Rabu, 10 Oktober 2018

Apakah Yang Patut Dibuat Oleh Lepasan Pelajar STPM Agama Sebelum Menyambung Belajar Di Peringkat Universiti?

Terdapat pelbagai perkara yang menjadi kelaziman yang dilakukan oleh lepasan STPM Agama sebelum menyambung pelajaran ke peringkat universiti seperti bekerja, menghabiskan waktu berkualiti dengan keluarga dan lain-lain lagi.

Dalam penulisan kali ini saya ingin berkongsi dua perkara yang boleh dijadikan pertimbangan oleh lepasan STPM Agama untuk mengisi waktu kosong mereka sebelum menyambung belajar yang akan membantu mereka ketika berada di universiti nanti:

1. Memperkasakan penguasaan bahasa Arab dan juga bahasa Inggeris. Jika salah satu daripada kedua bahasa tersebut telah dikuasai dengan baik maka boleh fokus untuk menguasai bahasa yang belum dikuasai dengan baik. Hal ini sangat penting, terutamanya bagi pelajar yang menyimpan cita-cita untuk menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS yang menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Caranya adalah dengan menyertai mana-mana kursus untuk memperkasakan kedua bahasa ini. Namun sebelum itu pastikan dahulu tempat yang menawarkan kursus tersebut benar-benar mampu memperkasakan kedua-kedua bahasa tersebut dan bukannya hanya ingin mencari keuntungan semata-mata. Sudah tentu ianya memerlukan sedikit pelaburan daripada kita tapi ianya sangat berbaloi dan berguna ketika di universiti nanti.

2. Belajar kemahiran. Kita hidup di zaman yang mencabar. Tidak semestinya selepas habis belajar kita akan bekerja dalam bidang yang kita ceburi. Oleh itu, mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu amat penting. Semakin banyak kemahiran yang kita ada semakin ianya bermanfaat dalam kepada diri kita. Sekiranya kita mendapat pekerjaan dalam bidang yang kita ceburi pun kemahiran-kemahiran yang kita ada tentu dapat dimanfaatkan dalam hidup kita. Antara tempat yang menawarkan kemahiran tertentu secara percuma adalah Giat Mara. Ianya bukan sekadar percuma malahan turut mendapat elaun setiap bulan. Tempoh belajarnya juga tidak panjang. Memadai untuk dapat satu sijil dalam bidang kemahiran tertentu sepanjang tempoh menunggu sambung belajar. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemahiran-kemahiran yang ditawarkan boleh rujuk laman web mereka.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan