Ahad, 18 Disember 2016

Panduan Bagi Pelajar-Pelajar Yang Berhasrat Untuk Mengambil Subjek Advanced Tilawah Al-Quran 1(TQ3122), Advanced Tilawah Al-Quran 2 (TQ3222) dan Tahfiz (TQ3322)

Ketiga-tiga subjek ini termasuk subjek-subjek yang telah ditetapkan oleh pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mesti diambil oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda dari Kuliyyah Islamic Revealed And Knowledge (IRK).  Malangnya sebahagian pelajar kurang mengambil cakna dalam melakukan sedikit penelitian tentang apa yang akan dipelajari di dalam subjek ini dan natijahnya mereka sukar mendapat keputusan yang cemerlang bagi subjek-subjek ini.

Antara perkara yang perlu dikuasai dalam ketiga subjek ini adalah berkaitan ilmu tajwid (bukan fokus penulisan ini) dan juga hafalan Al-Quran.  Para pelajar dikehendaki menghafal beberapa surah dalam subjek Advance Tilawah 1 dan Advance Tilawah Al-Quran 2 manakala sejuzuk dari Al-Quran  untuk subjek Tahfiz (sengaja tidak dinyatakan nama-nama surah dan juzuk tertentu yang perlu dihafal kerana meraikan perubahan surah dan juzuk yang mungkin berlaku dari semasa ke semasa bagi subjek-subjek tersebut).  Surah-surah yang dihafal biasanya perlu ditasmi'(dibaca berdasarkan hafalan tanpa melihat kepada mushaf) dihadapan pensyarah (sama ada ditebuk atau dibaca secara penuh) dan sekali lagi akan disoal dalam peperiksaan akhir dalam bentuk bertulis.  Hafalan Al-Quran memberikan peratusan yang besar bagi subjek-subjek tersebut.  Namun sebahagian pelajar tidak berjaya menghafal surah-surah yang diminta dengan baik.  Ada yang lupa ayat, ada yang tak lancar,ada yang tertukar ayat, ada yang menambah ayat, ada melangkau ayat dan banyak lagi kesalahan ketika proses tasmi berlangsung.  Puncanya yang dapat dikenalpasti adalah ketiadaan teknik yang betul dalam menghafal Al-Quran.
Jadi, penulisan ini bertujuan untuk berkongsikan teknik-teknik supaya seseorang dapat menghafal dengan baik.

1.  Kenalpasti terlebih dahulu surah-surah atau juzuk yang perlu dihafal sebelum mengambil subjek-subjek ini.  Sekurang-kurangnya satu semester lebih awal.  Boleh bertanya kepada pelajar yang telah mengambil subjek-subjek ini dan yang lebih baik bertanya terus kepada pensyarah. Pada zaman saya mengambil subjek Advance Tilawah 1 kami perlu menghafal bermula dari surah An-Naba’ hingga surah Al-Infitor. Bagi subjek Advance Tilawah 2 pula perlu menghafal dari surah Al-Jin hingga surah Al-Qiyamah manakala bagi subjek Tahfiz perlu menghafal juzuk pertama daripada Al-Quran.

2.  Hafal awal.  Jika kita telah tahu surah-surah atau juzuk yang perlu dihafal kita dapat menghafalnya lebih awal dan ketika mengambil subjek ini kita hanya tasmi hafalan yang telah dihafal. Kita boleh menghafalnya sama ada ketika cuti semester panjang atau pendek.  Antara sebabnya sebahagian pelajar biasanya disibukkan atau menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti persatuan apabila semester baru bermula. Ditambah lagi dengan sistem baru yang baru diperkenalkan pada sesi 2016/2017 semester 1 yang telah menyebabkan bebanan tugasan bertambah berbanding semester-semester sebelum ini. Hal ini menyebabkan waktu untuk proses menghafal menjadi terhad. (Sebenarnya sesuatu yang malang bagi pelajar IRK jika menghafal Al-Quran bukanlah menjadi prioriti dalam kehidupannya).  Hafalan yang telah dihafal awal mestilah kerap dimurajaah (dilakukan pengulangan) supaya hafalan menjadi lebih kukuh.

3.  Menyemak bacaan Al-Quran sendiri.  Caranya adalah dengan merakam hafalan surah Al-Quran yang telah dihafal dengan alat perakam yang tersedia dalam smartphone kemudian mendengarnya semula sambil menyemaknya dengan melihat kepada mushaf.  Gunakanlah segala kecanggihan gajet yang ada pada hari ini untuk aktiviti ini.  Tandakan pada mushaf menggunakan pensil bagi mana-mana kesalahan yang kita dapati dalam rakaman suara kita tersebut seperti tersalah baris, tertinggal ayat, salah tajwid dan sebagainya.  Jadi apabila kita melakukan murajaah hafalan pada waktu yang lain kita telah mengetahui dimana kesalahan kita dan dapat membetulkannya.  Sebaiknya lakukan kaedah ini sebelum melakukan tasmi dengan rakan atau dengan pensyarah.  Sebahagian pelajar yang mengabaikan melakukan kaedah ini biasanya akan mentasmi' hafalan yang bersifat pra-matang (banyak kesalahan) kepada pensyarah.  Sekurang-kurangnya dengan melakukan kaedah ini kita mampu meminimakan kesalahan dalam hafalan kita ketika tasmi'.

4.  Menyemak bacaan sendiri dengan rakan.  Sebaiknya rakan yang bacaan Al-Qurannya lebih baik dari kita supaya beliau dapat membetulkan dan membaiki hafalan kita.

5.  Sentiasa mendengar Al-Quran.  Contohnya ketika berjalan ke kelas, semasa pulang dari kelas, semasa bersiap-siap untuk ke kelas , semasa menunggu bas, semasa dalam bas dan lain-lain.  Gunakan segala kekreatifan yang kita miliki.  Mendegarnya sama ada menggunakan perantara earphone atau tanpa sebarang perantaraan.  Terpulang.  Mungkin boleh gantikan atau kurangkan tabiat mendengar lagu kepada mendengar al-Quran.  Selain dapat menyemak hafalan Al-Quran, kita juga dapat memperbaiki cara bacaan dengan mendengar cara qari menyebut sesuatu ayat atau kalimah.  Cara ini juga membantu untuk memudahkan ketika proses menghafal Al-Quran berlangsung.  Perasan atau tidak, kadangkala kita mampu ingat lirik lagu tanpa pernah menghafalnya secara khusus sama ada mendengarnya secara sengaja dengan kerap atau mendengar secara tidak sengaja seperti di pasaraya yang memasang pelbagai lagu.  Mengapa kita tidak lakukan pada Al-Quran yang pasti lebih utama daripada mana-mana lagu pun.

6.  Cuba tulis ayat yang dihafal pada kertas dengan melihat kepada mushaf dengan menjaga aspek baris, titik, sabdu dan lain-lain (dalam peperiksaan sebenar tidak diminta ditulis baris sekali).   Hal ini disebabkan metod penulisan Al-Quran yang agak berbeza dengan metod penulisan Arab yang biasa digunakan.  Kemudian cuba pula tulis semula ayat yang dihafal tadi tanpa melihat kepada mushaf dan menyemaknya dengan melihat mushaf setelah selesai ditulis. Untuk menjadikannya lebih berkualiti lakukannya aktiviti ini sebanyak beberapa kali. Janganlah kali pertama kita menulis Al-Quran adalah ketika menjawab soalan peperiksaan.  Tidak takutkah kita melakukan kesalahan dalam menulis KALAM ALLAH.


Semoga bermanfaat.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan