Isnin, 28 April 2014

Masjid Perlu Lebih Mesra Pengguna

Perkara penting dan utama yang perlu difikirkan apabila sesuatu masjid itu ingin dibina dan ditadbir ialah masjid yang akan dibina tersebut mestilah mampu untuk memberi suasana yang selesa kepada setiap penggunanya.

Pengguna atau jamaah yang menggunakannya masjid termasuklah orang kelainan upaya (OKU), orang tua atau uzur dan orang yang sakit, tidak terhad kepada golongan yang sihat sahaja.

Hal ini kerana ada masjid yang dibina yang mungkin telah terlepas pandang golongan tersebut.  Contohnya ada masjid yang dibina mempunyai tangga yang agak tinggi.  Situasi sebegini tentu sahaja menyukarkan golongan tersebut sekiranya tidak dibina laluan alternatif kepada mereka.  Kemungkinan pihak yang membina masjid terlalu tinggi mempunyai alasannya yang tersendiri namun hak-hak golongan tersebut janganlah sampai diketepikan.
Terdapat juga masjid yang tidak menyediakan kerusi kecil untuk kegunaan ahli jamaah yang tidak mampu menunaikan solat sebagaimana biasa.  Keadaan ini menyebabkan mereka perlu membawa kerusi sendiri dari rumah sendiri.  Hal ini tentu sahaja menyukarkan mereka.  Sekiranya pihak masjid mampu menyediakan kerusi seperti ini tentu mereka akan berasa diraikan semasa datang ke masjid.

Masjid juga perlu membina pintu yang lebih hadapan untuk memudahkan para jamaah yang mungin mengejar waktu untuk bergegas keluar.  Hal ini juga dapat mengelakkan mereka daripada melintas dihadapan jamaah yang masbuk  yang masih bersolat.  Kita tidak perlu memberi sebarang label kepada mereka seperti Wahabi dan sebagainya kerana tidak berzikir dan berdoa bersama-sama kita.  Alangkah baik kita dapat bersangka baik atau husnu zhon kepada jamaah seperti ini.  Anggaplah mereka mempunyai sesuatu keperluan yang terlalu mendesak tanpa sebarang label.  Boleh jadi mereka berzikir ketika dalam kenderaan.

Kadangkala tindakan sesebuah masjid yang mengunci semua pintu masjid dan pintu pagar utama amatlah terpuji.  Tujuannya bagi mengelakkan kecurian.  Terutamanya pada waktu malam.  Namun tindakan tersebut telah mengundang kesukaran kepada seseorang yang ingin menggunakan tandas masjid pada waktu malam ketika dalam perjalanan.  Tandas-tandas awam sudah tentu juga telah tutup.  Perkara ini juga menyukarkan mana-mana pihak yang ingin menunaikan solat jama’ dan qasar ketika dalam sesuatu perjalanan atau musafir di samping dapat melepaskan lelah seketika.  Sepatutnya untuk menanggani masalah kecurian pihak masjid tidak perlulah sehingga mengunci pagar luar.  Cukup sekadar pagar dalam.  Seseorang masih boleh menunaikan solat di kaki lima masjid.  Tetapi solusi terbaik ialah pihak masjid boleh menggaji jaga untuk mengawal masjid pada waktu malam.  Namun seandainya ingin dijimatkan kos lagi ahli jawatan kuasa masjid mungkin boleh secara bergilir-gilir untuk mengawal masjid pada waktu malam.  Perkara seperti ini sudah pasti mampu memberikan keselesaan kepada pengguna masjid pada waktu malam.

Pihak masjid yang menguruskan masjid-masjid yang terletak di bandar terutamanya perlu lebih cakna.  Hal ini kerana jamaah yang datang bersolat biasanya terdiri daripada kalangan pekerja yang perlu mengejar waktu.  Oleh itu, waktu untuk iqamah dilaungkan janganlah  terlalu panjang.  Kuliah yang diadakan sebelum khutbah Jumaat pula janganlah melerat hingga terlalu panjang walaupun waktu telah pun masuk.

Masjid juga perlu jadi lebih mesra kanak-kanak.  Kanak-kanak merupakan golongan yang sering dimarahi dan ditengking didalam masjid.  Ada sahaja tindakan mereka yang tidak kena dimata orang dewasa.  Sepatutnya kanak-kanak dilayan mesra dan disayangi.  Kanak-kanak merupakan aset yang penting untuk mengimarahkan masjid pada masa depan.  Tindakan memarahi dan menegking mereka hanya menyebabkan mereka jauh daripada masjid dan kita akan kehilangan pelapis.

Masjid juga perlu menyediakan kerusi di pintu masuk masjid.  Hal ini dapat memudahkan jamaah yang memakai kasut sarung dan sarung kaki untuk menanggalkan kasut.

Pihak masjid perlu memastikan juga agar pembesar suara sama ada pembesar suara dalam masjid dan luar masjid digunakan tanpa mengganggu jamaah di dalam masjid dan penduduk sekitar masjid.  Kadangkala ada imam yang berzikir dan berdoa dengan menggunakan pembesar suara.  Tindakan ini secara tidak langsung telah mengganggu jamaah lain yang masih menunaikan solat sama ada masbuk atau sebab-sebab yang lain.  Selain itu, penggunaan pembesar suara luar selain daripada azan juga perlu digunakan secara berhemah.  Bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum azan sesuatu solat fardhu kadangkala agak mengganggu.  Terutamanya pada waktu pagi.  Selain mengganggu seseorang yang menunaikan solat sunat Tahujud di rumah bacaan tersebut juga turut mengganggu fokus sesorang yang menunaikan solat sunat Tahiyat al-Masjid sendiri.  Bacaan al-Quran ceramah itu baik.  Tapi kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mendengarnya.  Boleh jadi mereka membaca al-Quran dan mendengar bacaan al-Quran pada waktu yang lain.  Ketika zaman yang penuh salah faham yang sengaja ditimpakan kepada agama Islam, janganlah kita menokok tambah lagi salah faham tersebut.

Justeru, pihak yang menguruskan masjid perlu memastikan bahawa sesebuah masjid yang diuruskan itu mampu meraikan semua pihak bukan meraikan kelompok tertentu sahaja.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan