1. Mendapat pahala apabila membacanya. Terdapat banyak riwayat daripada hadis Nabi صلى الله عليه وسلم yang menerangkan mengenai ganjaran dan kelebihan orang yang membaca Al-Quran. Tapi ini bukanlah fokus tulisan saya kali ini untuk menyenaraikannya satu persatu.
2. Kemampuan membaca Al-Quran dapat digunakan juga untuk membaca doa-doa, selawat-selawat dan wirid-wirid yang berasal daripada hadis Nabi صلى الله عليه وسلم. Orang yang ada kemampuan membaca Al-Quran automatik akan ada kemampuan membaca hadis Nabi صلى الله عليه وسلم. Begitu juga sebaliknya. Hal ini demikian kerana kedua-duanya dalam bahasa Arab.
Terdapat banyak zikir-zikir dan wirid-wirid yang Nabi صلى الله عليه وسلم amalkan. Ada zikir pagi dan petang, doa-doa sebelum tidur, wirid-wirid selepas solat fardhu, doa naik kenderaan, doa masuk dan keluar dari tandas dan banyak lagi. Jika kita tidak pandai membaca Al-Quran kita akan terlepas daripada mengamalkan doa-doa dan wirid-wirid ini dan akan terlepas juga pahala yang banyak.
Ya mungkin ada yang mampu menghafal dengan mendengarnya daripada rakaman atau daripada orang lain menghafalnya tanpa ada kemampuan membaca Al-Quran. Namun dari segi makhraj huruf dan sifat huruf mungkin tidak secantik dan sekemas orang yang boleh membaca Al-Quran kerana terdapat huruf-huruf Arab yang hampir sama sebutannya tetapi berbeza cara sebutannya.
3. Dapat mencegah diri daripada terlibat dengan dosa syirik. Syirik merupakan dosa yang paling besar. Sebahagian orang apabila sakit terutamanya yang mereka sangka berkaitan dengan makhluk halus atau jin akan berjumpa dengan bomoh untuk diubati. Sang bomoh pula menjampi dengan jampi-jampi yang mengandungi unsur-unsur syirik disamping dia sendiri pun berdamping dengan jin. Sebahagian mereka pula menyamar sebagai ustaz untuk mengelabui mata orang ramai.
Sedangkan jika kita boleh membaca Al-Quran kita mampu sahaja meruqyah diri sendiri dengan doa-doa yang bersumber daripada Al-Quran dan juga Al-Hadis. Teks-teks doa ini dalam bahasa Arab. Jadi, jika kita mampu baca Al-Quran kita juga akan mampu membaca doa-doa yang diajar Nabi صلى الله عليه وسلم dalam meruqyah.
4. Kunci untuk memahami Al-Quran. Apabila kita mampu membaca Al-Quran kita telah ada asas untuk mempelajari bahasa Arab kerana Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab jadi huruf-huruf abjad bahasa Arab dan Al-Quran adalah sama. Apabila kita telah menguasai bahasa Arab kita mampu lebih memahami kandungan Al-Quran ketika membacanya.
Apabila kita ingin mempelajari bahasa asing perkara pertama yang kita perlu pelajari adalah mengenal huruf-hurufnya dan cara-cara sebutannya. Orang yang sudah boleh baca Al-Quran akan jimat bahasa ketika mempelajari bahasa Arab pada bahagian ini.
Kesimpulannya, pelajarilah membaca Al-Quran. Jika sekarang umur kita 20 tahun dan tidak pandai membaca Al-Quran sepatutnya ketika umur 40 tahun kita sudah lancar membaca Al-Quran. Jika masih tidak pandai baca Al-Quran apakah yang dibuat selama 20 tahun sebelum ini. Jika jawapannya sibuk dengan pelbagai komitmen kita tunggu sampai umur 60 pula. Jika masih tidak pandai baca Al-Quran ketika itu maknanya orang itu hanya pandai mencari alasan dan bukannya mencari jalan untuk mengatasi kelemahan diri sendiri.
Mohamad Amirul bin Saidi.
Bagan Serai, Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan