Khamis, 31 Disember 2020

Budaya Tidak Bagus Dalam Kalangan Masyarakat Kita Apabila Ada Yang Cuba Bertutur Dalam Bahasa Asing

1.  Bercakap dalam bahasa asing bukannya sesuatu yang mudah kepada sebahagian orang. Ianya memerlukan keberanian dari dalam diri untuk melakukannya.


2. Malangnya keberanian untuk bercakap dalam bahasa asing ini tidak disambut dengan galakan atau pun sokongan. Sebaliknya sebahagian masyarakat kita gemar untuk mencari kesalahan dalam tatabahasa, cara sebutan dan dialek orang yang baru berjinak-jinak bertutur dalam bahasa asing. Lebih teruk lagi ada yang suka mengetawakan orang yang melakukan kesalahan dalam bercakap ketika bertutur dalam bahasa asing.


3. Hal ini menyebabkan sebahagian orang yang mempelajari bahasa asing menjadi kurang bersemangat dan keyakinan diri untuk bertutur dalam bahasa asing.


4. Menegur kesalahan yang terdapat dalam bahasa asing oleh orang yang mahir dalam bahasa itu tidaklah menjadi satu kesalahan. Tapi lakukanlah secara berpada-pada. Jika semua kesalahan kita hendak betulkan dalam satu masa, ini yang menjadi punca orang tidak bersemangat untuk bercakap dan bertutur dalam bahasa asing.


5. Yang lebih menghairankan kadangkala penutur asal bahasa asing tersebut tidaklah seradikal seperti sebahagian masyarakat kita dalam menegur kesalahan bahasa yang terdapat dalam percakapan seseorang. Sebaliknya mereka gembira kerana ada orang asing yang berminat untuk mempelajari bahasa mereka.


6. Kita perlu faham bahawa fungsi utama bahasa adalah untuk menyampaikan mesej daripada penyampai kepada orang yang ingin mesej tersebut disampaikan. Selagimana matlamat ini tercapai kita tidak perlulah terlalu ghairah untuk menegur kesalahan bahasa yang terdapat pada orang yang baru belajar bahasa asing tersebut.


7. Adapun tatabahasa yang betul, cara sebutan yang betul dan dialek yang betul ianya merupakan penghias bagi sesuatu bahasa yang boleh dicantikkan daripada semasa ke semasa.


Mohamad Amirul bin Saidi.

Bagan Serai, Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan