Jumaat, 24 Ogos 2018

Bersikap Adillah Dalam Menilai

1. Menjadi kelaziman bagi seseorang mempunyai kencenderungan kepada sesuatu pihak atau tokoh tertentu.

2. Walaubagaimanapun janganlah kecenderungan kita kepada sesuatu pihak atau tokoh tertentu menyebabkan kita merendahkan pihak lain atau tokoh lain.

3. Hal ini kerap berlaku apabila kita membaca bahagian ruangan komen kumpulan tertentu atau tokoh tertentu di media sosial apabila kumpulan tersebut atau tokoh tersebut melakukan sesuatu perkara berkaitan dakwah. Terdapat sebahagian penyokong mereka seolah-oleh merendahkan atau memperkecilkan usaha dakwah pihak lain yang pada pandangan mereka tidak melakukan seperti kumpulan mereka atau tokoh mereka.

4. Maka banyaklah sindirin mereka kepada kumpulan lain atau tokoh lain yang menurut mereka tidak berdakwah seperti mana kumpulan mereka atau tokoh mereka.

5. Persoalan yang perlu ditimbulkan adalah benarkah dakwaan tersebut atau ianya hanya persepsi.

6. Jika ianya hanya persepsi maka amatlah tidak wajar kita mengecam sesuatu pihak atau tokoh lain atas dasar persepsi yang kita bina sendiri.

7. Boleh jadi juga kumpulan lain atau tokoh lain menggunakan pendekatan lain yang tidak sama dengan kumpulan kita atau tokoh kita.

8. Boleh jadi juga kumpulan lain atau tokoh lain tidak berkongsi pendekatan dakwah mereka di media sosial sebagaimana kumpulan kita atau tokoh kita.

9. Berhati-hatilah dalam mengecam sesuatu pihak. Bersikap adillah.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Khamis, 23 Ogos 2018

Jangan Sekadar Berkongsi Buku Yang Di Baca Di Media Sosial

1. Membaca buku satu amalan yang berfaedah. Berkongsi buku-buku yang dibaca kepada rakan-rakan di media sosial dapat mengenalkan rakan-rakan media sosial kepada buku baharu yang mereka belum tahu atau baca dan menggalakkan mereka untuk membaca.

2. Namun apa kata kita naik setingkat lagi daripada sekadar berkongsi buku apa yang kita sedang atau telah baca. Mari kita kongsikan pula perkara-perkara menarik yang kita temui sepanjang pembacaan kita. Dalam beratus-ratus atau beribu-ribu halaman yang kita telah baca tentu banyak perkara menarik yang ditemui. Jika tidak mampu kongsi banyak, sedikit pun tidak mengapa. Jika satu buku kita hanya mampu kongsi satu perkara menarik, maka jika sepuluh buku kita sudah mampu kongsi sepuluh perkara menarik. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

3. Bukan semua rakan-rakan media sosial kita mampu membaca sebagaimana kita disebabkan sebab yang rencam. Sekurang-kurangnya jika kita berkongsi sebahagian perkara yang menarik daripada sesuatu buku yang kita baca mereka juga dapat mengambil manfaat.

4. Lebih-lebih lagi jika buku yang kita baca dalam bahasa asing. Tidak semua rakan-rakan media sosial kita menguasai atau mampu membaca dalam bahasa asing. Dengan berkongsi perkara menarik yang kita temui dari buku yang kita baca mereka juga dapat memgambil manfaat. Jika kita tidak mampu berkongsi kesemuanya jangan sampai tidak berkongsi langsung.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Rabu, 22 Ogos 2018

Mempraktikkan Sikap Cakna Dalam Kalangan Pelajar Universiti Ketika Berada Di Dalam Kelas

1. Jika pensyarah yang mengajar kelas kita bukanlah dikalangan pensyarah yang mengajar menggunakan slaid dan terdapat sebahagian lampu di dalam kelas tersebut yang tidak dipasang maka hidupkan suis lampu tersebut. Tidak perlu tunggu sehingga pensyarah pinta baru kita hidupkan.

2. Jika pensyarah yang mengajar pula mengajar menggunakan slaid maka hidupkanlah komputer, projektor dan dan  tariklah layar yang menerima pancaran projektor sebelum pensyarah masuk ke kelas. Hal ini untuk memudahkan pensyarah dan dapat memaksimakan waktu belajar kita di dalam kelas. Jika apabila pensyarah sudah datang baru kita mahu bantu atau pensyarah yang melakukannya sendiri hal ini pasti akan mengambil sebahagian waktu pembelajaran kita.

3. Jika kelas yang kita masuk ada tulisan dipapan putih yang mana pelajar kelas sebelumnya tidak sempat padam. Maka kita yang sedar hal ini padamkanlah apa yang tertulis itu. Lebih-lebih lagi jika pensyarah yang mengajar kita jenis yang menggunakan papan putih ketika mengajar.

4. Jika kelas telah tamat rajin-rajinlah bantu pensyarah untuk padam papan putih. Tidak perlu tunggu mereka minta tolong baru kita padamkan. Sendiri tawarkan diri untuk padam. Terutama jika kita duduk di barisan hadapan di dalam kelas.

5. Jika kelas yang kita gunakan untuk belajar biasanya padat dengan pelajar sehinggakan semua meja dan kerusi digunakan dan kita datang awal maka tidak perlulah letak beg kita di sebelah kerusi yang kita duduk. Kerusi tersebut sebenarnya sudah ada orang yang bakal mendudukinya cuma mereka belum sampai. Bukankah molek kita mudahkan mereka.

6. Sediakan marker papan putih di dalam beg dan letakkan siap-siap diatas meja kita. Apabila pensyarah lupa bawa marker atau dakwat markernya sudah tidak jelas. Maka hulurkan marker kita untuk dipinjamkan padanya.

Pelajar-pelajar universiti Insya-Allah daripada kategori bijak pandai dan mempunyai tatasusila yang baik. Menambah baik beberapa perkara yang dicadangkan tentu mudah buat kita.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Ahad, 19 Ogos 2018

Ayuh Senyap Ketika Pensyarah Sedang Mengajar

Tidak faham sebahagian apa yang dipelajari ketika pensyarah sedang mengajar merupakan sesuatu yang normal. Lebih-lebih lagi jika apa yang dipelajari merupakan sesuatu yang baru bagi kita atau dipelajari menggunakan bahasa yang bukan bahasa ibunda kita.

Namun kita mestilah melakukan sesuatu yang berkesan untuk memahami apa yang tidak difahami itu. Antaranya adalah:

 1. Bertanya terus kepada pensyarah di dalam kelas jika pensyarah tersebut jenis yang tidak kisah pengajarannya di potong ketika beliau sedang mengajar. Terdapat juga sebahagian pensyarah yang membuka sesi soal-jawab di hujung pengajarannya. Boleh ambil peluang bertanya ketika itu.

2. Bertanya kepada pensyarah selepas kelas di luar kelas atau ketika sesi konsultasi. Terdapat sebahagian pensyarah yang mampu menjawab soalan dalam keadaan berjalan ke destinasinya yang seterusnya. Jika pensyarah  jenis begini bertanyalah kepadanya sambil mengikutinya berjalan.

3. Bertanya kepada kawan yang lebih memahami perkara tersebut.

4. Membaca apa yang bakal dipelajari terlebih dahulu dan cara-cara yang lain yang munasabah.

Namun terdapat sebahagian kita yang tidak cenderung memilih kaedah yang saya telah nyatakan di atas. Mereka akan bertanya apa yang tidak difahami kepada rakan-rakan yang duduk berhampiran dengan mereka ketika pensyarah sedang mengajar di dalam kelas. Tindakan ini berkemungkinan mencetuskan beberapa masalah:

1. Mengganggu konsentrasi rakan yang ditanya.

2. Mengganggu rakan-rakan lain yang duduk berhampiran dengannya untuk fokus kepada apa yang pensyarah sedang ajar. Kadangkala mereka tidak sedar bahawa suara mereka agak kuat ketika itu dan mengganggu pelajar lain yang mahu fokus kepada apa yang sedang diterangkan pensyarah.

3. Mengganggu pengajaran pensyarah.

4. Mereka sendiri iaitu pelajar yang tidak faham yang bertanya rakannya dan rakan yang menjawab soalan berpontensi terlepas perkara baru yang diterangkan pensyarah sepanjang proses si rakan menerangkan kepada kawannya apa yang tidak difahaminya. Selain itu, pelajar yang tidak faham itu masih berpontensi tidak faham selepas penerangan rakannya disebabkan penerangan rakannya itu dibuat secara tergesa-gesa sebab beliau sendiri ingin kembali fokus pada pengajaran pensyarah.

Oleh itu, jika kita tergolong dalam golongan ini marilah kita bersama-sama mempertimbangkan dan kemudiannya melaksanakan  cadangan-cadangan yang telah saya kemukakan di atas. Kita mampu mengubahnya.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Ulama Hadis Makhluk Asing Dari Bumi: Ulasan Ringkas

1. Buku ini merupakan buku kedua Dr Kamilin Jamilin dalam bahasa Melayu yang saya telah baca. Buku pertama beliau yang saya baca berjudul 200 Soal Jawab Hadis yang diterbitkan Karya Bestari.

2. Secara umumnya buku ini mengisahkan kisah hidup para ulama hadis. Penulis bukan sahaja menceritakan mengenai kisah-kisah positif para ulama hadis untuk kita contohi, malahan penulis juga turut mengisahkan sisi-sisi negatif sebahagian para ulama hadis sebagai manusia biasa untuk kita jadikan sempadan.

3. Buku ini ditulis secara santai namun berisi. Penulis tidak memberatkan pembaca dengan menyatakan sumber rujukan bagi setiap kisah melalui nota kaki. Namun pada mukadimah buku penulis ada menyatakan sumber-sumber yang beliau rujuk untuk berkongsi kisah-kisah tersebut.

4. Terdapat sedikit kesalahan ejaan dalam buku ini. Namun ianya tidak mencacatkan manfaat yang boleh diperolehi bagi sesiapa yang membacanya. Walaubagaimana pun kesalahan ejaan yang terdapat dalam buku ini lebih kecil berbanding buku 200 Soal Jawab Hadis. Oleh itu, penerbit buku 200 Soal Jawab Hadis perlu melakukan sesuatu bagi meminimakan kesalahan ejaan.

5. Selain itu, sebahagian kata-kata hikmah yang diungkapkan oleh para ulama yang dinukilkan dalam buku ini tidak diberikan terjemahan ke dalam bahasa Melayu. Ianya tentu menjadi cabaran kepada para pembaca yang belum menguasai bahasa Arab bagi menghirup faedah-faedahnya.

6. Akhir kata, belilah dan bacalah buku ini nescaya kalian tidak akan rugi bahkan memperolehi mutiara-mutiara hikmah yang banyak untuk dijadikan suri tauladan dalam kehidupan seharian.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor.