Rabu, 23 Disember 2015

Gunakan Waktu Ketika Zaman Menuntut Ilmu Secara Formal Dengan Sebaiknya

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh para penuntut ilmu agama terutamanya ialah pengunaan waktu secara bersungguh-sungguh sepanjang fasa menuntut ilmu secara formal sama ada yang melalui sitem moden atau tradisional.
Hal ini demikian kerana apabila seseorang penuntut ilmu agama telah meninggalkan fasa menuntut ilmu agama secara formal dan terlibat dengan alam perkerjaan, waktu yang mereka ada untuk kembali mengulangkaji sesuatu yang telah dipelajari atau menambah ilmu pengetahuan yang baru semakin terhad.

Alam perkerjaan sama ada terlibat bekerja dengan institusi-institusi agama, menjadi guru agama sama ada di sekolah atau di masjid-masjid, pensyarah di universiti-universiti, imam masjid, ahli politik atau selainnya amatlah sibuk sehingga waktu untuk menuntut ilmu atau mengulangkaji ilmu ketika fasa ini amatlah sukar.

Contohnya apabila sesorang pelajar lepasan universiti dalam bidang agama memilih kerjaya guru sebagai bidang perkerjaannya selepas tamat belajar.  Setiap pagi beliau perlu sampai ke sekolah sebelum pukul 8 pagi dan pulang paling awal pada pukul 1 petang sekiranya tidak terlibat dengan kelas tambahan atau apa-apa aktiviti sekolah.  Selepas pulang ke rumah perlu pula menyemak latihan yang telah diberikan kepada murid-murid kemudian membuat persiadaan mengenai apa yang perlu diajar keesokan harinya.  Belum lagi dikira tahap kesibukannya sekiranya pihak surau atau masjid menjemputnya bagi memberikan kuliah.  Sudah tentu permintaan sebegini tidak patut ditolak begitu sahaja.  Masyarakat sekeliling juga perlu mempelajari hal-hal berkaitan agama juga.  Kesibukan sebagai guru ini semakin bertambah sekiranya sekolah tempat diajar itu mempunyai asrama.  Sudah tentu ada waktu yang perlu diperuntukkan untuk memberi kuliah agama kepada pelajar-pelajar asrama di samping perlu juga menguruskan pelbagai program keagamaan di sekolah dan juga asrama.  Di samping pelbagai kesibukan ini perhatian perlu diberikan kepada isteri dan anak-anak sekiranya telah berkahwin, ibu bapa di kampung dan adik beradik yang masih belum tamat belajar.  Ini merupakan sedikit contoh yang diberikan bagi memberikan gambaran betapa sibuknya fasa selepas tamat belajar nanti.

Cuba bayangkan berapa banyak waktu yang dapat diperuntukkan ketika ini bagi menyemak balik apa yang pernah dipelajari dahulu dan berapa banyak waktu yang ada bagi menambah ilmu pengetahuan yang baharu.  Sudah tentu amat terhad sekali.  Itu pun sekiranya kita bijak menguruskan masa.  Jika tidak, sudah tentu tidak waktu langsung yang dapat diperuntukkan.

Oleh itu, amatlah malang dan rugi sekali apabila seseorang pelajar yang menuntut ilmu agama secara formal tidak menyedari hakikat ini.  Mereka disibukkan atau menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti tidak berfaedah seperti menghabiskan masa dengan menonton filem, bermain permainan video, melepak, banyak tidur dan sebagainya.

Sepatutnya pelajar-pelajar agama ini menyibukkan diri dengan menuntut ilmu sebanyak-banyaknya sama ada yang ada di dalam silibus atau di luar silibus, sama ada yang berkaitan secara langsung dengan agama atau yang tidak berkaitan secara langsung dengan agama bagi menyelesaikan pelbagai masalah ummah yang begitu rencam sekali.  Kurangkan tidur kecuali sekadar keperluan.  Minimakan menonton filem kecuali yang bermanfaat dan bermain permainan video kecuali sekadar menghilangkan tekanan yang ada di dalam diri ketika otak terasa begitu berat.

Sekiranya pelajar-pelajar yang menuntut ilmu agama ini tidak sedar tentang perkara yang perlu diberikan fokus ketika fasa belajar secara formal ini, mereka akan menyesal kelak apabila sudah tidak ada waktu yang banyak untuk berbuat perkara yang sepatutnya diperbuat ketika fasa belajar dahulu.  Mereka akan berasa telah menyia-nyiakan peluang yang telah diberikan yang sudah tentu tidak hadir secara berkali-kali.  Mereka hanya mampu menjadi golongan agama yang bertebaran di dalam masyarakat tetapi tidak mampu menyelasaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

Apabila fasa itu telah tiba kita hanya mampu menyesal kerana tidak memanfaatkan waktu menuntut ilmu dengan sebaik-baiknya.  Sedarlah wahai penuntut-penuntut ilmu agama!

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan