Rabu, 5 Ogos 2015

Prinsip Penting Dalam Membaca Buku

Membaca suatu amalan yang positif.  Banyak perkara positif yang kita perolehi daripadanya seperti dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, ketajaman dalam berfikir dan menilai, menjadi lebih kritis dan lain-lain lagi.  Namun, pada hari ini kita mendapati ramai juga orang yang banyak membaca tetapi telah terpesong kepada jalan yang tidak sepatutnya dan barcanggah dengan agama.  Antara sebab yang mampu difikirkan berdasarkan pengamatan kepada golongan ini adalah mereka tidak mempunyai prinsip yang betul dalam membaca.


Berhubung dengan isu ini saya tertarik dengan suatu kata-kata yang saya temui ketika membaca buku Peribadi karya Buya Hamka yang saya rasa baik untuk dijadikan asas dalam perbincangan mengenai isu ini.  Berikut merupakan nukilan yang dimaksudkan: “Guru saya A.R. St. Mansur pernah mengatakan: “Dalam agama ini, umpamanya kita lahir dua kali; kelahiran yang pertama, iaitu kita dalam keadaan Islam.  Tetapi setelah kita dewasa, kita harus lahir sekali lagi.  Kita selidiki agama itu sedalam-dalamnya dan kita sesuaikan hidup kita dengan dia.  Kemudian kita selidiki pula agama yang lain, supaya sebagai orang Islam kita ketahui apa persamaan kita dan apa perbezaan kita”.


Dalam kata-kata tersebut guru kepada Buya Hamka telah menggariskan dua prinsip penting dalam mengkaji yang dapat kita jadikan prinsip dalam membaca sesuatu bahan bacaan.  Prinsip yang dinyatakan itu juga perlu dilaksanakan dengan mengikuti urutan yang betul.


Pertama, kita perlu mengkaji agama yang kita dilahirkan dengannya dengan mendalam.  Kita perlu mengenalpasti hal yang merupakan fakta dalam agama dan hal yang mana pula hanya bersifat auta, persepsi, tohmahan, salah faham terhadap agama.  Untuk membezakan antara hal agama yang bersifat tulen dan pseudo agama kita mestilah mengkaji agama itu dari sumbernya yang asli dan melalui kefahaman ulama yang muktabar.  Sesuatu yang tidak tepat apabila sesuatu hal yang kita ingin sandarkan pada agama tetapi kita ambil dari sumber pihak yang telah salah faham terhadap agama atau memusuhi agama lalu kita jadikannya sebagai pegangan kepada agama untuk diimani.


Kedua, setelah kita melaksanakan prinsip yang pertama dengan betul dan kefahaman kita terhadap agama yang kita anuti telah pun jelas maka barulah kita pergi kepada prinsip seterusnya dalam mengkaji iaitu kita mengkaji ideologi dan agama-agama yang lain.  Sebagaimana kita mengkaji agama sendiri dengan merujuk kepada sumber asalnya begitu juga apabila kita mengkaji sesuatu ideologi atau agama lain kita perlulah merujuk kepada sumber-sumber yang mempunyai autoriti.  Hal ini supaya apa yang kita faham mengenai sesuatu ideologi atau agama lain itu adalah sesuatu yang sepatutnya kita fahami dan bukannya terbentuk hasil salah faham kita.


Masalah yang menimpa sebahagian pihak apabila mereka begitu teruja menjalankan prinsip kedua dalam mengkaji dengan mengabaikan atau melangkau prinsip pertama dalam mengkaji yang sepatutnya didahulukan.  Hasilnya kefahaman mereka terhadap agama rendah dan sebahagiannya pula terbina atas dasar atas auta, persepsi dan salah faham mereka terhadap agama.  Mereka mula menjadi kritikal terhadap agama yang mereka anuti yang sebenarnya hanya salah faham mereka sahaja.  Mereka merasakan agama yang mereka anuti sebagai tidak logik lalu menolak agama keseluruhannya atau mengambil apa yang menepati logik mereka sahaja.  Kemudian, ada pula yang memilih untuk menganut ideologi lain atau pun agama yang lain.


Oleh itu, sebagai orang yang banyak mengkaji dan membaca kita perlu melaksanakan dua prinsip ini dengan baik.  Pada zaman ini sukar untuk meyekat seseorang untuk membaca apa yang sepatutnya tidak dibaca.  Apa yang mampu kita lakukan adalah menyediakan pelan alternatif bagi membantu golongan yang kuat membaca ini supaya membaca dengan betul.

Mohamad Amirul bin Saidi.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan