Rabu, 23 Disember 2015

Hanya Kerana Kulit...

Dalam kulit manusia wujud satu deria yang berfungsi untuk menghantar maklumat mengenai kesakitan yang kita alami kepada otak. Apabila rosaknya deria ini disebabkan kebakaran yang teruk atau seumpamanya maka seseorang itu tidak akan berasa sakit lagi kerana tiada lagi maklumat sakit yang dihantar ke otak.

Firman Allah Azzajalla dalam surah an-Nisa' ayat 56:

 إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُمْ بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. TIAP-TIAP KALI KULIT MEREKA MASAK HANGUS, KAMI GANTIKAN UNTUK MEREKA KULIT YANG LAIN SUPAYA MEREKA DAPAT MERASA AZAB SENGSARA ITU. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Profesor Tagatat Tejasen, merupakan seorang Pengerusi bagi Jabatan Anatomi di Universiti Chiang Mai, Thailand. Beliau memperuntukkan banyak waktu untuk kajian yang berkaitan dengan deria rasa yang terdapat pada kulit. Pada mulanya, beliau tidak mempercayai al-Quran ada menyatakan fakta saintifik berkenaan dengan deria rasa kulit sejak 1400 tahun yang lalu. Kemudian beliau telah mengesahkan terjemahan ayat al-Quran berkaitan deria rasa pada kulit. Setelah itu, beliau berasa amat kagum dengan ketepatan fakta saintifik yang wujud dalam ayat al-Quran. Pada Persidangan Perubatan Saudi yang diadakan di Riyadh berkenaan Bukti-Bukti Saintifik yang wujud dalam al-Quran dan as-Sunnah beliau telah mengisytiharkan kepada umum:

لا اله الا الله محمد رسول الله

"Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah ( صلى الله عليه وسلم).

Sumber: Diadaptasi dari buku The Quran And Modern Science Compatible Incompatible karya Dr Zakir Naik.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 


           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan