Sebenarnya jatuh bagunnya Islam sebagai cara
hidup di sesebuah negara itu boleh dijangka.
Caranya ialah dengan melihat kepada bakal-bakal golongan agama yang
wujud pada hari ini. Sekiranya mereka
yang menuntut ilmu agama secara khusus ini sahaja bermasalah, maka kita
tidaklah dapat memberikan harapan yang besar terhadap perkembangan Islam di sesebuah
negara. Apa yang kita tanam merupakan
apa yang kita akan tuai pada kemudian hari.
Sekiranya benih yang kita tanam itu buruk, ditambah lagi dengan langsung
tidak dibaja dan disirami jangan haraplah akan menuai hasil yang baik. Sekiranya langsung tidak bernasib baik lalang
yang akan dituai bukannya buah yang didambakan.
Masalah golongan yang menuntut ilmu agama yang
paling besar sekali ialah mereka tidak tahu mengapa mereka menuntut ilmu
agama. Ada yang memilih kerana keputusan
peperiksaan yang tidak seberapa untuk belajar di bidang lain dan hanya layak
untuk bidang agama sahaja. Bukan salah
sekiranya pelajar yang kurang pandai dari segi penilaian peperiksaannya untuk
menuntut ilmu agama sekiranya mempunyai sikap yang rajin. Akhirnya kita hanya mengumpulkan begitu ramai
pelajar yang menjadikan bidang agama sebagai pilihan terakhir bukannya kerana
benar-benar minat untuk mendalaminya serta ingin mempertahankannya. Bidang ilmu yang begitu penting terhadap
agama kita berikan kepada pelajar yang kurang kemampuan akademiknya tetapi bidang-bidang
lain kita berikan kepada pelajar-pelajar yang baik keputusan akademiknya. Kita salah dalam meletakkan prioriti.
Ada juga yang disalurkan ke bidang agama kerana
kehendak ibu bapa. Sebahagiam ibu bapa
yang baru mendapat kesedaran Islam tidak mahu anak-anak mereka melalui apa yang
mereka telah lalui dahulu iaitu kejahilan terhadap agama. Oleh itu, dihantarlah anak-anak ini ke
sekolah-sekolah tahfiz atau sekolah-sekolah agama yang amat berkembang
akhir-akhir ini (saya tak maksudkan kesemuanya kerana banyak juga yang bagus). Malangnya kesungguhan mahu anak celik agama
tidak dipandu dengan ilmu yang sepatutnya.
Maka ramai yang hantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah tahfiz tanpa
memperhatikan pengurusan sekolah tersebut, tenaga pengajar yang mengajar,
prasarana yang disediakan dan minat anak mereka itu sebenarnya ke arah mana
sebenarnya. Akhirnya ilmu agama tak
kemana akademik pun terlepas. Menuntut
ilmu agama bukannya boleh dipaksa-paksa.
Menjadikan anak faham agama itu tidak semestinya menjadikan anak itu
sebagai golongan agama. Inilah hakikat
yang perlu difahami.
Akibat tidak mempunyai niat yang jelas dalam
menuntut ilmu agama maka pelajar-pelajar agama ini tidak tahu apakah
tangungjawab mereka sebagai pelajar agama.
Walhal tanggungjawab sebagai pelajar-pelajar agama amatlah banyak dan besar. Apabila kita memerhatikan mereka ini kita
akan terkejut benarkah mereka ini pelajar agama dan kita mungkin akan
tertanya-tanya juga apa bezanya pelajar agama dangan belajar bukan agama.
Berikut merupakan beberapa contoh. Walaupun ulama-ulama mazhab berkhilaf
mengenai hukum menunaikan solat fardhu secara berjemaah namun sebagai seorang
pelajar dalam bidang agama untuk menyengajakan meninggalkannya tanpa sebarang
uzur bukanlah sesuatu yang sepatutnya berlaku.
Walaubagaimanapun perkara sebaliknya berlaku. Mereka bukan sahaja tidak menunaikan solat
secara berjemaah malah melewat-lewatkannya tanpa sebab yang munasabah.
Seorang pelajar agama sepatutnya seorang yang
rajin belajar dan banyak membaca. Rajin
belajar yang dimaksudkan ialah rajin menuntut ilmu selain kuliah yang wajib
dihadiri walaupun tak berkait secara langsung dengan ilmu agama. Banyak membaca pula ialah membaca buku selain
silibus dalam pelbagai bidang dan tidak khusus terhadap bidang agama
sahaja. Tidak ada istilah tidak ada
perasaan untuk membaca. Setiap masa yang
terluang akan terisi dengan perbuatan yang berfaedah. Namun realiti yang kita perhatikan jauh
berbeza. Kebanyakan mereka tidak ada
kecenderungan untuk bersila hingga sakit tumit bagi menuntut ilmu apatah lagi
membaca. Kecenderungan mereka terarah
kepada menontoton filem, menonton perlawanan bola sepak dan bermain permainan
video. Boleh jadi nama-nama pelakon
tempatan ataupuan antarabangsa, pemain bola tempatan ataupun antarabangsa dan
nama-nama permainan video lebih mereka kenali dan dalami daripada nama para
sahabat dan para ulama.
Pelajar agama sepatutnya juga mereka yang
menjaga tutur kata dan akhlak mereka.
Saya tidak maksudkan pelajar agama itu sebagai seorang yang maksum
tetapi mereka berusaha dengan sedaya upaya mereka untuk memeliharanya. Oleh itu, tutur katanya baik dan akhlak juga
baik. Sesuatu yang janggal apabila
seseorang itu pelajar agama itu kerap mengeluarkan perkataan yang tidak
sepatutnya dan tingkah laku yang tidak sepatutnya.
Pelajar agama perlu juga perlu mengambil
perkembangan semasa yang berlaku dalam negara mahupun luar. Pengetahuan isu-isu semasa menjadikan
seseorang pelajar agama itu lebih bersedia untuk menghadapi realiti yang ada. Bukannya sibuk dengan hal ehwal artis.
Tulisan ini bukanlah ingin mengaibkan
pelajar-pelajar agama. Sekadar
peringatan untuk penulis, pelajar-pelajar agama dan bakal-bakal pelajar
agama. Jika tidak sanggup mengubah sikap
tolong jangan belajar agama. Sila
belajar bidang lain. Agama tidak
perlukan orang seperti anda. Jangan jadi
fitnah terhadap agama. Telah banyak
fitnah terhadap agama ini dan janganlah anda menjadi salah seorangnya. Biar yang belajar ilmu agama ini sikit tapi
berkualiti daripada banyak dan tak berkualiti dan memberikan bebanan terhadap
agama sendiri. Saya merayu sangat andai
tidak mempunyai niat yang jelas, tidak sedar tanggungjawab yang hendak yang
dipikul, malas dan tidak mahu mengubah sikap TOLONG JANGAN TUNTUT ILMU
AGAMA.
Mohamad Amirul bin Saidi.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan