Rabu, 29 Januari 2014

Khutbah Jumaat (Kebanyakan Masjid Di Malaysia)

Kebanyakan jamaah tidur.  Begitulah realiti yang berlaku pada hari Jumaat apabila khatib sedang membacakan teks khutbah.  Terdapat jamaah yang yang begitu nyenyak tidur sehingga perlu digerakkan apbila iqamah dilaungkan untuk mendirikan solat fardhu Jumaat.  Terdapat juga jamaah yang berbual walaupun masih belum ketara keadaannya.  Terutama kanak-kanak turut tidak terkecuali golongan-golongan bapa yang sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada kanak-kanak.  Jamaah yang tidak tidur, berbual, berkhayal, melihat-lihat telefon dan aktiviti yang lainya belum tentu pula memahami butir khutbah yang disampaikan khatib dalam itonasi yang menggalakkan lagi suasana mengantuk kepada sidang Jumaat.

Begitulah situasi yang berlaku pada hari Jumaat.  Kebanyakan jamaah yang keluar selepas solat fardhu Jumaat bagi menyambung tugas masing-masing (kecuali negeri-negeri yang bercuti pada hari Jumaat)  tidak mendapat apa-apa pengisian.

Khutbah Jumaah berbeza daripada kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha, Daurah, Ceramah Perdana, Forum dan banyak lagi.  Perbezaan yang dimaksudkan ialah dari aspek individu yang menghadirinya.  Kuliah Maghrib biasanya dihadiri oleh kebanyaknnya golongan-golongan yang telah bersara dan segelintir golongan muda.  Begitu juga kelas pengajian agama di pondok dihadiri oleh individu-individu yang benar-benar ingin mendalami agama Islam.  Begitulah seterusnya (kuliah maghrib dan lain-lain).

Namun khutbah yang disampaikan pada hari Jumaat dihadiri oleh jamaah daripada pelbagai latar belakang.  Individu yang culas menunaikan solat lima waktu turut menghadiri solat fardhu Jumaat kerana malu kepada orang kampung (jiran-jiran sekeliling rumah).  Pekerja-pekerja yang sibuk contohnya pekerja kilang yang bekerja selama 12 jam sehari menghadiri solat fardhu Jumaat kerana diberikan kelepasan oleh pihak majikan.  Malah pekerja asing yang beragama Islam yang bekerja di negara ini turut hadir.  Khutbah Jumaat dihadiri daripada golongan yang mempunyai pengetahuan agama yang mendalam sehinggalah yang mempunyai tahap pengetahuan agama pada tahap yang rendah.  Jika dibandingkan dengan kuliah Maghrib ianya hanya dihadiri oleh individu-individu yang benar-benar ingin belajar agama sahaja atau ingin mengisi masa lapang antara Maghrib dan Isyak.

Sepatutnya kesempatan ini digunakan sebaik-baiknya untuk menyampaikan mesej-mesej Islam.  Hal ini kerana khutbah Jumaat adalah medium yang paling tepat untuk dakwah Islam disebarkan kepada pelbagai pihak yang menjadi sasaran dakwah.  Oleh itu, bagi mengatasi kehambaran ini pihak jabatan agama negeri atau pihak masjid sebagai contohnya perlu untuk menganjurkan kursus pengucapan awam kepada imam-imam yang bertugas untuk membaca khutbah. Untuk menyuruh mereka semua untuk berkhutbah secara sponton tentulah sukar kerana bukan semua imam adalah lulusan universiti atau pondok dalam bidang pengajian Islam.  Mereka dilantik atau dengan memohon sebagai jawatan imam kerana mempunyai bacaan al-Quran yang baik.   Melalui kursus ini khatib perlu diajar mengenai itonasi suara, pernafasan, menghilangkan gugup dan sebagainya yang berkaitan dengan ilmu pengucapan awam.  Khatib juga perlulah membaca teks tersebut terlebih dahulu agar lebih bersedia.  Barulah khutbah Jumaat dapat disampaikan dalam keadaan yang menarik yang mampu menarik perhatian jamaah untuk mendengar isi-isi yang ingin disampaikan.  Perkara ini tidak mustahil.  Peserta syarahan, pidato, bercerita contohnya mampu memukau pendengar dengan cara penyampaian mereka yang mempersonakan selepas menjalani latihan.  Walaupun sebenarnya mereka hanya menghafal teks kecuali acara yang dijalankan secara spontan.

Begitu juga dengan teks khutbah yang ditulis.  Teks khutbah yang ditulis perlulah berkaitan isu-isu bersifat semasa seperti bahaya Syiah, penindasan umat Islam di seluruh dunia yang berlaku, masalah percaya kepada bomoh dan tangkal yang masih menular dalam masyarakat Islam, menyeru umat Islam supaya tidak menyimpan wang dalam akaun kovensional yang mempunyai riba, kepercayaan-kepercayaan karut dalam masyarakat Islam,  hadis-hadis palsu yang tersebar, ciri-ciri ajaran sesat, penggunaan pelaris dalam bidang perniagaan, masalah-masalah umat Islam dalam negara.  Bukanlah sesuatu tajuk yang tidak mampu difahami oleh para jamaah atau tajuk yang tidak sesuai.  Teks khutbah perlu ditulis dalam bahasa yang mudah dan mampu difahami oleh segenap lapisan masyarakat bukannya dengan bahasa-bahasa yang beraras tinggi dan terlalu puitis.

Bagi mengelakkan fenomena hambar terus berlaku pada hari Jumaat ustaz-ustaz yang mengajar agama juga perlu diberi kesempatan untuk menyampaikan khutbah secara spontan.  Hal ini kerana pengetahuan yang mereka miliki dalam bidang agama membolehkan mereka menyampaikan khutbah secara sponton.  Peraturan yang mewajibkan khatib membaca teks khutbah perlu dilonggarkan kepada mereka.

Kuliah Sebelum Azan Jumaat

Banyak pihak yang mengelolakan masjid yang mengadakan kuliah sebelum azan Jumaat.  Boleh jadi mereka beranggapan kuliah yang diadakan sebelum azan Jumaat dihadiri oleh ramai orang berbanding kuliah atau ceramah pada waktu yang lain.  Ataupun disebabkan mereka merasakan khutbah Jumaat tidak mampu lagi untuk menyampaikan ilmu kepada jamaah sehingga perlu diadakan satu lagi kuliah lagi secara berasingan.  Sebenarnya apabila khutbah Jumaat itu sendiri (khatib dan teks) mampu untuk di tranformasi, khutbah Jumaat tersebutnya sudah memadai.  Waktu kosong sebelum azan mungkin dapat dimanfaatkan para jamaah untuk menjalankan ibdah secara sendiri-sendiri seperti membaca al-Quran, berselawat dan berzikir.
Harapan

Harapannya ialah diharapkan suatu hari nanti khatib dapat menyampaikan khutbah dengan menarik di samping isi yang disentuh bersesuaian dengan para jamaah serta dapat difahami.  Para jemaah pula kelihatan tekun dan asyik mendengar khutbah yang disampaikan oleh imam.  Seterusnya keluar daripada masjid selepas menunaikan solat fardhu Jumaat  dengan mendapat sesuatu pengisian yang bermanfaat sebagai renungan dan untuk diamalkan.  Alangkah rugi dan malangnya umat Islam apabila medium terbesar dan terbaik dakwah yang mereka miliki sekiranya gagal untuk dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Parit Gabis Atas, Perak. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan