Sabtu, 26 Disember 2015

Memahami Konsep Sebenar Bersangka Baik

1.  Apabila kita membincangkan mengenai konsep bersangka baik (Husnu Zhan menurut istilah Arabnya), kita tidak dapat lari dari membahaskan tiga perkara yang amat berkait rapat dengan konsep bersangka baik iaitu  (1) orang yang akan bersangka baik (iaitu orang yang tidak terlibat secara langsung dalam situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik padanya), (2) orang yang akan disangka baik (iaitu orang yang terlibat secara langsung dalam situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik padanya) dan (3) situasi yang akan disangka baik.  Memahami ketiga-tiga perkara ini amat penting supaya kita dapat menerapkan konsep bersangka baik dengan berkesan sama ada kita merupakan pihak yang terlibat secarang langsung dengan situasi atau pun tidak.

2.  Sebagai seseorang yang tidak terlibat secara langsung dengan situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik, kita perlulah sentiasa mendahulukan untuk bersangka baik kepada orang yang akan disangka baik iaitu yang terlibat secara langsung dalam situasi yang perlu disangka baik.  Namun dalam keadaan yang tertentu kita perlu mendahulukan untuk bersangka buruk apabila situasi yang wujud ketika itu tidak terlalu munasabah untuk bersangka baik seperti kita ternampak seseorang yang berperilaku mencurigakan sedang memanjat pagar jiran sebelah rumah kita yang kita mengetahui telah balik ke kampung.  Dalam situasi seperti ini seseorang itu perlu untuk bersangka buruk bahawa kemungkinan lelaki tersebut mempunyai niat yang tidak baik.

3.  Sebagai seseorang yang terlibat secara langsung pula dalam situasi yang memerlukan orang lain bersangka baik padanya, kita mestilah mewujudkan suasana yang dapat membantu untuk orang lain lebih mudah bersangka baik kepada kita.  Kegagalan kita untuk mewujudkan situasi tersebut telah membuka ruang kepada syaitan untuk meniupkan perasaan yang tidak baik kepada orang yang kita mahu mereka bersangka baik pada kita untuk bersangka buruk.

4.  Bagi memastikan perbincangan mengenai konsep bersangka baik lebih mudah untuk difahami saya rasa baik untuk diberikan contoh.  Sebagai contohnya kita dan kawan kita telah berjanji untuk terlibat sebagai komuti untuk satu program yang akan dijalankan pada waktu yang telah ditetapkan.  Namun pada hari kejadian tiba-tiba kita ada urusan yang begitu mustahak yang perlu untuk dilunaskan yang menyebabkan kita tidak dapat memenuhi janji kita.  Kita mempunyai dua pilihan dalam situasi ini sama ada tidak pergi ke program dengan memaklumkan kepada pihak penganjur atau kita tidak pergi ke program tanpa sebarang makluman kepada pihak penganjur.  Sekiranya kita memilih pilihan yang pertama iaitu memaklumkan ketidakhadiran kita, secara tidak langsung kita telah pun membantu pihak penganjur dan rakan-rakan lain untuk lebih mudah bersangka baik kepada kita kerana mereka telah mengetahui alasan kita.  Sekiranya pilihan kedua yang dijadikan pilihan maka inilah yang dimaksudkan tidak mewujudkan situasi agar orang lebih mudah bersangka baik kepada kita.  Sudah tentu pihak penganjur dan rakan komuti yang lain akan tertanya-tanya mengenai ketidakhadiran kita dan terpaksa memikirkan pelbagai kemungkinan untuk bersangka baik kepada kita.  Walhal untuk memaklumkan ketidakhadiran kita bukanlah satu urusan yang begitu menyulitkan.

5.  Kesimpulnnya, sebagai seseorang yang tidak terlibat secara langsung dengan sebarang situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik kepada kita, kita mestilah sentiasa cuba untuk mendahulukan untuk bersangka baik walaupun boleh jadi kadangkala keadaannya agak sukar.  Manakala orang yang terlibat secara langsung dalam situasi yang memerlukan orang lain untuk bersangka baik kepadanya,  mestilah berusaha untuk mewujudkan situasi yang memudahkan lagi untuk orang lain bersangka baik padanya.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan