Rabu, 30 April 2014

Kepentingan Mempelajari Agama Dalam Bahasa Arab

Setiap kali selepas peperiksaan SPM atau STPM calon-calon biasanya sibuk untuk memohon secara dalam talian atau online universiti yang diidam-idamkan.  Ada calon yang memohon sesuatu universiti disebabkan ada ahli keluarganya yang pernah belajar di universiti berkenaan.  Ada juga yang memohon sesuatu universiti kerana merasakan universiti tersebut berada pada kedudukan atau ranking yang terbaik.  Ada juga yang memohon sesuatu universiti kerana mengikut rakan-rakan yang lain.  Kemungkinan tidak ramai yang memohon sesuatu universiti berdasarkan ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap sesuatu universiti yang dimohon.  Boleh jadi juga tidak ramai juga yang menjalankan kaji selidik atau survey terhadap sesuatu universiti.

Saya menyentuh isu ini disebabkan ramai calon-calon yang ingin mengambil jurusan agama yang agak kurang cakna atau kurang ambil tahu.  Mereka tidak mengkaji secara sebetulnya dan hanya mengisi disebabkan sebab-sebab yang dinyatakan diatas.

Perkara utama yang perlu diambil tahu oleh bakal-bakal pelajar jurusan agama apabila ingin memohon sesuatu universiti ialah jenis jurusan (seperti Syariah, Dakwah dan lain-lain) yang akan diambil dan juga bahasa yang dijadikan bahasa pengantar untuk jurusan tersebut di universiti yang ingin dimohon.

Untuk menjawab dua persolan tersebut pula kita perlu menjawab satu lagi persoalan iaitu apakah tujuan kita ingin mengambil jurusan agama?.  Adakah sekadar ikut-ikutan?, adakah kerana disebabkan ingin memenuhi harapan ibu bapa?, adakah sekadar untuk menambah ilmu agama untuk beramal sendiri-sendiri? atau adakah untuk menjadi pakar dalam bidang agama dan dapat menjadi rujukan kepada masyarakat.

Sekiranya jawapan kita bukan jawapan untuk soalan terakhir, persoalan mengenai jenis jurusan atau bahasa yang digunakan untuk jurusan tersebut di universiti tidaklah terlalu besar.  Tetapi sekiranya jawapan yang kita pilih ialah bagi soalan yang terakhir, persoalan mengenai jenis jurusan dan bahasa pengantar untuk jurusan tersebut perlu direnung dan difikir secara matang.

Apa kepentingan untuk memilih jenis jurusan agama yang sesuai?.  Kepentingannya ialah kita dapat mengetahui jenis jurusan yang sesuai dengan diri kita.  Selain itu, kita juga dapat mengetahui jenis jurusan agama yang agak kurang menjadi tumpuan golongan agama dalam negara dan dapat mengisi ruang-ruang kosong yang ada.  Namun yang sebaiknya dapat menjadi pakar untuk setiap jenis jurusan agama seperti ulama-ulama terdahulu.  Namun untuk menjadi pakar dalam semua jenis jurusan agama bukanlah sesuatu yang mudah dan mengmbil masa yang panjang kecuali bagi sesiapa yang Allah anugerahkannya.

Apa kepentingan untuk mengetahui bahasa yang dijadikan bahasa pengantar untuk sesuatu jenis jurusan agama yang akan diambil?.  Kepentingannya kembali kepada apakah tujuan kita ingin belajar agama.  Sekiranya ingin menjadi pakar, universiti yang menawarkan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar perlu diberi keutamaan.

Hal ini kerana apabila bahasa Arab dijadikan sebagai bahasa pengantar sedikit sebanyak dapat memahirkan penuntutnya untuk memahami bahasa Arab, membaca, berkomunikasi dan yang paling penting dapat merujuk kitab-kitab ulama yang berbahasa Arab.  Tentu sahaja al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab begitu juga hadis-hadis nabi Muhammad S.A.W.

Secara langsung dapat meluaskan lagi sumber rujukan kepada pelajar-pelajar yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Arab.  Berbeza dengan pelajar yang menggunakan bahasa ibunda yang memiliki sumbur rujukan yang terhad.  Hanya bergantung kepada kitab-kitab dalam bahasa ibunda dan kitab-kitab yang telah diterjemahkan sahaja.  Kitab-kitab terjemahan sudah pasti memiliki kelemahan dalam aspek terjemahan.  Hal ini kerana perbendaharaan kata bahasa Arab yang luas berbanding dengan bahasa-bahasa lain dunia.  Mereka juga sekiranya tidak berusaha lebih tidak dapat merujuk kitab-kitab dalam bahasa Arab.

Selain itu, dalam aspek bahasa, kita juga perlu memberi keutamaan universiti yang memberi penekanan terhadap bahasa Enggeris.  Hal ini kerana untuk menjadi golongan agama tidak memadai seseorang itu hanya menguasai bahasa kebangsaan sesebuah negara dan bahasa Arab sahaja.  Perlu juga untuk mahir bahasa asing yang lain seperti bahasa Enggeris.  Hal ini penting untuk memahami dan menjawab dakwaan golongan orientalis dalam bahasa yang dapat difahami oleh mereka sendiri.  Di samping itu, dapat juga diaplikasikan untuk tujuan dakwah.

Kepakaran dalam Bahasa Arab dan bahasa Enggeris tentu sahaja dapat dimanfaatkan apabila kita menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi di timur tengah dan negara barat.

Walaubagaimanapun saya menghormati universiti-universiti yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.  Mungkin mereka mempunyai alasan yang tersendiri.  Cuma kita sebagai bakal pelajar universiti perlu memikirkan perkara ini secara lebih kritikal.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan