Rabu, 14 Oktober 2015

Mind Your Language

Kita tentu pernah mendengar atau membaca satu ungkapan simpulan bahasa Inggeris seperti berikut “don't judge a book by its cover”.  Simpulan bahasa ini biasa digunakan bagi menggambarkan seseorang itu tidak dapat dinilai baik atau buruk dirinya semata-mata hanya berdasarkan warna kulit dan fizikalnya.  Atau dalam bahasa yang lain apabila kita menilai seseorang hanya berdasarkan warna kulit dan fizikalnya sahaja, peratus untuk penilaian kita betul adalah sangat kecil.

Namun ini tidaklah sesekali menafikan bahawa seseorang itu langsung tidak boleh digambarkan perwatakannya.  Sekiranya kita ingin menilai baik atau tidaknya buku dengan sekadar melihat kulit buku tersebut sahaja tentulah tekaan kita boleh tersasar.  Hal ini kerana rekabentuk kulit buku kadangkala tidak ditentukan oleh pengarang buku dan biasanya ditentukan oleh penerbit yang menerbitkan buku.

Oleh itu, kita mestilah nilai dengan sesuatu yang ada kaitan langsung dengan pengarang.  Biasanya kandungan buku terdiri daripada pendahuluan, isi kandungan, bibliografi dan kandungan buku itu sendiri.  Walaupun kita tidak membaca keseluruhan buku dan hanya membaca pendahuluan dan isi kandungan buku kita telah dapat menjangka sama ada buku tersebut bagus atau tidak.  Peratus untuk tekaan kita itu tepat juga tinggi.

Begitu juga dengan manusia.  Kita tidak boleh menilai kebaikan atau keburukannya hanya semata-mata rupa paras dan warna kulit.  Akan tetapi kita dapat menilai budi yang terkandung dalam dirinya menerusi percakapannya: apa perkataan yang dipilih dan digunakan, penulisannya: apakah jenis perkataan yang digunakan ketika menaip atau menulis dan perilakunya: bagaimana tingkah lakunya dalam berhadapan sesuatu perkara.
Faktornya adalah apa yang kita tuturkan, apa yang kita taipkan dan apa tingkah laku yang kita tonjolkan ibarat cermin kepada apa yang dalam hati dan fikiran kita.  Sekiranya apa yang dalam hati dan fikiran kita baik makan yang tertonjol pada diri juga merupakan akhlak yang baik.  Kata orang putih “mind your language”.  Apa yag kita cakap perkara itulah yang sebenarnya ada dalam minda kita.

Bukanlah tulisan ini ditulis untuk menggalakkan kita untuk menilai orang lain baik atau buruk tapi yang lebih utama adalah satu peringatan untuk kita muhasabah diri kita.  Kadangakala kita tidak sedar apa jenis perwatakan yang kita bawa.  Antara cara untuk kita mengetahui perwatakan kita yang sebenarnya adalah cuba untuk mengingati apa perkataan yang kita guna untuk berkemonikasi.  Adakah di sana ada carut, keji, umpat dan maki.  Cuba kita baca tulisan sendiri adakah ada padanya bahasa bahasa yang kurang sopan.  Begitu juga tingkah laku kita, peruntukkan waktu sesekali untuk mengingatinya.

Semoga dengan mengetahuinya kita membaiki diri kita kearah yang lebih baik.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan