“Sesiapa yang belajar (agama khususnya)
tanpa mempunyai guru (sekadar bacaan semata-mata) maka gurunya adalah
Syaitan”. “Sesiapa yang belajar agama
tanpa mempunyai guru (maksudnya dengan merujuk bahan berkaitan agama semata-mata)
maka salah faham yang timbul akibatnya lebih banyak”.
Kata-kata di atas kerap kita dengar
diucapkan kepada mana-mana pihak yang tidak mempunyai guru dalam menuntut ilmu
agama dan hanya melalui bahan bacaan seperti buku dan sebagainya.
Kedua kata-kata di atas bukanlah
bersumberkan hadis nabi Muhammad S.A.W. yang thabit daripada baginda S.A.W. Walaubagaimanapun
maksud yang terkandung di dalamnya mempunyai
kebenarannya. Seorang guru mampu
menjelaskan perkara yang tidak dapat difahami oleh pelajarnya, guru juga mampu
memberikan pencerahan terhadap sesuatu persoalan yang samar dan juga menjadi
kekeliruan oleh para pelajarnya.
Namun kadangkala nasihat yang baik seperti
di atas boleh menimbulkan salah faham sekiranya diberikan tanpa sebarang bentuk
penjelasan seolah-olah menghalang seorang daripada membaca secara mutlak.
Kita tentu akan berasa sedih apabila
membaca kajian menunjukkan purata membaca di kalangan umat Islam dalam angka
yang kurang memberangsangkan jika dibandingkan dengan negara-negara bukan umat
Islam sebagai majoritinya seperti Jepun dan negara-negara eropah. Pengalaman penulis ketika menunggu komuter
untuk ke lokasi yang ingin ditujui mendapati palancong-pelancong dari negara
eropah menggunakan ruang waktu untuk menunggu komuter datang dengan duduk di atas
lantai sambil membaca buku.
Walaupun kita tidak bersetuju dalam banyak
perkara dengan mereka seperti membenarkan LGBT atas dasar hak asasi manusia
namun kejayaan mereka dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan tidak dapat dinafikan
(walaupun eropah banyak terhutang budi pada dunia Islam pada zaman kegemilangan
umat Islam).
Kata-kata di atas perlu kita renung
daripada pelbagai sudut.
Mustahil akan kita temui seseorang yang
semua buku-buku yang tersusun rapi di rak dalam rumahnya semuanya dipelajarinya
dengan guru. Bahkan berkemungkinan
sebahagian besarnya dibaca tanpa panduan guru.
Adakah ini menjadikannya sebagai seorang yang sesat.
Mustahil juga sekiranya ada individu yang
semuanya ilmu agama yang dimilikinya diperolehi daripada guru. Sudah tentu ada ilmu agama yang diperolehinya
melalui pembacaan. Sekiranya tidak
banyak tentu sedikit.
Sistem pendidikan universiti contohnya
memerlukan seseorang pelajar ijazah sarjana dalam bidang agama menulis thesis
untuk sesuatu kajian yang pastinya memerlukan pembacaan kitab-kitab yang banyak
hasil karangan ulama untuk dijadikan bahan kajian. Sudah pasti pelajar dalam bidang ini tidak
sempat untuk belajar secara berguru bagi kitab-kitab yang dijadikan bahan
kajian. Apa yang diperlukan ialah panduan
pensyarah dalam merujuk dan memahami sesuatu kitab disamping asas agama yang
teguh.
Sebenarnya bukan persoalan membaca tidak
berguru yang perlu kita tekankan tetapi yang perlu kita tekankan ialah metod
atau kaedah yang betul dalam merujuk bahan-bahan bacaan berkaitan agama. Hal ini bagi mengelakkan kesulitan bagi pihak
yang tidak mempunyai banyak kesempatan untuk belajar secara berguru. Sebagai contohnya buku yang hendak dijadikan
pegangan dalam membaca mestilah mematuhi tahap ilmiah dalam bidang penulisan dengan
menyatakan sumber untuk perkara yang dinyatakan. Sebagai contohnya dengan memaparkan status
hadis yang digunakan sama ada dapat digunakan sebagai hujah ataupun tidak.
Seterusnya apabila seseorang sudah mempunyai
kaedah yang betul dalam merujuk bahan-bahan rujukan untuk pembacaan maka tidak
menjadi masalah untuk individu merujuk bacaan secara sendiri-sendiri.
Aspek yang perlu kita tekankan seterusnya
ialah menerapkan budaya bertanya berkaitan perkara yang tidak difahami, masih
samar atau keliru kepada individu yang mempunyai keahlian dalam bidang
tersebut. Sekiranya kita pernah membaca
hadis-hadis nabi S.A.W. kita akan mendapati para sahabat banyak bertanya kepada
Rasulullah S.A.W. perkara yang mereka kurang jelas. Galakkan juga untuk menghadiri majlis ilmu
secara talaqqi jika mempunyai kesempatan.
Tidak menjadi masalah juga untuk seseorang
itu membaca jika dia sudah pun mempunyai asas agama yang baik dan mampu untuk
mengenal tulisan yang ditulis untuk mengelirukan umat Islam sama ada yang
dikarang oleh orientalis atau individu-individu yang terkesan dengan orientalis
dan juga mampu membezakan kitab karangan ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah dengan
kitab-kitab ahlul bid’ah seperti Syiah Rafidhah.
Penulis mencadangkan perkara-perkara ini
untuk dibuat kerana tidak semua orang memiliki peluang atau kesempatan untuk
menadah kitab. Pekerja kilang contohnya,
ada yang berkerja 12 jam sehari, 6 hari dalam seminggu. Bayangkan mereka langsung tidak mempunyai
waktu untuk diperuntukkan untuk pergi belajar berguru. Malah waktu bersama keluarga juga
terhad. Mungkin kita boleh katakan kalau
hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.
Mengapa dia tidak berhenti kerja dan pergi belajar agama secara
berguru. Saya katakan dia mempunyai
anak-anak yang perlu dibesarkan serta ibu bapa yang menjadi tanggungan. Alternatif kepada pekerja kilang tersebut dan
juga individu-individu lain yang mempunyai tahap kesibukan yang maksima tetapi
ingin mendalami agama adalah dengan merujuk sesuatu yang berkaitan agama melaui
bahan-bahan yang boleh dipertanggungjawabkan.
Selain itu dengan adanya teknologi seperti
internet menjadikan proses menuntut ilmu agama menjadi lebih mudah. Kita boleh memuat turun kuliah daripada
internet daripada ustaz-ustaz yang berpegang teguh kepada manhaj salaf al-soleh
(merupakan tiga genarasi awal Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis
nabi Muhammad S.A.W.) dalam memahami al-Quran dan al-Sunnah dan menonton dan
mendengarnya apabila mempunyai kesempatan.
Tulisan ini bukanlah untuk tidak
menggalakkan menuntut ilmu agama secara tidak berguru tetapi mahu kita
memikirkan bahawa tidak semua pihak mampu melakukannya seperti golongan-golongan
yang masih dalam proses menuntut ilmu dan mempunyai peruntukan wang.
Kesimpulannya tidak salah untuk menggunakan
kata-kata di atas dalam menerangkan keburukan belajar tanpa mempunyai guru
namun haruslah diberikan penjelasan yang jelas dan kemas agar tidak timbul
salah faham bahawa Islam tidak menggalakkan penganutnya membaca dan menjadikan
sebahagian individu sukar kerana mempunyai faktor penghalang yang dia diuji
dengannya.
Mohamad Amirul bin Saidi.
Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan