Sabtu, 22 Februari 2014

Jenayah Akademik

Menyeludup nota masuk ke dalam peperiksaan.  Mendapat kebenaran untuk melihat buku dan bertanya rakan ketika peperiksaan.  Pensyarah sengaja meninggalkan tempat peperiksaan dan menyatakan beliau tidak bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku sepanjang tempoh ketiadaannya (memberi peluang untuk pelajar meniru secara kinayah atau secara tidak langsung). Langsung tidak memperuntukkan waktu untuk mengulangkaji sesuatu subjek kemudian pensyarah memberi nota untuk dibaca yang  merupakan soalan sebenar peperiksaan, menggodam laman sesawang kolej, universiti atau sebagainya untuk memperolehi soalan bocor atau soalan sebenar peperiksaan, mengupah seseorang untuk menyiapakan tugasan, meniru hasil kerja individu lain dan sebagainya.

Contoh-contoh tersebut mungkin antara bentuk meniru dalam peperiksaan yang pernah kita dengar yang berlaku di universiti, kolej dan sebagainya.  Mungkin ada yang begitu bangga berkongsi kepada kita mengenai kegiatan menirunya tersebut.  Pelbagai alasan digunakan seperti terlalu sibuk dengan tugasan yang diberikan, tidak ada masa (saya lebih gemar untuk menggunakan istilah tidak memperuntukkan masa), komitmen terhadap jawatan yang dipikul dan banyak lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan di menara gading yang menjadikan pelajar-pelajar telalu sibuk dengan pelbagai aktiviti.  Perlu menghadiri kuliah, tugasan-tugasan yang diberikan pensyarah, terlibat dengan aktiviti kokurikulum, komitmen terhadap jawatan yang dipegang dan lain-lain.  Namun menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak sempat mengulangkaji pelajaran dan terpaksa meniru atau sengaja meniru bagi mengelakkan terpaksa mengulang semula subjek tersebut sekiranya gagal menggambarkan sikap tidak amanah.

Perkara ini menjadi lebih kritikal apabila kes meniru bukan hanya melibatkan pelajar-pelajar yang mengambil jurusan selain agama malah pelajar-pelajar yang mengambil jurusan agama juga turut tidak terkecuali (yang sepatutnya lebih terdedah dengan perintah-perintah dan larangan-larangan dalam agama).

Isu meniru ini sekiranya tidak dibendung akan memberi pelbagai implikasi yang negatif.  Berikut merupakan antara keburukan meniru:

1.
Menjadikan seseorang itu tidak mahir dengan ilmu yang dipelajarinya.  Bayangkan seorang golongan agama memberikan fatwa yang salah disebabkan tidak menguasai sesuatu subjek yang dahulunya dia telah meniru.  Masyarakat boleh menjadi keliru.


2.
Menjadikan seseorang terbawa-terbawa tabiat buruk tersebut ketika menempuh alam pekerjaan.  Disebabkan sudah terbiasa mengamalkan aktiviti meniru ketika belajar maka bukanlah menjadi sesuatu yang sukar untuk seseorang itu terus meniru ketika sudah bekerja seperti meniru untuk peperiksaan kenaikkan pangkat.


3.
Menjadikan pihak majikan salah faham mengenai keupayaan sebenarnya.  Hal ini disebabkan keputusannya yang baik yang tertulis di atas sijil menjadikan pihak majikan menganggapnya sesuai untuk sesuatu jawatan.  Namun hakikat sebenarnya keputusan yang baik itu diperolehi daripada kegiatan menirunya.  Seseorang itu akan terus menipu dan menipu.  Bayangkan pendapatan yang diperolehi dengan cara ini.


Oleh itu, sebagai seorang pelajar, tidak seharusnya kita terlibat dengan jenayah-jenayah akademik seperti ini.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan