Ahad, 4 November 2018

Apa Yang Kita Suka Tidak Semestinya Yang Paling Tepat

Dalam hidup ini kita tidak dapat lari daripada membuat keputusan. Sesuatu keputusan yang kita suka tidak semestinya keputusan yang paling tepat untuk kita buat.

Berikut saya kemukakan beberapa contoh mengenai perkara ini bagi memudahkan kefahaman. Setiap orang mungkin mempunyai keputusan yang berbeza dalam situasi-situasi dibawah berdasarkan latar belakang dirinya.

1. Menyambung belajar dalam bidang agama di Timur Tengah atau dalam negara. Saya suka sekiranya mendapat peluang menyambung pelajaran dalam bidang agama di negara Timur Tengah. Banyak kelebihan belajar agama di Timur Tengah berbanding di universiti tempatan. Antaranya penguasaan bahasa Arab yang lebih mantap, dapat menuntut ilmu daripada ulama-ulama yang hebat, silibus pengajian yang lebih tinggi, kelas talaqqi yang banyak dan lain-lain lagi.

Walaubagaimanapun keputusan yang saya ambil adalah sebaliknya. Saya memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang agama peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti tempatan. Keputusan ini saya ambil setelah mempertimbangkan situasi keluarga saya. Adik beradik saya tidak ramai. Hanya tiga orang. Abang sulung saya bekerja dan menetap di negeri lain. Adik bongsu saya pula sudah berada di tingkatan 4 dan insya-Allah akan menyambung pelajaran di universiti suatu hari nanti yang kebiasaannya jauh dari kampung halaman, ibu bapa pula semakin meningkat usia dan perlukan perhatian yang lebih, maka keputusan yang lebih tepat yang saya ambil adalah menyambung pelajaran belajar di universiti tempatan. Hal ini sebagai langkah persediaan jika berlaku apa-apa kepada ibu bapa saya, mudah untuk saya menguruskannya berbanding jika saya berada di luar negara. Apa yang saya tidak dapat jika saya belajar dalam negara berbanding luar negara saya tampung berdasarkan apa yang saya mampu.

2. Menyambung pelajaran selepas Ijazah Sarjana Muda hingga peringkat Ijazah Doktor Falsafah atau kerja terlebih dahulu. Saya suka sekiranya dapat terus menyambung pelajaran hingga Ijazah Doktor Falsafah sejurus sahaja selesai Ijazah Sarjana Muda. Hal ini demikian kerana ianya dapat menjimatkan masa, ilmu yang dipelajari pada peringkat sebelumnya masih segar di dalam minda, belum mempunyai banyak komitmen yang perlu difikir dan dibuat dan lain-lain lagi.

Namun setelah mempertimbangkan pelbagai faktor seperti keluarga, kewangan dan kemantapan ilmu maka saya memilih untuk bekerja terlebih dahulu yang saya rasakan keputusan yang lebih tepat.

Faktor keluarga telah saya jelaskan pada poin nombor 1. Kewangan yang sihat amat penting jika kita ingin menyambung pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. Tiada pinjaman PTPTN lagi pada peringkat ini dan jika ada pun saya sudah tidak sanggup lagi untuk menganggung hutang. Untuk belajar pada dua peringkat ini sama ada kita perlu mencari penaja atau kita perlu menggunakan dana sendiri. Penaja pula biasanya hanya menaja pelajar yang sangat cemerlang. Pelajar yang cemerlang sahaja biasanya sukar untuk mendapatkan tajaan. Oleh itu, saya perlu bekerja terlebih dahulu untuk mengumpul duit.

Kemantapan ilmu juga penting sekiranya kita ingin menyambung pelajaran peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. Jadi saya ingin mengambil kesempatan fasa saya belum menyambung pelajaran untuk mengulangkaji apa yang saya telah pelajari di samping menambah bahan bacaan yang baru.

Setelah meneliti tiga faktor tersebut, bekerja dahulu sebelum menyambung pelajaran peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah saya rasakan suatu keputusan yang lebih tepat.

3. Ambil Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah versi yang perlu ambil subjek atau versi membuat kajian semata-mata. Saya suka Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah yang mempunyai subjek yang perlu diambil selain daripada penulisan tesis. Hal ini demikian kerana saya seorang yang suka belajar. Walaupun kita telah berada pada tahap pasca siswazah, sebenarnya masih banyak perkara yang kita tidak tahu dan perlu belajar dengan bimbingan guru yang mahir dalam bidang tersebut. Hal tersebut sukar diperolehi jika kita hanya mengambil Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah versi penulisan tesis atau kajian semata-mata.

Walauabagaimanapun keputusan yang lebih tepat yang saya perlu ambil berdasarkan situasi semasa saya adalah mengambil Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah versi kajian tanpa subjek kerana saya tentu akan sibuk kerana sudah bekerja ketika itu disamping komitmen-komitmen yang lain. Perkara-perkara yang saya tidak dapat perolehi jika tidak ambil Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah versi mempunyai subjek perlu saya tampung berdasarkan kemampuan dan kreativiti saya.

4. Pulang mengundi atau kekal di universiti menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Saya  suka sekiranya dapat pulang ke kampung ketika PRU 14 tahun 2018 untuk mengundi bagi menentukan masa depan negara. Lebih-lebih lagi apabila pihak universiti sudi memberikan cuti bagi memudahkan anak rantauan pulang ke kampung.

Namun jika difikirkan kembali jika saya pulang ke kampung banyak kerja yang diberikan pensyarah terutamanya tugasan secara berkumpulan akan jadi tergendala, maka saya mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung. Lebih-lebih lagi saya merupakan ketua kumpulan untuk setiap tugasan berkumpulan yang perlu bertugas untuk menyemak bahagian yang dibuat rakan-rakan yang lain dan menyuntingnya yang kesemuanya memerlukan kepada komitmen masa.

Justeru, dalam membuat keputusan dalam hidup kita seimbangkanlah antara idealistik dan realistik, dan tidak semua keputusan yang kita suka merupakan suatu keputusan yang paling tepat. Ukurlah baju di badan sendiri.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabang Malaysia, Gombak, Selangor. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan