibunda dan kitab-kitab yang telah diterjemahkan sahaja.  Kitab-kitab terjemahan sudah pasti memiliki kelemahan dalam aspek terjemahan.  Hal ini kerana perbendaharaan kata bahasa Arab yang luas berbanding dengan bahasa-bahasa lain dunia.  Mereka juga sekiranya tidak berusaha lebih tidak dapat merujuk kitab-kitab dalam bahasa Arab.

Selain itu, dalam aspek bahasa, kita juga perlu memberi keutamaan universiti yang memberi penekanan terhadap bahasa Enggeris.  Hal ini kerana untuk menjadi golongan agama tidak memadai seseorang itu hanya menguasai bahasa kebangsaan sesebuah negara dan bahasa Arab sahaja.  Perlu juga untuk mahir bahasa asing yang lain seperti bahasa Enggeris.  Hal ini penting untuk memahami dan menjawab dakwaan golongan orientalis dalam bahasa yang dapat difahami oleh mereka sendiri.  Di samping itu, dapat juga diaplikasikan untuk tujuan dakwah.

Kepakaran dalam Bahasa Arab dan bahasa Enggeris tentu sahaja dapat dimanfaatkan apabila kita menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi di timur tengah dan negara barat.

Walaubagaimanapun saya menghormati universiti-universiti yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.  Mungkin mereka mempunyai alasan yang tersendiri.  Cuma kita sebagai bakal pelajar universiti perlu memikirkan perkara ini secara lebih kritikal.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak. 




Isnin, 28 April 2014

Masjid Perlu Lebih Mesra Pengguna

Perkara penting dan utama yang perlu difikirkan apabila sesuatu masjid itu ingin dibina dan ditadbir ialah masjid yang akan dibina tersebut mestilah mampu untuk memberi suasana yang selesa kepada setiap penggunanya.

Pengguna atau jamaah yang menggunakannya masjid termasuklah orang kelainan upaya (OKU), orang tua atau uzur dan orang yang sakit, tidak terhad kepada golongan yang sihat sahaja.

Hal ini kerana ada masjid yang dibina yang mungkin telah terlepas pandang golongan tersebut.  Contohnya ada masjid yang dibina mempunyai tangga yang agak tinggi.  Situasi sebegini tentu sahaja menyukarkan golongan tersebut sekiranya tidak dibina laluan alternatif kepada mereka.  Kemungkinan pihak yang membina masjid terlalu tinggi mempunyai alasannya yang tersendiri namun hak-hak golongan tersebut janganlah sampai diketepikan.
Terdapat juga masjid yang tidak menyediakan kerusi kecil untuk kegunaan ahli jamaah yang tidak mampu menunaikan solat sebagaimana biasa.  Keadaan ini menyebabkan mereka perlu membawa kerusi sendiri dari rumah sendiri.  Hal ini tentu sahaja menyukarkan mereka.  Sekiranya pihak masjid mampu menyediakan kerusi seperti ini tentu mereka akan berasa diraikan semasa datang ke masjid.

Masjid juga perlu membina pintu yang lebih hadapan untuk memudahkan para jamaah yang mungin mengejar waktu untuk bergegas keluar.  Hal ini juga dapat mengelakkan mereka daripada melintas dihadapan jamaah yang masbuk  yang masih bersolat.  Kita tidak perlu memberi sebarang label kepada mereka seperti Wahabi dan sebagainya kerana tidak berzikir dan berdoa bersama-sama kita.  Alangkah baik kita dapat bersangka baik atau husnu zhon kepada jamaah seperti ini.  Anggaplah mereka mempunyai sesuatu keperluan yang terlalu mendesak tanpa sebarang label.  Boleh jadi mereka berzikir ketika dalam kenderaan.

Kadangkala tindakan sesebuah masjid yang mengunci semua pintu masjid dan pintu pagar utama amatlah terpuji.  Tujuannya bagi mengelakkan kecurian.  Terutamanya pada waktu malam.  Namun tindakan tersebut telah mengundang kesukaran kepada seseorang yang ingin menggunakan tandas masjid pada waktu malam ketika dalam perjalanan.  Tandas-tandas awam sudah tentu juga telah tutup.  Perkara ini juga menyukarkan mana-mana pihak yang ingin menunaikan solat jama’ dan qasar ketika dalam sesuatu perjalanan atau musafir di samping dapat melepaskan lelah seketika.  Sepatutnya untuk menanggani masalah kecurian pihak masjid tidak perlulah sehingga mengunci pagar luar.  Cukup sekadar pagar dalam.  Seseorang masih boleh menunaikan solat di kaki lima masjid.  Tetapi solusi terbaik ialah pihak masjid boleh menggaji jaga untuk mengawal masjid pada waktu malam.  Namun seandainya ingin dijimatkan kos lagi ahli jawatan kuasa masjid mungkin boleh secara bergilir-gilir untuk mengawal masjid pada waktu malam.  Perkara seperti ini sudah pasti mampu memberikan keselesaan kepada pengguna masjid pada waktu malam.

Pihak masjid yang menguruskan masjid-masjid yang terletak di bandar terutamanya perlu lebih cakna.  Hal ini kerana jamaah yang datang bersolat biasanya terdiri daripada kalangan pekerja yang perlu mengejar waktu.  Oleh itu, waktu untuk iqamah dilaungkan janganlah  terlalu panjang.  Kuliah yang diadakan sebelum khutbah Jumaat pula janganlah melerat hingga terlalu panjang walaupun waktu telah pun masuk.

Masjid juga perlu jadi lebih mesra kanak-kanak.  Kanak-kanak merupakan golongan yang sering dimarahi dan ditengking didalam masjid.  Ada sahaja tindakan mereka yang tidak kena dimata orang dewasa.  Sepatutnya kanak-kanak dilayan mesra dan disayangi.  Kanak-kanak merupakan aset yang penting untuk mengimarahkan masjid pada masa depan.  Tindakan memarahi dan menegking mereka hanya menyebabkan mereka jauh daripada masjid dan kita akan kehilangan pelapis.

Masjid juga perlu menyediakan kerusi di pintu masuk masjid.  Hal ini dapat memudahkan jamaah yang memakai kasut sarung dan sarung kaki untuk menanggalkan kasut.

Pihak masjid perlu memastikan juga agar pembesar suara sama ada pembesar suara dalam masjid dan luar masjid digunakan tanpa mengganggu jamaah di dalam masjid dan penduduk sekitar masjid.  Kadangkala ada imam yang berzikir dan berdoa dengan menggunakan pembesar suara.  Tindakan ini secara tidak langsung telah mengganggu jamaah lain yang masih menunaikan solat sama ada masbuk atau sebab-sebab yang lain.  Selain itu, penggunaan pembesar suara luar selain daripada azan juga perlu digunakan secara berhemah.  Bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum azan sesuatu solat fardhu kadangkala agak mengganggu.  Terutamanya pada waktu pagi.  Selain mengganggu seseorang yang menunaikan solat sunat Tahujud di rumah bacaan tersebut juga turut mengganggu fokus sesorang yang menunaikan solat sunat Tahiyat al-Masjid sendiri.  Bacaan al-Quran ceramah itu baik.  Tapi kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mendengarnya.  Boleh jadi mereka membaca al-Quran dan mendengar bacaan al-Quran pada waktu yang lain.  Ketika zaman yang penuh salah faham yang sengaja ditimpakan kepada agama Islam, janganlah kita menokok tambah lagi salah faham tersebut.

Justeru, pihak yang menguruskan masjid perlu memastikan bahawa sesebuah masjid yang diuruskan itu mampu meraikan semua pihak bukan meraikan kelompok tertentu sahaja.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak. 

Kalimah Allah

Isu kalimah Allah telah menjadi suatu isu yang berpanjangan dan berlarutan di Malaysia.  Pelbagai pandangan yang dikeluarkan oleh pelbagai golongan agama dalam menghadapi isu ini.
Ada pandangan yang tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh selain daripada penganut agama Islam.  Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa golongan Kristian telah mempunyai istilah tersendiri untuk Allah oleh itu mereka tidak perlu menggunakan kalimah Allah.  Selain itu, ada juga pandangan yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh pihak Kristian dangan hujah-hujah tersendiri.

Penulis tidak bercadang untuk mengulas atau mentarjih (menguatkan sesuatu pandangan).  Biarlah perbezaan pandangan yang wujud di kalangan golongan agama disikapi dengan hujah-hujah ilmiah dan matang bukannya hanya pengaruh emosi semata-mata.

Cumanya penulis ingin mengulas mengenai pandangan yang mengatakan umat Islam akan keliru sekiranya pihak Kristian Malaysia (sebenarnya Kristian di negara Arab telah lama menggunakan kalimah Allah dalam versi Bible Arab mereka).

Sebenarnya saya kurang bersetuju dengan pandangan tersebut.

Pertama, budaya membaca dalam kalangan umat Islam di Malaysia dan negara umat Islam yang lain juga bukanlah di tahap yang tinggi sehingga menyebabkan mereka begitu rajin untuk membaca Bible seterusnya terpengaruh dengan isi kandungannya.  Begitu ramai sebenarnya umat Islam yang belum pernah atau habis membaca terjemahan al-Quran (bagi yang kurang mahir bahasa Arab). Apatah lagi mengetahui tafsirnya. Pernyataan ini dapat dibuktikan dengan bertanya orang-orang sekeliling kita.  Cuba fikir bagaimana umat Islam dengan mudah terpengaruh sedangkan kitab agama sendiri pun tidak dibaca.

Kedua, kandungan Bible itu sendiri pun bercanggah antara satu sama lain.  Begitu juga diantara versi-versi Bible yang pelbagai.   Ahmad Deedat antara tokoh yang banyak berdebat dengan golongan paderi Kristian mengenai Bible.  Sekiranya terdapat di kalangan umat Islam yang membaca Bible mereka tentu sukar untuk terpengaruh dengannya disebabkan percanggahan yang terdapat dalamnya jika mereka membacanya dengan betul.  Wajar umat Islam untuk menonton video perdebatan ilmiah Ahmad Deedat dan juga membaca karya-karyanya untuk memahami perkara ini.

Ketiga, sebenarnya agama Islam sedang berkembang pesat di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat dan Rusia.  Berapa ramai saintis yang memeluk Islam selepas mengkaji al-Quran.  Sepatutnya dan seharusnya fakta ini yang harus didedahkan kepada umat Islam dan bukanlah beberapa kes murtad yang berlaku kepada beberapa bekas umat Islam yang digembar-gemburkan seolah-olah Islam ini agama yang salah sehingga para penganutnya berbondong-bondong ingin keluar daripada agama Islam.  Sekiranya fakta agama Islam berkembang pesat di barat yang kita hebahkan boleh jadi penganut agama lain di Malaysia berminat untuk mengkaji agama Islam.

Keempat, jika ditinjau dari sudut sejarah golongan penjajah yang menjajah negara-negara lain bukan sahaja ingin mengaut keuntungan melaui hasil bumi semata-mata malah turut menyebarkan agama mereka kepada penduduk peribumi negara tersebut.  Rakyat negara Filipina contohnya antara yang menganut agama Kristian yang di bawa oleh pihak penjajah.  Namun apabila kita meninjau sejarah umat Islam perkara berbeza yang berlaku.  Penjajah menganut agama golongan yang dijajah.  Monggol yang terkenal dengan menakluk wilayah-wilayah umat Islam seperti Baghdad selepas tempoh tertentu  telah terkesan dengan akhlak umat Islam seterusnya menganut agama Islam.


Kesimpulannya perkara yang perlu menjadi fokus kepada umat Islam ialah memantapkan pengajian akidah.  Kita perlu membezakan Allah yang difahami oleh umat Islam dengan Allah yang difahami oleh Kristian.  Allah dalam Islam bebas dari sebarang unsur-unsur syirik.  Surah al-Ikhlas merupakan surah yang menjelaskan keesaan Allah.  Hal ini berbeza dengan Kristian yang mendakwa bahawa Allah mempunyai anak.  Suatu hakikat yang kita perlu terima ialah Kristian dan Yahudi merupakan agama-agama samawi.  Oleh itu, kadangkala terdapat persamaan antara agama-agama ini.  Cuma kedua-dua agama ini telah diselewengkan oleh paderi-paderi mereka sendiri hingga hilang keasliannya dan kesuciannya.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak. 

Sabtu, 22 Februari 2014

Jenayah Akademik

Menyeludup nota masuk ke dalam peperiksaan.  Mendapat kebenaran untuk melihat buku dan bertanya rakan ketika peperiksaan.  Pensyarah sengaja meninggalkan tempat peperiksaan dan menyatakan beliau tidak bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku sepanjang tempoh ketiadaannya (memberi peluang untuk pelajar meniru secara kinayah atau secara tidak langsung). Langsung tidak memperuntukkan waktu untuk mengulangkaji sesuatu subjek kemudian pensyarah memberi nota untuk dibaca yang  merupakan soalan sebenar peperiksaan, menggodam laman sesawang kolej, universiti atau sebagainya untuk memperolehi soalan bocor atau soalan sebenar peperiksaan, mengupah seseorang untuk menyiapakan tugasan, meniru hasil kerja individu lain dan sebagainya.

Contoh-contoh tersebut mungkin antara bentuk meniru dalam peperiksaan yang pernah kita dengar yang berlaku di universiti, kolej dan sebagainya.  Mungkin ada yang begitu bangga berkongsi kepada kita mengenai kegiatan menirunya tersebut.  Pelbagai alasan digunakan seperti terlalu sibuk dengan tugasan yang diberikan, tidak ada masa (saya lebih gemar untuk menggunakan istilah tidak memperuntukkan masa), komitmen terhadap jawatan yang dipikul dan banyak lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan di menara gading yang menjadikan pelajar-pelajar telalu sibuk dengan pelbagai aktiviti.  Perlu menghadiri kuliah, tugasan-tugasan yang diberikan pensyarah, terlibat dengan aktiviti kokurikulum, komitmen terhadap jawatan yang dipegang dan lain-lain.  Namun menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak sempat mengulangkaji pelajaran dan terpaksa meniru atau sengaja meniru bagi mengelakkan terpaksa mengulang semula subjek tersebut sekiranya gagal menggambarkan sikap tidak amanah.

Perkara ini menjadi lebih kritikal apabila kes meniru bukan hanya melibatkan pelajar-pelajar yang mengambil jurusan selain agama malah pelajar-pelajar yang mengambil jurusan agama juga turut tidak terkecuali (yang sepatutnya lebih terdedah dengan perintah-perintah dan larangan-larangan dalam agama).

Isu meniru ini sekiranya tidak dibendung akan memberi pelbagai implikasi yang negatif.  Berikut merupakan antara keburukan meniru:

1.
Menjadikan seseorang itu tidak mahir dengan ilmu yang dipelajarinya.  Bayangkan seorang golongan agama memberikan fatwa yang salah disebabkan tidak menguasai sesuatu subjek yang dahulunya dia telah meniru.  Masyarakat boleh menjadi keliru.


2.
Menjadikan seseorang terbawa-terbawa tabiat buruk tersebut ketika menempuh alam pekerjaan.  Disebabkan sudah terbiasa mengamalkan aktiviti meniru ketika belajar maka bukanlah menjadi sesuatu yang sukar untuk seseorang itu terus meniru ketika sudah bekerja seperti meniru untuk peperiksaan kenaikkan pangkat.


3.
Menjadikan pihak majikan salah faham mengenai keupayaan sebenarnya.  Hal ini disebabkan keputusannya yang baik yang tertulis di atas sijil menjadikan pihak majikan menganggapnya sesuai untuk sesuatu jawatan.  Namun hakikat sebenarnya keputusan yang baik itu diperolehi daripada kegiatan menirunya.  Seseorang itu akan terus menipu dan menipu.  Bayangkan pendapatan yang diperolehi dengan cara ini.


Oleh itu, sebagai seorang pelajar, tidak seharusnya kita terlibat dengan jenayah-jenayah akademik seperti ini.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak. 

Belajar Agama Tanpa Guru

“Sesiapa yang belajar (agama khususnya) tanpa mempunyai guru (sekadar bacaan semata-mata) maka gurunya adalah Syaitan”.  “Sesiapa yang belajar agama tanpa mempunyai guru (maksudnya dengan merujuk bahan berkaitan agama semata-mata) maka salah faham yang timbul akibatnya lebih banyak”.

Kata-kata di atas kerap kita dengar diucapkan kepada mana-mana pihak yang tidak mempunyai guru dalam menuntut ilmu agama dan hanya melalui bahan bacaan seperti buku dan sebagainya.

Kedua kata-kata di atas bukanlah bersumberkan hadis nabi Muhammad S.A.W. yang thabit daripada baginda S.A.W. Walaubagaimanapun maksud yang terkandung di dalamnya mempunyai  kebenarannya.   Seorang guru mampu menjelaskan perkara yang tidak dapat difahami oleh pelajarnya, guru juga mampu memberikan pencerahan terhadap sesuatu persoalan yang samar dan juga menjadi kekeliruan oleh para pelajarnya.

Namun kadangkala nasihat yang baik seperti di atas boleh menimbulkan salah faham sekiranya diberikan tanpa sebarang bentuk penjelasan seolah-olah menghalang seorang daripada membaca secara mutlak.

Kita tentu akan berasa sedih apabila membaca kajian menunjukkan purata membaca di kalangan umat Islam dalam angka yang kurang memberangsangkan jika dibandingkan dengan negara-negara bukan umat Islam sebagai majoritinya seperti Jepun dan negara-negara eropah.  Pengalaman penulis ketika menunggu komuter untuk ke lokasi yang ingin ditujui mendapati palancong-pelancong dari negara eropah menggunakan ruang waktu untuk menunggu komuter datang dengan duduk di atas lantai sambil membaca buku.

Walaupun kita tidak bersetuju dalam banyak perkara dengan mereka seperti membenarkan LGBT atas dasar hak asasi manusia namun kejayaan mereka dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan tidak dapat dinafikan (walaupun eropah banyak terhutang budi pada dunia Islam pada zaman kegemilangan umat Islam).

Kata-kata di atas perlu kita renung daripada pelbagai sudut.

Mustahil akan kita temui seseorang yang semua buku-buku yang tersusun rapi di rak dalam rumahnya semuanya dipelajarinya dengan guru.  Bahkan berkemungkinan sebahagian besarnya dibaca tanpa panduan guru.  Adakah ini menjadikannya sebagai seorang yang sesat.

Mustahil juga sekiranya ada individu yang semuanya ilmu agama yang dimilikinya diperolehi daripada guru.  Sudah tentu ada ilmu agama yang diperolehinya melalui pembacaan.  Sekiranya tidak banyak tentu sedikit.

Sistem pendidikan universiti contohnya memerlukan seseorang pelajar ijazah sarjana dalam bidang agama menulis thesis untuk sesuatu kajian yang pastinya memerlukan pembacaan kitab-kitab yang banyak hasil karangan ulama untuk dijadikan bahan kajian.  Sudah pasti pelajar dalam bidang ini tidak sempat untuk belajar secara berguru bagi kitab-kitab yang dijadikan bahan kajian.  Apa yang diperlukan ialah panduan pensyarah dalam merujuk dan memahami sesuatu kitab disamping asas agama yang teguh.

Sebenarnya bukan persoalan membaca tidak berguru yang perlu kita tekankan tetapi yang perlu kita tekankan ialah metod atau kaedah yang betul dalam merujuk bahan-bahan bacaan berkaitan agama.  Hal ini bagi mengelakkan kesulitan bagi pihak yang tidak mempunyai banyak kesempatan untuk belajar secara berguru.  Sebagai contohnya buku yang hendak dijadikan pegangan dalam membaca mestilah mematuhi tahap ilmiah dalam bidang penulisan dengan menyatakan sumber untuk perkara yang dinyatakan.  Sebagai contohnya dengan memaparkan status hadis yang digunakan sama ada dapat digunakan sebagai hujah ataupun tidak.

Seterusnya apabila seseorang sudah mempunyai kaedah yang betul dalam merujuk bahan-bahan rujukan untuk pembacaan maka tidak menjadi masalah untuk individu merujuk bacaan secara sendiri-sendiri.   

Aspek yang perlu kita tekankan seterusnya ialah menerapkan budaya bertanya berkaitan perkara yang tidak difahami, masih samar atau keliru kepada individu yang mempunyai keahlian dalam bidang tersebut.  Sekiranya kita pernah membaca hadis-hadis nabi S.A.W. kita akan mendapati para sahabat banyak bertanya kepada Rasulullah S.A.W. perkara yang mereka kurang jelas.  Galakkan juga untuk menghadiri majlis ilmu secara talaqqi jika mempunyai kesempatan.

Tidak menjadi masalah juga untuk seseorang itu membaca jika dia sudah pun mempunyai asas agama yang baik dan mampu untuk mengenal tulisan yang ditulis untuk mengelirukan umat Islam sama ada yang dikarang oleh orientalis atau individu-individu yang terkesan dengan orientalis dan juga mampu membezakan kitab karangan ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah dengan kitab-kitab ahlul bid’ah seperti Syiah Rafidhah.

Penulis mencadangkan perkara-perkara ini untuk dibuat kerana tidak semua orang memiliki peluang atau kesempatan untuk menadah kitab.  Pekerja kilang contohnya, ada yang berkerja 12 jam sehari, 6 hari dalam seminggu.  Bayangkan mereka langsung tidak mempunyai waktu untuk diperuntukkan untuk pergi belajar berguru.  Malah waktu bersama keluarga juga terhad.  Mungkin kita boleh katakan kalau hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.  Mengapa dia tidak berhenti kerja dan pergi belajar agama secara berguru.  Saya katakan dia mempunyai anak-anak yang perlu dibesarkan serta ibu bapa yang menjadi tanggungan.  Alternatif kepada pekerja kilang tersebut dan juga individu-individu lain yang mempunyai tahap kesibukan yang maksima tetapi ingin mendalami agama adalah dengan merujuk sesuatu yang berkaitan agama melaui bahan-bahan yang boleh dipertanggungjawabkan.

Selain itu dengan adanya teknologi seperti internet menjadikan proses menuntut ilmu agama menjadi lebih mudah.  Kita boleh memuat turun kuliah daripada internet daripada ustaz-ustaz yang berpegang teguh kepada manhaj salaf al-soleh (merupakan tiga genarasi awal Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis nabi Muhammad S.A.W.) dalam memahami al-Quran dan al-Sunnah dan menonton dan mendengarnya apabila mempunyai kesempatan.

Tulisan ini bukanlah untuk tidak menggalakkan menuntut ilmu agama secara tidak berguru tetapi mahu kita memikirkan bahawa tidak semua pihak mampu melakukannya seperti golongan-golongan yang masih dalam proses menuntut ilmu dan mempunyai peruntukan wang.

Kesimpulannya tidak salah untuk menggunakan kata-kata di atas dalam menerangkan keburukan belajar tanpa mempunyai guru namun haruslah diberikan penjelasan yang jelas dan kemas agar tidak timbul salah faham bahawa Islam tidak menggalakkan penganutnya membaca dan menjadikan sebahagian individu sukar kerana mempunyai faktor penghalang yang dia diuji dengannya.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak. 

Rabu, 29 Januari 2014

Khutbah Jumaat (Kebanyakan Masjid Di Malaysia)

Kebanyakan jamaah tidur.  Begitulah realiti yang berlaku pada hari Jumaat apabila khatib sedang membacakan teks khutbah.  Terdapat jamaah yang yang begitu nyenyak tidur sehingga perlu digerakkan apbila iqamah dilaungkan untuk mendirikan solat fardhu Jumaat.  Terdapat juga jamaah yang berbual walaupun masih belum ketara keadaannya.  Terutama kanak-kanak turut tidak terkecuali golongan-golongan bapa yang sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada kanak-kanak.  Jamaah yang tidak tidur, berbual, berkhayal, melihat-lihat telefon dan aktiviti yang lainya belum tentu pula memahami butir khutbah yang disampaikan khatib dalam itonasi yang menggalakkan lagi suasana mengantuk kepada sidang Jumaat.

Begitulah situasi yang berlaku pada hari Jumaat.  Kebanyakan jamaah yang keluar selepas solat fardhu Jumaat bagi menyambung tugas masing-masing (kecuali negeri-negeri yang bercuti pada hari Jumaat)  tidak mendapat apa-apa pengisian.

Khutbah Jumaah berbeza daripada kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha, Daurah, Ceramah Perdana, Forum dan banyak lagi.  Perbezaan yang dimaksudkan ialah dari aspek individu yang menghadirinya.  Kuliah Maghrib biasanya dihadiri oleh kebanyaknnya golongan-golongan yang telah bersara dan segelintir golongan muda.  Begitu juga kelas pengajian agama di pondok dihadiri oleh individu-individu yang benar-benar ingin mendalami agama Islam.  Begitulah seterusnya (kuliah maghrib dan lain-lain).

Namun khutbah yang disampaikan pada hari Jumaat dihadiri oleh jamaah daripada pelbagai latar belakang.  Individu yang culas menunaikan solat lima waktu turut menghadiri solat fardhu Jumaat kerana malu kepada orang kampung (jiran-jiran sekeliling rumah).  Pekerja-pekerja yang sibuk contohnya pekerja kilang yang bekerja selama 12 jam sehari menghadiri solat fardhu Jumaat kerana diberikan kelepasan oleh pihak majikan.  Malah pekerja asing yang beragama Islam yang bekerja di negara ini turut hadir.  Khutbah Jumaat dihadiri daripada golongan yang mempunyai pengetahuan agama yang mendalam sehinggalah yang mempunyai tahap pengetahuan agama pada tahap yang rendah.  Jika dibandingkan dengan kuliah Maghrib ianya hanya dihadiri oleh individu-individu yang benar-benar ingin belajar agama sahaja atau ingin mengisi masa lapang antara Maghrib dan Isyak.

Sepatutnya kesempatan ini digunakan sebaik-baiknya untuk menyampaikan mesej-mesej Islam.  Hal ini kerana khutbah Jumaat adalah medium yang paling tepat untuk dakwah Islam disebarkan kepada pelbagai pihak yang menjadi sasaran dakwah.  Oleh itu, bagi mengatasi kehambaran ini pihak jabatan agama negeri atau pihak masjid sebagai contohnya perlu untuk menganjurkan kursus pengucapan awam kepada imam-imam yang bertugas untuk membaca khutbah. Untuk menyuruh mereka semua untuk berkhutbah secara sponton tentulah sukar kerana bukan semua imam adalah lulusan universiti atau pondok dalam bidang pengajian Islam.  Mereka dilantik atau dengan memohon sebagai jawatan imam kerana mempunyai bacaan al-Quran yang baik.   Melalui kursus ini khatib perlu diajar mengenai itonasi suara, pernafasan, menghilangkan gugup dan sebagainya yang berkaitan dengan ilmu pengucapan awam.  Khatib juga perlulah membaca teks tersebut terlebih dahulu agar lebih bersedia.  Barulah khutbah Jumaat dapat disampaikan dalam keadaan yang menarik yang mampu menarik perhatian jamaah untuk mendengar isi-isi yang ingin disampaikan.  Perkara ini tidak mustahil.  Peserta syarahan, pidato, bercerita contohnya mampu memukau pendengar dengan cara penyampaian mereka yang mempersonakan selepas menjalani latihan.  Walaupun sebenarnya mereka hanya menghafal teks kecuali acara yang dijalankan secara spontan.

Begitu juga dengan teks khutbah yang ditulis.  Teks khutbah yang ditulis perlulah berkaitan isu-isu bersifat semasa seperti bahaya Syiah, penindasan umat Islam di seluruh dunia yang berlaku, masalah percaya kepada bomoh dan tangkal yang masih menular dalam masyarakat Islam, menyeru umat Islam supaya tidak menyimpan wang dalam akaun kovensional yang mempunyai riba, kepercayaan-kepercayaan karut dalam masyarakat Islam,  hadis-hadis palsu yang tersebar, ciri-ciri ajaran sesat, penggunaan pelaris dalam bidang perniagaan, masalah-masalah umat Islam dalam negara.  Bukanlah sesuatu tajuk yang tidak mampu difahami oleh para jamaah atau tajuk yang tidak sesuai.  Teks khutbah perlu ditulis dalam bahasa yang mudah dan mampu difahami oleh segenap lapisan masyarakat bukannya dengan bahasa-bahasa yang beraras tinggi dan terlalu puitis.

Bagi mengelakkan fenomena hambar terus berlaku pada hari Jumaat ustaz-ustaz yang mengajar agama juga perlu diberi kesempatan untuk menyampaikan khutbah secara spontan.  Hal ini kerana pengetahuan yang mereka miliki dalam bidang agama membolehkan mereka menyampaikan khutbah secara sponton.  Peraturan yang mewajibkan khatib membaca teks khutbah perlu dilonggarkan kepada mereka.

Kuliah Sebelum Azan Jumaat

Banyak pihak yang mengelolakan masjid yang mengadakan kuliah sebelum azan Jumaat.  Boleh jadi mereka beranggapan kuliah yang diadakan sebelum azan Jumaat dihadiri oleh ramai orang berbanding kuliah atau ceramah pada waktu yang lain.  Ataupun disebabkan mereka merasakan khutbah Jumaat tidak mampu lagi untuk menyampaikan ilmu kepada jamaah sehingga perlu diadakan satu lagi kuliah lagi secara berasingan.  Sebenarnya apabila khutbah Jumaat itu sendiri (khatib dan teks) mampu untuk di tranformasi, khutbah Jumaat tersebutnya sudah memadai.  Waktu kosong sebelum azan mungkin dapat dimanfaatkan para jamaah untuk menjalankan ibdah secara sendiri-sendiri seperti membaca al-Quran, berselawat dan berzikir.
Harapan

Harapannya ialah diharapkan suatu hari nanti khatib dapat menyampaikan khutbah dengan menarik di samping isi yang disentuh bersesuaian dengan para jamaah serta dapat difahami.  Para jemaah pula kelihatan tekun dan asyik mendengar khutbah yang disampaikan oleh imam.  Seterusnya keluar daripada masjid selepas menunaikan solat fardhu Jumaat  dengan mendapat sesuatu pengisian yang bermanfaat sebagai renungan dan untuk diamalkan.  Alangkah rugi dan malangnya umat Islam apabila medium terbesar dan terbaik dakwah yang mereka miliki sekiranya gagal untuk dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Parit Gabis Atas, Perak.