Isnin, 19 Disember 2016

Faedah-Faedah Menghadiri Majlis Sama’(سَمَاع) Hadis

Syukur kepada Allah عزوجل hari(18/12/2016) ini saya direzekikan untuk mengikuti majlis pembacaan hadis daripada kitab Sahih Al-Bukhari yang dibimbing oleh Syeikh ‘Ali Al-‘Aayadi حفظه الله تعالى.

Majlis yang bermula daripada pukul 9 pagi hingga 1 petang ini berlangsung di International Institute of Islamic Unity, Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law (AIKOL) yang bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam kesempatan ini saya akan berkongsi manfaat yang saya perolehi sepanjang mengikuti majlis ini:

1. Dapat merangsang diri untuk membaca kitab Sahih Bukhari. Jika ingin membacanya secara sendiri-sendiri bukannya tidak mampu tapi persoalannya entah bila tahun yang akan bermula dan bila tahun pula yang akan tamat pembacaannya. Apabila majlis sebegini berlangsung boleh jadi kita tidak memahami sepenuhnya maksud setiap kalimah yang terdapat dalam hadis-hadis yang diriwayatkan  oleh Imam Bukhari رحمه الله تعالى namun sekurang-kurangnya ianya telah memberikan suatu gambaran kepada kita secara sepintas lalu mengenai keseluruhan kandungan kitab Sahih Bukhari secara umumnya. Untuk majlis hari ini sahaja hadis-hadis yang dibaca hingga hadis yang ke-146 atau hingga muka surat ke-62 berdasarkan cetakan kitab Sahih Bukhari yang saya gunakan iaitu merupakan cetakan Dar Ibnu Kathir dan Al-Yamamah.

2.  Dapat mengetahui ketelitian seseorang ulama apabila menyusun atau menulis sesebuah kitab. Contohnya, pada pada hari ini pembacaan hadis dari kitab Sahih Bukhari berlalu sebanyak tiga kitab iaitu Kitab Bad Al-Wahyu, Kitab Al-Iman dan Kitab Al-Ilmu. Dalam Kitab Bad Al-Wahyu Imam Bukhari رحمه الله تعالى memulakan kitab tersebut dengan meletakkan hadis berkaitan dengan niat (إنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيِّاتِ). Jika dilihat secara sepintas lalu seolahnya tidak ada sebarang kaitan antara hadis yang menerangkan mengenai kepentingan niat dengan hadis-hadis yang lain yang terkandung dalam kitab tersebut dan juga dengan nama kitab itu sendiri. Oleh itu, sebahagian ahli ilmu berpandangan bahawa hadis itu diletakkan dalam bab tersebut sebagai isyarat daripada Imam Bukhari رحمه الله تعالى kepada pembaca kitabnya untuk mengikhlaskan diri kerana Allah dalam mengambil manfaat ilmu daripada kitabnya. Namun pada hari ini Syeikh حفظ الله نعالى menambah fakta lain yang menarik iaitu hadis pertama dalam kitab Bad Al-Wahyu itu Imam Bukhari رحمه الله تعالى telah meriwayatkan daripada Al-Humaidi رحمه الله تعالى yang merupakan guru Makkah kepada Imam Bukhari رحمه الله تعالى. Sebagaimana kita tahu bahawa wahyu mula turun di Makkah begitulah juga Imam Bukhari memulakan kitab tersebut dengan hadis dari guru Makkahnya. Daripada sini kita dapat lihat betapa telitinya beliau رحمه الله تعالى dalam menyusun kitab Sahihnya.

3. Imam Bukhari akan meletakkan ayat Al-Quran yang berkaitan dengan sesuatu bab sekiranya ada sebelum beliau meneruskan dengan hadis-hadis yang mempunyai kaitan dengan bab. Sesiapa yang pernah membaca kitab Riyadhus Solihin karya Imam An-Nawawi رحمه الله تعالى juga pasti akan menyedari bahawa Imam Nawawi رحمه الله تعالى juga menggunapakai metod yang serupa dalam kitab Riyadhus Solihin. Hal ini berbeza dengan metod yang diguna pakai Imam Muslim dalam kitab Sahihnya.

4. Dapat mengenali perawi-perawi hadis bagi Kitab Sahih Bukhari. Antaranya yang sempat saya perasan adalah perawi yang bernama Muhammad bin Al-Muthanna. Hal ini kerana nama beliau kerap dijumpai sepanjang pembacaan tiga kitab pada hari ini. Muhammad bin Al-Muthanna juga dalam masa yang sama merupakan perawi dalam kitab Sahih Muslim.

5. Dapat mengetahui matan/teks penuh bagi sesebuah hadis. Contohnya, apa yang saya sempat perasan hari ini adalah hadis berkaitan dialog antara Herkules (nama jawatan bagi pemerintah Rom suatu ketika dahulu) dengan Abu Sufyan bin Harb رحمه الله تعالى mengenai nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Berdasarkan kitab Sahih Bukhari tob’ah/terbitan yang saya gunakan, dialog tersebut direkodkan sehinggah mencecah hampir 4 muka surat. Namun jika kita membaca kisah yang sama daripada bukan kitab hadis biasanya kisah tersebut telah pun diringkaskan. Oleh itu, majlis sama’ amat penting untuk kita mengetahui sanad penuh dan matan penuh bagi sesebuah hadis.

6. Tidak ada hadis yang berulang dalam Sahih Bukhari. Pernyataan yang mengatakan wujud hadis yang berulang dalam Sahih Bukhari bermaksud berulang disisi orang yang menyatakannya berulang tetapi tidak disisi Imam Bukhari. Disisi Imam Bukhari hadis yang sama matannya tetapi berbeza sanad dianggap hadis yang berbeza. Inilah sebagaimana yang telah diperencikan oleh Syeikh حفظ الله تعالى.

7. Dapat mengetahui siapakah yang dimaksudkkan dengan Abu Abdullah jika ada komentar selepas sesuatu hadis. Menurut Syeikh حفظ الله تعالى perkataan Abu Abdullah yang wujud dalam Sahih Bukhari merujuk kepada Imam Bukhari رحمه الله تعالى sendiri. Hal ini kerana naskhah Sahih Bukhari yang tersebar sekarang merupakan naskah yang diriwayatkan oleh anak murid Imam Bukhari رحمه الله تعالى . Hal ini berbeza dengan metodologi Imam Tirmizi رحمه الله تعالى dalam sunannya. Imam Tirmizi رحمه الله تعالى selepas meriwayatkan sesuatu hadis biasanya akan mengomentari hadis itu dengan menggunakan nama Abu Isa (iaitu kunyah bagi Imam Tirmizi رحمه الله تعالى).

Sebahagian pihak tidak menggemari majlis sima’ kerana menurut mereka majlis sima’ kurang manfaat yang boleh diperolehi daripada aspek ilmu. Saya bersetuju dengan kenyataan ini namun kurang manfaat tidaklah bermakna tidak ada manfaat langsung yang boleh dikutip hingga kita secara mudah untuk terus mengabaikannya. Lagipun di negara seperti Malaysia yang majlis syarah kitab-kitab hadis tidak begitulah subur seperti negara-negara Arab dan India kita tidak boleh bersikap terlalu selektif dalam mengambil manfaat daripada ilmu. Kita sepatutnya memanfaatkan segala ruang dan peluang yang ada untuk medapatkan ilmu.

Mohamad Amirul bin Saidi. 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan