Jumaat, 19 Oktober 2018

Tip-Tip Belajar Pelajar Yang Mendapat 4.0 Dalam STPM

Saya merupakan bekas pelajar tingkatan 6 STPM Agama sesi 2012-2018 di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Pada zaman kami terdapat dua orang pelajar yang mendapat CGPA 4.0 ketika STPM. Dalam penulisan ini saya akan kongsikan tip-tip belajar salah seorang daripada mereka.

Secara jujurnya saya tidak mengenali beliau secara dekat kerana beliau merupakan pelajar perempuan manakala saya merupakan seorang pelajar lelaki. Tip-tip yang saya kongsikan ini sebahagiannya berdasarkan pemerhatian saya dan sebahagian lagi berdasarkan apa yang beliau pernah kongsikan ketika berucap dihadapan pelajar lain. Walaubagaimanapun huraian kepada setiap tip datang daripada saya sendiri.

Tip-tip beliau yang lain tentu lebih banyak berbanding apa yang saya kongsikan. Namun jika kita tidak dapat mengetahui kesemua tip-tipnya jangan pula sampai meninggalkan kesemuanya. Apa yang penting bukan berapa banyak tip yang kita tahu sebaliknya berapa banyak tip yang kita tahu yang kita amalkan.

Walaupun tip yang kita tahu sedikit tetapi jika kita amalkan secara konsisten ianya jauh lebih bermanfaat jika kita langsung tidak amalkan.

Sebahagian tip pula bersifat agak subjektif. Ianya mungkin sesuai kepada gaya belajar seseorang dan tidak sesuai kepada gaya belajar seseorang yang lain. Oleh itu, kenali diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengamalkan mana-mana tip yang dikongsikan.

1. Sentiasa duduk dibaris hadapan di dalam kelas. Antara kelebihan duduk di baris hadapan di dalam kelas adalah seseorang itu dapat lebih fokus kepada apa yang sedang diajar oleh guru.

Jika duduk dibaris belakang terdapat pelbagai jenis gangguan sama ada ianya berpunca daripada diri kita sendiri atau ianya berpunca dari pihak lain. Antara yang berpunca daripada diri sendiri adalah seperti mengelamun, mengantuk, rasa tidak bersalah untuk melakukan perkara lain ketika guru mengajar dan lain-lain lagi.

Antara gangguan yang berpunca dari pihak lain adalah seperti terdapat rakan yang duduk berdekatan yang bertanya perkara yang tidak difahaminya ketika guru sedang mengajar, bersembang dengan rakan yang duduk berdekatan, berminat untuk melihat aktiviti yang sedang berlangsung di luar kelas dan lain-lain lagi.

2. Kerap berjumpa guru. Ketika saya mengambil STPM dahulu kami perlu menyiapkan Penilaian Berdasarkan Sekolah (PBS) untuk setiap subjek. PBS yang dimaksudkan adalah kami perlu menghasilkan kajian untuk setiap subjek berdasarkan tajuk tertentu, dalam jumlah perkataan tertentu yang ditetapkan dan berdasarkan format penulisan tertentu. Apa yang saya sedari beliau agak kerap berjumpa dengan guru-guru untuk membincangkan hasil kerjanya.

Berjumpa guru amat penting sama ada untuk bertanya soalan berkenaan subjek atau untuk membetulkan kesalahan yang terdapat dalam tugasan kita. Apabila kita lebih faham sesuatu subjek dan tugasan kita juga mendapat perkenan daripada guru sudah tentu kita mudah medapat A bagi subjek tersebut.

3. Mengajar orang lain. Ketika saya mengambil STPM dahulu kami mempunyai suatu program yang dinamakan Guru Muda. Program Guru Muda bermaksud bagi setiap mata pelajaran akan dipilih pelajar yang agak cemerlang untuk mengajar pelajar-pelajar lain sebelum kelas sebenar bermula. Waktu mengajar guru muda sama ada sebelum waktu kelas normal bermula atau ketika waktu ulangkaji pada waktu malam.

Untuk mengajar orang lain kita perlulah membuat persediaan dan faham terlebih dahulu. Dengan cara ini baru kita dapat mengajar orang lain dengan lebih baik.

Mengajar orang lain juga dapat mengukuhkan lagi kefahaman kita terhadap sesuatu ilmu.
Beliau juga merupakan salah seorang tenaga pengajar Program Guru Muda.

4. Hafal satu fakta sebelum tidur. Hal ini beliau kongsikan ketika berucap di Dar Warathatul Anbiya. Dar Warathatul Anbiya merupakan tapak perhimpunan harian pelajar tingkatan 6 ketika itu. Sebelum tidur cuba ingat suatu fakta dan esoknya selepas bangun cuba ingat semula fakta yang telah kita hafal. Caranya sangat mudah dan jika berterusan impaknya sangat besar terhadap diri seseorang. Bak kata pepatah: sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Tentu kita agak sukar untuk menghabiskan satu kek yang agak besar dalam satu masa. Tapi jika kek tersebut dipotong kepada bahagian-bahagian kecil dan kita makan dari semasa ke semasa tentu kita dapat menghabiskannya. Begitulah dalam hal pelajaran. Untuk setiap mata pelajaran bahagikan kepada kuantiti-kuantiti yang lebih kecil dan ulangkaji satu demi satu sehingga selesai.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan